MORIB - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok (SMKTD) disaran terus menghidupkan suasana majlis pertemuan semula dalam kalangan mereka bagi memupuk suasana kekeluargaan dan kasih sayang.

Penganjur Perjumpaan Bekas Pelajar SMKTD Tahun 1975 hingga 1979, Arie Bohari Basri berkata, beliau tidak sangka 70 bekas pelajar berjaya dikumpulkan sekali gus menggamit kenangan lama selepas 38 tahun  berpisah.

Menurutnya, kebanyakan mereka ada yang masih bekerja dan perjumpaan tersebut sebenarnya memupuk semangat satu pasukan yang mana dapat bertukar-tukar idea seperti di zaman persekolahan.

“Kami wujudkan grup WhatsApp sekolah ke arah penyatuan dan membantu rakan-rakan yang berdepan masalah,” katanya yang menganjurkan perjumpaan di Pantai Morib, semalam.

Arie berkata paling seronok, perjumpaan itu turut berjaya mewujudkan ahli jawatankuasa SMKTD yang ditugaskan menjaga hal ehwal kebajikan ahli.

Katanya, pertemuan itu juga telah berjaya mengutip wang sebanyak RM2,200 untuk kebajikan ahli SMKTD.

“Saya fikir usaha ini perlu dicontohi oleh semua bekas pelajar sekolah ini. saya faham ada bekas pelajar di beberapa tahun tertentu telah membuat perjumpaan dalam kalangan mereka.

“Namun bagi saya, jika ia diwujudkan, saya harap sangat setiap bekas pelajar cari jalan rapatkan ukhuwah sesama mereka. Dah tentu bekas guru-guru kita pun gembira bila kita buat program- program bersama bekas pelajar di sini,” katanya.