PUCHONG - Satu perjumpaan semula dijalankan oleh alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dharma bertempat di dewan sekolah berkenaan baru-baru ini.

Pengerusi Alumni SMK Dharma, Datuk Amir Mahmood Shafi, perjumpaan tersebut atau Reunion Jubli Emas SMK Dharma berlangsung meriah dan berjaya mengumpulkan seramai 184 bekas pelajar sekolah itu dari tahun 1965 hingga 2015.

“Matlamat penganjuran adalah untuk merapatkan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan bekas pelajar SMK Dharma, baru dan lama,” katanya.

Amir Mahmood berkata, pada masa sama perjumpaan itu adalah untuk mengumpul dana bagi membantu keperluan sekolah berkenaan.

"Sebanyak RM3,650 berjaya dikumpul untuk disumbangkan kepada sekolah kami ini," katanya.

Katanya, niat untuk menghubungkan tali persahabatan antara mereka yang sudah berjauhan itu juga tambah bermakna dengan komitmen alumni mengadakan jamuan majlis secara potluck.

Turut hadir, Pengetua SMK Dharma, Aminah Daud yang sangat gembira dengan penganjuran majlis tersebut serta komitmen diberikan semua alumni yang hadir.