SUNGAI PETANI - Lebih 40 tahun tidak bertemu setelah tamat persekolahan peringkat  rendah membuatkan bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir  sesi 1971 hingga 1976 hampir kurang mengenali antara satu sama lain.

Jawatankuasa penganjur reunion, Wan  Sulaiman Wan Ab Rahman berkata, usia masing-masing yang mencecah 55 tahun membuatkan bekas murid kurang  mengenali berikutan rupa dan perwatakan yang bertukar.

Menurutnya, pertemuan pertama selepas tamat darjah enam itu membuatkan  kesemua 30 bekas murid teruja untuk mendengar kisah satu sama lain. 

“Alhamdulillah, selepas habis sekolah rendah, ada yang berpisah ikut haluan masing-masing. 

“Masa itu masih kecil, sekarang dah berkeluarga, ada anak dan menantu, malah ada juga dalam kalangan kami sudah pun mempunyai cucu,” jelasnya tersenyum.

Menurutnya, pertemuan yang dirancang di Padang Temusu baru-baru ini berjaya menghimpunkan sebahagian bekas murid kelas mereka termasuk yang menetap di Kuala Lumpur.

“Lebih teruja, pertemuan turut dihadiri bekas tenaga pengajar yang dikenali sebagai  Cikgu Yaacob, 70-an dan Ustaz Haji Wan Ab Rahman Wan Ab Kadir, 80-an  membuatkan kami berkongsi banyak cerita,” katanya.

Menurutnya, pertemuan turut diisi dengan majlis tahlil bermula jam 10 pagi dan  berakhir kira-kira jam tiga petang dengan pengisian santai.

“Kita ada perancangan membuat kunjungan ziarah kepada kawan-kawan yang  sakit atau berdepan masalah, selepas ini akan ada lagi perancangan lain,  semuanya dibuat demi menghubungkan silaturahim antara bekas murid SK Sungai Pasir,” katanya.