PASIR MAS - Alumni bukan sahaja menjadi tempat untuk mengeratkan kembali hubungan yang sudah lama terputus tetapi turut menemukan jodoh dalam kalangan mereka.

Perkara itu diakui oleh pengurus program Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Chica, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 1993, Nor Asmawi Ramli.

Nor Asmawi berkata, ini terbukti apabila salah seorang rakan yang juga ahli alumni telah bertemu jodoh melalui program berkenaan.

“Mereka yang bertemu jodoh itu ialah Mohd Khairul Mohamad dan pasangan, Rosniza Zakaria.

“Mereka bertemu jodoh pada 2005 pada majlis pertemuan semula yang diadakan kali pertama,” katanya.

Pasangan Mohd Khairul dan Rosniza (kanan) hadir bersama anak-anak mereka.

Menurutnya, pertemuan tersebut membawa mereka ke jinjang pelamin dan kemudian dikurniakan anak pada majlis kali kedua yang diadakan pada enam tahun kemudian.

“Saya sama sekali tidak menyangka alumni sulung dulu mempertemukan jodoh dalam kalangan kami.

“Alhamdulillah, kali ketiga bertemu pada tahun ini, pasangan itu mendapat anak ketiga,” katanya.

Nor Asmawi berkata, dia dan rakan-rakan alumni tumpang gembira di atas perkahwinan sahabat mereka itu.

Menurutnya, kehadiran pasangan tersebut dan anak-anak ke majlis alumni baru-baru ini, memeriahkan lagi perjumpaan ketiga mereka.

Katanya, perjumpaan itu berjaya mengumpulkan lebih 80 rakan-rakan serta bekas guru-guru.

“Tujuan kami adakan majlis ini adalah untuk merapatkan hubungan di antara kami selain daripada saling mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.