TUMPAT - Alumni Sekolah Menengah Tumpat (SMT) mahu ahlinya suburkan semangat ‘hidup berjemaah’ kerana yakin pegangan itu menyatukan kembali sahabat umpama adik beradik di zaman remaja mereka.

Bukan suatu kerja yang mudah namun usaha tidak pernah kenal erti penat Pengerusi Group Alumni SMT Kelantan, Wan Ibrahim Wan Ahmad menyatukan mereka.

Wan Ibrahim berkata, pertemuan ini bukan sekadar bertemu mata tetapi ada matlamatnya untuk membantu ahli alumni SMT yang ditimpa kesusahan.

“Kami datang bukan semata-mata kerana  makan,  bergambar tetapi kami ada matlamat untuk bantu ahli kerana kami semua adalah ‘adik beradik’.

“Yang daif kami salurkan bantuan, yang sakit kami ziarahi, yang ada anak ramai kami sumbangkan baju sekolah.

“Kerana kami yakin jika hidup berjemaah semuanya menjadi mudah, yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing,” katanya pada Majlis Reunion di Senangin Resort, Pantai Tujoh.

Wan Ibrahim berkata, pertemuan kali ini dilancarkan derma tabung projek kopitiam Alumni SMT Kelantan apabila seramai 26 ahli sudah menyumbangkan derma.

“Wang yang dah berjaya terkumpul sebanyak RM11,000 hasil sumbangan ahli alumni ini.

“Kita akan jadikan ia satu kenyataan hasil usaha bersama ahli alumni ini apabila Alumni SMT Tumpat ditubuhkan pada 29 Disember 2017 yang lalu,” katanya.

Menurutnya, sumbangan derma yang terkumpul itu akan dibuka sebuah kopitiam di bandar Tumpat ini.