KUALA LUMPUR - Seramai 880 pelajar melibatkan dana RM1.2 juta telah dibantu dalam tempoh 14 tahun penubuhan Persatuan Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA).

Presiden TMESA, Mohamed Jusoh berkata, ia meliputi  pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di Terengganu di mana kira-kira 70 orang pelajar dibantu setiap tahun.

Menurutnya, TMESA berfungsi sebagai platform pihak yang  berhasrat membantu pelajar dari golongan yang memerlukan  dan cemerlang.

"Penubuhan TMESA bukan  berasaskan komersial, jadi kita tidak mempunyai dana untuk  menyalurkan bantuan, tetapi kami menjadi jambatan untuk penaja dan pelajar agar golongan ini tidak ketinggalan.

"Jadi, TMESA bertanggungjawab  untuk membawa penderma dengan pelajar tajaan ini.  Berbekal sumbangan yang disalurkan kepada pelajar ini, membolehkan mereka lebih menumpukan kepada pelajaran dan lebih berjaya," katanya pada Majlis Makan Malam TMESA, di Restoran Puteri, Jalan Datuk Sulaiman.

Pada majlis itu seramai 65 pelajar yang ditaja bersamasama  penaja dipertemukan setelah dibawa ke Kuala Lumpur untuk lawatan sambil belajar.

Mohamed dalam pada itu  turut berkongsi kejayaan pelajar yang pernah di taja hasil program  dibawah seliaan TMESA.

Ujarnya, kejayaan terbesar pelajar apabila salah seorang pelajar perempuan yang pernah ditaja sebelum ini, kini merupakan guru yang mengajar bahasa  Inggeris di Australia.

"Bekas pelajar ini juga sebelum itu mengajar Bahasa Inggeris di Korea. Ini adalah perkara yang membanggakan dan kita mahu lahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya hasil manfaat daripada program tajaan ini," katanya.