Seramai 32 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Menggong (1968-1973) tidak menyangka mereka dapat bertemu semula selepas lebih empat dekad terpisah.

Pertemuan itu diadakan dalam satu majlis reunion yang pertama kali diaturkan di Dewan Japerun Dun Machap, Kampung Bukit Bulat, di sini.

Paling menarik, apabila masing-masing mengenakan pakaian sekolah yang lengkap dengan beg, meskipun usia sudah menginjak 56 tahun dan kebanyakannya sudah bergelar datuk atau nenek.

Salah seorang peserta reunion, Muhammad Marzuqi yang juga bekas ketua kelas berkata, majlis perjumpaan tersebut dirancang sejak tiga bulan lalu melalui kumpulan WhatsApp.

Muhammad Marzuqi (kanan) bersama bekas gurunya, Abd Rahim.

“Ketika ke majlis perkahwinan seorang anak rakan, kami ada berborak dan ada yang berseloroh berkata kalau dapat jumpa satu kelas lebih seronok.

"Seorang dari mereka cabar saya untuk menguruskannya memandangkan saya jadi ketua kelas dari darjah satu hingga enam dahulu.

“Saya sahut cabaran itu. Alhamdulillah majlis ini berjaya direncanakan. Biarpun ada antara mereka tinggal di pelbagai negeri dan mempunyai keluarga dan tugasan masing-masing, namun perjumpaan itu berjaya direalisasikan menerusi komitmen yang diberikan,” katanya yang menetap di Nilai.

Menurutnya yang bekerja sebagai juruterbang, walaupun lama terpisah tetapi kemesraan seakan tidak luntur apabila masing-masing rancak berbual walaupun sudah 44 tahun tidak berjumpa.

“Bayangkan masing-masing datang dengan baju sekolah, beg sekolah tapi rupa sudah tua. Memang melucukan tapi itu semua menggamit kami suatu ketika dahulu.

“Pada mulanya memang terkejut melihat sesama sendiri kerana terlalu berbeza daripada alam persekolahan menyebabkan kami hampir tidak mengenali antara satu sama lain sebaik bertemu.

“Bila beritahu nama samaran Mat Lopong, Komeng, Uming, Gentol, Kapal Layar dan sebagainya. Baru kami terus teringat dan ada yang menangis kegembiraan kerana tidak pernah menyangka memori sewaktu anak kecil segar kembali,” katanya ketawa.

Kenangan ketika zaman persekolahan di SK Menggong (1968-1973).

Sementara itu, bekas guru, Abd Rahim Mahadi, 72, berkata, beliau tidak pernah terfikir akan berjumpa dengan bekas anakanak muridnya semula setelah 44 tahun.

“Guru dahulu sangat rapat dengan murid, sampaikan ibu bapa mereka pun kita kenal dan rapat.

"Anak murid pula, reda dimarahi guru berbanding sekarang yang saya lihat suka mengadu malah ibu bapa pula kerap menyalahkan guru jika ada apa-apa masalah.

“Jadi, bila dijemput pada majlis ini saya terima dengan hati terbuka dan tak mahu lepaskan peluang jumpa mereka semua.

"Walaupun sudah lanjut usia, semuanya saya kenal, mana yang nakal, mana yang pendiam dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, majlis pertemuan yang diadakan bersifat santai, pada masa sama mengeratkan ukhuwah kalangan bekas pelajar di samping mengimbau kenangan.