PASIR MAS - Terpisah selama 39 tahun, akhirnya bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Ibrahim 1 tahun 1979 dipertemukan semula dalam satu majlis yang cukup meriah.

Majlis yang berjaya mengumpulkan 100 bekas pelajar itu julung kali diadakan selepas mereka berusaha menyatukan semula hubungan yang pernah terputus selepas masing-masing tamat alam persekolahan.

Lebih bermakna bekas guru mereka turut hadir menjayakan majlis Tautan Kasih SIS 1979 berkenaan.

Presiden alumni, Ab Fatah Mohamed berkata, pertemuan itu juga bertujuan untuk menguar-uarkan penubuhan kelab alumni mereka.

“Alhamdulillah sudah lama kami merancang saat pertemuan ini dan ia menjadi kenyataan.

“Walaupun ada antara kami tinggal di luar Kelantan, tapi sanggup berkorban masa dan tenaga untuk hadir,” katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan guru-guru walaupun ada dalam kalangan mereka uzur, tetap hadir untuk bertemu dengan bekas anak murid mereka.

Katanya, perjumpaan tersebut cukup bermakna buat mereka kerana selain melepaskan kerinduan terhadap rakan-rakan, ia juga menjadi medium merapatkan semula hubungan yang sedia terjalin.

“Melihat kepada sambutan ini kami merancang untuk mengadakan perjumpaan setahun sekali selepas ini.

“Banyak lagi aktiviti lain yang bakal menyusul untuk ahli-ahli kelab,” katanya.

Ab Fatah berkata, mereka menjadikan WhatsApp sebagai penghubung untuk membincangkan sesuatu atau berkongsi perkara-perkara lain.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan rakan-rakan lain untuk menyertai kelab alumni tersebut kerana mungkin ada yang terlepas pandang dan tidak dapat dijejaki.