BACHOK – Pelajar Sekolah Menengah (SM) Bachok yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1974 bertemu semula selepas 44 tahun menamatkan alam persekolahan.

Pengerusi program, Ismail Awang Hamat berkata, pertemuan semula itu adalah amat bermakna bagi mereka kerana bukan mudah untuk mereka hadir serentak dari seluruh negara.

Menurutnya, pertemuan semula kali pertama diadakan tahun lalu bertempat di Kampung Seneng dan ketika itu ia dihadiri lebih kurang 40 orang rakan lama mereka.

"Dari beberapa rakan menyertai kumpulan WhatsApp, jumlah rakan yang dapat dihubungi sehingga mkini bertambah 75 orang.

“Lepas kami berhubung, kami aturkan reunion untuk bertanya khabar lebih dekat. Alhamdulillah hubungan kami ini diberkati dan kami sering mengeratkan ukhuwah menziarahi rakan yang uzur serta menyalurkan sumbangan bagi membantu penduduk kampung yang memerlukan.

“Kami juga mempunyai jawatankuasa dan dalam reunion kedua ini, kami akan adakan pemilihan jawatankuasa baru bagi memantapkan lagi komuniti kami.

"Kami berhajat untuk mewujudkan biro rekreasi, biro agama dan biro kebajikan bagi memantapkan lagi penyusunan aktiviti kami pada masa depan,” katanya pada majlis pertemuan kali kedua mereka di salah sebuah pusat peranginan di Bachok, semalam.

Ismail berkata, dalam majlis pertemuan semula itu turut diadakan sesi bacaan Yasin dan tahlil sebelum solat Zuhur berjemaah, jamuan tengah hari dan penyampaian cenderamata kepada ahli yang hadir.

Majlis berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu dihadiri lebih kurang 100 orang ahli bersama ahli keluarga mereka masing-masing.

Ahli mereka yang juga mantan Pengetua SMK Bachok dan bersara tahun lalu, Sabariah Sair diberikan penghormatan merasmikan majlis mereka.