Penuh nostalgia! Itu yang boleh digambarkan dalam perjumpaan semula bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman sesi 1972 hingga 1976.

Mengambil tema RU Aidil Fitri 7276, program yang diadakan sempena sambutan hari raya dipenuhi dengan pelbagai warna lantaran teruja dengan pertemuan semula setelah lama terpisah.

Bukan sahaja mengimbau kembali kenangan di masa lalu, program yang dihadiri kira-kira 50 bekas pelajar itu turut tampil dengan selingan deklamasi puisi.

Imbauan kenangan dan nostalgia itu digambarkan menerusi sajak 'Relakan Kupergi' oleh Zalina E-Ena dan dikhususkan untuk guru yang melangkah ke alam persaraan serta dideklamasikan oleh penyair Nurimas SN.

Serentak dengan itu juga, antologi puisi 'Guru Sumber Ilhamku' dihadiahkan kepada bekas guru yang turut hadir sebagai tetamu istimewa.

Bekas pelajar, Mf Jinggawan yang kini aktif bersama Grup Teater Rajuk, turut mendeklamasikan sajak ciptaannya dalam loghat Pahang iaitu 'Tautan Kasih SMC'.

Pada masa sama, satu tabung kebajikan telah dilancarkan sebagai dana Alumni SMK Chukai.

Pengerusi Program, Mansor Jusoh berkata, pertemuan semula itu membantu mengimbau kembali kenangan kira-kira 41 tahun lalu.

Ini sebab, katanya, selepas menamatkan pengajian di sekolah berkenaan, hampir semua pelajar membawa haluan masing-masing.

“Kehadiran hari ini ibarat kiambang bertaut kembali, sekali gus imbau kenangan lalu.

“Ada antara mereka yang datang dari Sarawak dan serata Semenanjung semata-mata untuk bertemu rakan lama. Terima kasih kepada teman-teman yang sudi meluangkan masa," katanya.