KOTA TINGGI - Seramai 250 bekas murid dan ahli keluarga memeriahkan perjumpaan semula bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Bukit Aping Barat yang kini dikenal sebagai SK Seri Aman anjuran Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) Bukit Aping Barat.

Pengerusi KAF Bukit Aping Barat, Muhammad Nazri Kasmen berkata, perjumpaan di Dewan Semai Bakti itu bertujuan menjalin kembali ukhuwah dalam kalangan generasi kedua Felda berkenaan.

Menurutnya, melalui perjumpaan itu secara tidak langsung menggalakkan generasi kedua menyertai KAF sekali gus menjadi wadah kepada anak Felda menyumbang bakti untuk memperkasakan Felda.

“Antara objektif lain perjumpaan ini adalah melestari dan memurnikan komuniti Felda supaya menjadi contoh kepada komuniti lain," katanya.

Rasman ketika berucap pada majlis perjumpaan semula bekas murid SK LKTP Felda Bukit Aping Barat.

Muhammad Nazri berkata, terdapat lima teras yang digariskan KAF Felda Bukit Aping Barat yang akan dijadikan sebagai garis panduan dan hala tuju untuk melaksanakan peranan serta tanggungjawabnya.

“Ia termasuklah menubuhkan pusat pendidikan Islam, pembangunan ekonomi generasi kedua, memantau dan memelihara penghasilan ladang peneroka, mengoptimumkan kemudahan teknologi dengan mewujudkan profil kampung dan memasarkan hasil serta produk kampung melalui ICT.

“Selain turut diterapkan program motivasi dan pendidikan pencegahan dadah kepada generasi ketiga untuk membina jati diri mereka agar tidak mudah dipengaruh anasir negatif,” katanya.

Rasman (empat,kanan) memotong kek bersama bekas murid yang hadir sempena perjumpaan semula bekas murid SK LKTP Felda Bukit Aping Barat yang kini dikenal sebagai SK Seri Aman.                    
 

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Adun Sedili, Rasman Ithnain yang turut mengucapkan tahniah kepada KAF Felda itu kerana berjaya menghimpunkan bekas pelajar yang juga generasi kedua Felda sebagai usaha menyumbang kembali kepada ibu bapa dan tanah rancangan.

“Perjumpaan ini menjadi platform memberikan maklumat mengenai Felda kepada generasi kedua. Kepimpinan KAF perlu dapatkan lebih banyak maklumat berkaitan peluang pendidikan dan latihan yang boleh dimanfaatkan serta disertai warga Felda untuk meningkatkan taraf ekonomi.

“Kita harap generasi kedua tidak akan mensia-siakan peluang pembangunan yang sedang berlaku di daerah ini terutama pembangunan hub minyak dan gas di Pengerang,” katanya.

Sebahagian bekas murid yang menjayakan perjumpaan semula bekas murid SK LKTP Felda Bukit Aping Barat.