KUALA PILAH – Genap 25 tahun, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Samad (SMKDAS) pada tahun 1992 sehingga 2017, terpisah setelah tamat persekolahan.

Bagi menyatukan semula hubungan silaturahim antara mereka, satu majlis sambutan jubli perak diadakan bagi meraikan usia perpisahan tersebut.

Pengerusi program, Hazmy Harun berkata, pertemuan julung kali itu mendapat sambutan menggalakkan yang melibatkan kehadiran kira-kira 200 bekas pelajar.

Menurutnya, SMKDAS berjaya melahirkan ribuan pelajar berjaya yang kini menjawat pelbagai jawatan dan kerjaya profesional dalam pelbagai bidang.

“Kami anjur majlis ini untuk eratkan semula ukhuwah bekas pelajar SMKDAS. Walaupun masih ramai tidak dapat hadir tetapi pertemuan ini berjaya dilaksanakan dengan kehadiran sebahagian yang lain.

“Banyak kenangan pahit, manis, telah tercipta semasa persekolahan dahulu. Kenangan itu menjadikan kami insan yang lebih matang dalam menempuhi kehidupan yang penuh cabaran.

“Sememangnya pelbagai nostalgia diingati kembali apabila kita bertemu selepas 25 tahun terpisah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, meskipun pertemuan diadakan singkat tetapi ia dimanfaatkan dengan pelbagai perkongsian cerita, pengalaman dan imbauan kenangan serta kehidupan selepas tamat persekolahan.

“Kebanyakan dah berumah tangga, malah ada yang sedang menimang cucu dan sebagainya.

“Maka, kisah kehidupan yang baru ini akan dijadikan memori setelah kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Jelasnya, pertemuan itu diadakan bertujuan melahirkan rasa kesyukuran kerana dipertemukan semula selain dipanjangkan usia sehingga kini.

“Alhamdulillah, kami diberi nikmat oleh ALLAH SWT untuk bertemu dengan rakan sekolah dan bertukar pengalaman.

“Bukan itu sahaja, ia memberi pengalaman yang baik kepada anak-anak kita agar menghargai sebuah persahabatan. Ibaratnya seperti kawan biar beribu, musuh jangan dicari.

“Memiliki kawan ramai adalah anugerah dan sepatutnya kita memelihara hubungan persahabatan sehingga ke akhir hayat,” katanya.