Seramai 38 bekas murid Sekolah Kebangsaan Duyong (SKD) sekitar tahun 1970 hingga 1975 mengadakan pertemuan bagi mengimbau kenangan ketika zaman persekolahan.

Pengerusi Alumni SK Duyong, Jalid Hussin berkata, selain bertujuan untuk mengeratkan kembali silaturahim kesempatan itu juga digunakan untuk mengetahui perkembangan semasa antara satu sama lain.

“Ada antara kami yang sudah 50 tahun tak bertemu. Jadi pertemuan ini menjadi satu kenangan yang indah, apatah lagi ketika masing-masing mengenang zaman persekolahan dahulu.

“Hubungan rapat antara kami tak akan terputus begitu saja selepas masing-masing menamatkan zaman persekolahan dan mempunyai pelbagai kerjaya. Malah ada yang dah bersara,” katanya pada majlis diadakan di SK Duyung, baru-baru ini.

Bekas murid SK Duyung, Fatimah Abu Bakar (kanan) dan Mahani Mahat yang kini seorang pesara guru dan pernah mengajar di sekolah berkenaan.

Jalid berkata, usaha menjejak semula bekas murid dilakukan menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Kebanyakan antara kami sudah berstatus warga emas malah ada yang sudah berpindah dan sukar dijejaki. Cuma seramai 38 orang sahaja yang berjaya kami satukan hari ini.

“Pertemuan ini amat bermakna kepada kami semua yang sama-sama pernah mendapat pendidikan sekolah rendah di sini.

"Jadi pastinya dapat mengimbau kenangan pahit manis sepanjang sesi persekolahan,” katanya.

Penyerahan cenderamata sempena pertemuan itu kepada bekas murid yang hadir.

Tambahnya, pertemuan itu juga dapat merapatkan hubungan dengan guru baharu yang banyak berjasa mendidik murid sehingga memperolehi kejayaan hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi Alumni SK Duyong, Zanmah Hassim.