MERSING - Siapa tidak terharu selepas 27 tahun tidak berjumpa, rakan-rakan  sekolah hadir membawa bantuan bagi meringankan beban diri yang kini kurang upaya.

Zamri Syeikh Sulaiman, 45, merupakan bekas pelajar  di Felda Air Tawar 2 terharu apabila menerima kunjungan rakannya yang sanggup mencarinya di Mersing, semata-mata untuk menyambung ukhuwah dan bertanya khabar.

Bapa kepada empat orang anak itu yang kini menetap bersama ibunya di Pengkalan Batu Mersing, menanggung penyakit buah pinggang, kencing manis
selain cacat penglihatan.

Jawatankuasa Geng Air Tawar 2 tahun 73 (GAT2 73), Rosli Amat Buhari berkata,  Zamri merupakan antara ahli kumpulan berkenaan dari Sekolah Rendah Datuk Ismail Saadon dan Sekolah Menengah Air Tawar.

Menurutnya, GAT2 73 mendapat maklumat tentang  keadaan terkini Zamri daripada adiknya yang menetap di Felda Air Tawar 2 sebelum bersepakat
mengumpul dana membantu rakan sekolah mereka itu.

"Ziarah dilakukan ini merupakan antara matlamat grup ini ditubuhkan di mana mahu menjejaki sahabat lama yang sakit kronik atau tidak bernasib baik sekali gus memberi sumbangan ikhlas membantu meringankan beban mereka.

"Pertemuan ini juga kami hebahkan melalui platform Facebook agar rakan lain mengetahui perkembangan terkini sahabat kami yang lama tidak ditemui.

"Insya-ALLAH usaha untuk mencari sahabat sekolah kita di mana saja berada akan diteruskan demi  untuk menyambung ukhuwah," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas tentang penubuhan GAT2 73, Rosli  berkata, kumpulan itu ditubuhkan sejak tahun lalu bagi mengeratkan silaturahim yang sudah lama terpisah ekoran ramai d iantara rakan-rakan yang berhijrah ke luar kawasan.

Katanya, penubuhan kumpulan itu dibuat selepas satu perbincangan dilakukan bagi membentuk barisan ahli jawatankuasa.

"Awalnya kami buat majlis kenduri tahlil untuk arwah guru dan sahabat seterusnya reunion. Hasil perbincangan, kami menubuhkan satu tabung sumbangan untuk disumbangkan kepada rakan memerlukan.

"Salah satunya kita realisasikan dengan  menyerahkan sumbangan rakan-rakan kepada Zamri.

"Kami juga masih dalam perbincangan untuk mencari dana tabung kerana kita tahu masih ada lagi sahabat yang sakit dan kurang bernasib baik," katanya.