JOHOR BAHRU - Bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang dahulunya dikenal sebagai English College (EC) bertemu selepas meninggalkan zaman persekolahan sesi 1968-1972.

Penyelaras program, Laksamana Pertama (B) Datuk Ir Ahmad Murad Omar, 62, berkata, penganjuran program untuk tahun kedua itu menampakkan semakin ramai yang hadir, apabila lebih 50 orang menyertai pertemuan yang diadakan di MSuite Hotel, di sini, baru-baru ini.

Katanya, pada program kali ini, bekas pelajar berpeluang melawat kembali sekolah dan bertemu dengan guru-guru.

“Lebih bermakna, ia turut dihadiri bekas guru, Yusof Karto, Joseph Velieth, Han Heng Juan, Han Yek Yong, Seah Char Boh, Hamid Ariffin dan Cheah Phee San selain bekas pelajar tertua EC, Abdul Hamid Ariffin yang kini berusia 99 tahun setelah menamatkan alam persekolahan pada 1935,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, pertemuan kedua itu dapat mengumpulkan lebih ramai bekas pelajar.

Katanya, kejayaan itu hasil usaha dan kerja keras rakan yang diketuai Ungku Muhsin Ungku Mohd sebagai Ketua Chapter Johor Bahru.

“Hubungan kami ketika sekolah memang akrab. Justeru, kami tidak mahu hubungan rapat terputus begitu sahaja selepas masing-masing tamat persekolahan. Apatah lagi setelah masing-masing dalam usia bersara,” katanya.