BALING - Hampir 200 bekas pelajar termasuk guru Sekolah Menengah Baling (SMB) 1965-1970 berhimpun  dalam satu majlis di Hotel Sri Baling Inn, baru-baru ini.

Penaung program, Anuar Md Zain berkata, program berkenaan disifatkan sebagai satu kenangan  indah yang dibawa hingga ke mati bagi mengimbau zaman  persekolahan lalu.

Menurutnya, program seumpama itu berjaya mengeratkan silaturahim  antara bekas pelajar dan guru setelah lama terpisah. 

"Melalui program seperti ini, marilah kita eratkan tali persahabatan tanpa  mengira rintangan dan dugaan yang  melanda.

"Sama-samalah kita menjaga hati dan perasaan sahabat-sahabat lain sementara  masih dikurniakan kesempatan  hidup," katanya.

Katanya, ada dalam kalangan  bekas guru dan pelajar sanggup datang dari jauh semata-mata ingin bertemu dalam majlis ini. 

"Mereka sanggup datang dari  Melaka, Kajang, Kelantan, Ipoh Perak dan lain-lain. 

"Ini menunjukkan betapa eratnya persahabatan bekas guru dan pelajar-pelajar," katanya.