SHAH ALAM- Berpakaian seragam sekolah, menghadiri perhimpunan, menyanyi lagu kebangsaan serta lagu sekolah malah turut menjalani ‘spot-check’ oleh guru bertugas, dalam program diadakan di sini, baru-baru ini.

Itu antara sebahagian aktiviti bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 (SMS16), Shah Alam dalam majlis pertemuan semula diadakan selepas masing-masing terpisah sejak 27 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Reunion ExSMS16, Mohd Sharin Zulkifli berkata, majlis kali kedua itu sengaja dianjur di sekolah bagi menggamit semula memori lama bekas pelajar antara tahun 1990 dan 1994.

Katanya, maklumat disebar menerusi sistem aplikasi WhatsApp dan laman sosial bagi mengesan kembali bekas pelajar yang pernah bersekolah di SMS16.

Bertema ‘back to school’, pelbagai aktiviti diadakan sebagai pengisian dalam program bagi  merapatkan semula hubungan bekas pelajar dan juga bekas guru yang turut hadir menyertainya.

“Seramai 70 orang bekas pelajar dan 10 bekas guru sertai majlis reunion kali ini, apa yang menggembirakan program turut dapat kerjasama cikgu yang masih mengajar di sini dan ‘junior-junior’ kami.

“Bekas pelajar yang kini sudah berusia 40 tahun gembira pakai baju seragam sekolah dan sertai macam-macam aktiviti sukaneka termasuk tiup belon sampai pecah, bawa bola ping pong guna sudu dan lari ikat kaki,” katanya.

Lari ikat kaki...salah satu aktiviti yang mewarnai majlis perjumpaan bekas pelajar sekolah ini.

Majlis dirasmikan Pengetua SMK Seksyen 16, Rohana Mat Sah.

Beliau berharap pertemuan semula  itu dapat mengimbau kembali sesi persekolahan bersama rakan-rakan yang kini sudah berjaya dalam pelbagai bidang termasuk menjadi ahli perniagaan, peguam, doktor, dan chef.

Bagi mengingati jasa sekolah, pihaknya turut membuat kutipan yang diserahkan kepada pihak sekolah untuk digunakan bagi mengisi tabung dana sekolah.

“Selepas ini kami bercadang tubuhkan alumni pula dan cadangan ini sudah dibincangkan bersama 10 bekas pelajar senior yang turut hadir pada majlis reunion ini,”katanya.

Antara aktiviti diadakan pada majlis pertemuan sekolah baru-baru ini.