FELDA LEPAR UTARA - Selepas lebih 26 tahun terpisah, sebahagian bekas pelajar generasi pertama Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar Utara (SMKLU), Jerantut yang belajar pada 1992-1996 bertemu kembali dalam satu program reunion bersama keluarga baru-baru ini.

Ketua program, Mohamad Nadzri Kamarudin berkata, walaupun program yang diadakan agak ringkas tetapi bagi semua bekas pelajar yang terlibat merasakan ianya penuh erti dan bernilai.

Apatah lagi ada yang tidak pernah bersua muka selepas tamat Tingkatan Tiga dan Lima selepas masing-masing melanjutkan pelajaran di sekolah lain dan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berharap pada masa akan datang akan ada pertemuan yang lebih meriah dalam suasana yang berbeza demi ukhuwah dan silaturahim.

“Kami merancang untuk menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang dengan lebih hebat lagi dan mengharapkan penyertaan lebih ramai bekas pelajar.

“Kali ini kami berjaya mengumpul sekitar 20 bekas pelajar bersama keluarga mereka dan harap jumlah ini akan bertambah nanti,” katanya.

Turut memeriahkan reunion yang diadakan di kantin SMKLU berkenaan adalah kehadiran beberapa orang guru pertama sekolah berkenaan.

Walaupun berada di dalam  penempatan Felda, nama SMKLU tetap gah dalam bidang akademik dan kokurikulum selain bekas Ketua Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail (kini bersara) merupakan kumpulan guru pertama mengajar dan pengetua kedua SMKLU.