SABAK BERNAM - Seramai 24 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena sesi 1980-1984 menghadiri Program ‘Pautan Kasih D’Ambang Usia 50’.

Penyelaras programnya, Mohd Azman Ramli berkata, selain melibatkan semua bekas pelajar berusia 50 tahun, pertemuan semula itu juga unik apabila dihadiri bekas guru.

“Program ini dimeriahkan dengan kehadiran 100 ahli keluarga masing-masing dan menjadi perjumpaan istimewa apabila dua bekas guru kami dapat hadir bersama.

“Kehadiran dua guru kami, Mahmud Mohamad dan Fauziah Salim menjadikan pertemuan ini lebih bermakna dan mengembalikan nostalgia semasa zaman persekolahan dulu," katanya.

Mohd Azman berkata, pertemuan semula pada program yang diadakan di Denai Impian Chalet, Teluk Batik, Perak selepas 33 tahun itu melibatkan perancangan selama lapan bulan menerusi media sosial.

“Pertemuan yang singkat diharapkan dapat menyambung silaturahim yang terputus selama ini dan menjadi kenangan yang terindah buat yang hadir. Kami rancang adakan program sama pada tahun hadapan dengan melibatkan lebih ramai bekas pelajar.

“Untuk kali ini, program diserikan dengan persembahan Juara Kilauan Emas Musim 2, Ahmad Fuad Zarullail yang juga bekas pelajar sekolah itu,” katanya.