PORT DICKSON - Bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Port Dickson (kini dikenali sebagai Kolej Vokasional Port Dickson) bertemu semula dalam suasana berbeza selepas 25 tahun berpisah.

Pertemuan kali ini lebih istimewa, apabila masing-masing menunjukkan kehebatan menerusi perlawanan bola sepak yang diadakan.

Bekas pelajar, Mohd Jasni Mohd Nor, 42, berkata, kebanyakan yang hadir dalam reunion tersebut adalah dalam kalangan pemain bola sepak sekolah ketika 1991 hingga 1993.

“Justeru, selain sesi ramah mesra, turut diadakan dalam majlis pertemuan ini adalah bacaan Yasin serta tahlil untuk guru dan rakan yang telah meninggal dunia.

“Walaupun dah lama tak berjumpa apatah lagi bermain bola bersama, tetapi kami semua masih boleh bermain dalam satu pasukan,” katanya sambil memaklumkan pasukan bagi sesi 1991-1992 tewas 3-2 kepada pasukan junior sesi 1992-1993.

Mohd Jasni berkata, reunion yang julung kali dianjurkan ini turut mengimbau kenangan sewaktu di zaman sekolah.

“Jumpa masing-masing dah lain. Ada yang semakin gemuk dan dah pasti semuanya telah berkeluarga.

“Saya gembira dapat bertemu semula dengan rakan-rakan yang dah terpisah lama dan bangga kerana semuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing walaupun dulu di sekolah degil,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Alumni SMV Port Dickson, Khalid Johar berkata, idea menganjurkan reunion ini diajukan oleh salah seorang ahli persatuan.

“Menggunakan kemudahan media sosial, kami mula berhubung antara satu sama lain.

“Lebih kurang dua bulan masa diambil untuk rancang reunion. Alhamdulillah kita dapat jayakannya. Kita buat di sekolah sebagai usaha mengimbau memori lama,” katanya.

Khalid berkata, kejayaan penganjuran reunion kali pertama ini mendorong untuk persatuan anjurkannya sekali lagi.

“Mungkin kita akan buat reunion dua tahun sekali dan aktiviti akan ditambah baik. Selain dapat eratkan silaturahim, kita juga dapat kembali ke sekolah dan insya-ALLAH boleh menyumbang sesuatu kepada sekolah semula,” katanya.

Hampir 100 orang bekas pelajar hadir memeriahkan majlis reunion bagi sesi 1991 dan 1992 yang diadakan.