MACHANG - Bukan sekadar mengeratkan hubungan, perhimpunan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, di sini, baru-baru ini diharap mampu sama-sama menyumbang kepada pembangunan sekolah.

Pengerusi Himpunan Alumni SMK Machang 1973-1978, Mohd Nawi Awang berkata, kira-kira 250 bekas pelajar menjayakan himpunan yang diadakan di SMK Machang itu sekali gus mengembalikan nostalgia di alam persekolahan.

Katanya, ini kali kedua alumni sekolah tersebut mengadakan perhimpunan seperti itu yang mengumpulkan bekas pelajar tahun 1973-1978.

Menurutnya, selain alumni, sembilan guru turut menjayakan program termasuk bekas Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ismail Mamat dan Ketua Wanita Umno Kelantan, Senator Datin Rahimah Mahamad.

“Pertemuan ini bukan sekadar untuk berjumpa kawan lama, bertanya khabar dan makan-makan saja, tetapi lebih daripada itu.

“Kami mahu menggerakkan satu komuniti besar ini supaya kembali menyumbang kepada sekolah dan membantu pembangunan sekolah dalam pelbagai aspek,” katanya.

Antara urus setia majlis Himpunan Alumni SMK Machang 1973-1978.

Tambah Mohd Nawi, setiap kumpulan alumni mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain dan mempunyai grup media sosial, WhatsApp masing-masing.

Katanya, himpunan tersebut mula dianjurkan pada tahun lalu dalam usaha mengukuhkan hubungan antara satu sama lain dalam kumpulan yang lebih besar.

Menurutnya, masih ramai rakan-rakan yang gagal dijejaki pihaknya dan berharap mereka dapat menyertai alumni tersebut pada masa akan datang.

“Pelbagai kaedah diguna pakai bagi menjejaki rakan-rakan lama termasuk menggunakan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

“Lebih banyak himpunan akan dilaksanakan dengan harapan mengumpul ramai bekas pelajar untuk sama-sama berbakti,” katanya.