AYER HITAM - Seramai 72 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam tahun 1981-1987 bertemu semula dalam satu majlis sambutan hari raya yang diadakan di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Pengelola majlis, Shafiee Ahmad, 50 berkata, raya pada tahun ini sangat bermakna buat mereka apabila dapat berkumpul bersama di sekolah lama mereka.

Katanya, majlis berkenaan juga diadakan sempena meraikan usia mereka yang mencecah 50 tahun pada tahun ini.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan saya berterima kasih kepada kawan-kawan yang sanggup meluangkan masa untuk hadir.

“Pastinya perjumpaan ini mencatat kenangan manis buat semua, banyak kenangan lalu menjadi topik bualan kami pada pertemuan ini,“ katanya.

Menurutnya, mereka sebelum ini pernah beberapa kali menganjurkan program sama selain menggunakan medium WhatsApp untuk berhubung.

“Ini pertemuan kami kali keempat dan insya-Allah perjumpaan seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang untuk memastikan silaturahim sesama kami akan terus terjalin,” katanya.