KUALA BESUT- Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan kepada pasukan KuBest Innovation Team Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang akan ke Rusia bulan depan.

Wakil TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sumbangan kecil itu adalah untuk memastikan hasrat kumpulan terbabit terdiri daripada dua guru pengiring dan tiga pelajar ke Saint Petersburg, Rusia pada 27 dan 28 Ogos depan tercapai.

Menurutnya, TMESA amat berbangga dengan pencapaian tiga pelajar tersebut yang sebelum ini bukan sahaja telah menjulang nama daerah, negeri malah negara apabila muncul sebagai juara pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Gyeongju, Korea Selantan Mei lalu.

“Saya kagum apabila melihat tiga anak kampung dari Kuala Besut berdiri penuh keyakinan di hadapan beberapa panel hakim dari negara nuklear serta peserta dari negara lain seterusnya membentangkan hasil projek mereka dalam bahasa Inggeris dengan fasih,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan tersebut Pengetua SMK Kuala Besut, Che Soh Che Mat.

Hadir sama tiga pelajar berkenaan Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, Muhammad Anuar Abd Ghani, 17, dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16 tahun.

 

Muhammad Nasir memberitahu, kejayaan tersebut membuktikan pelajar sekolah luar bandar mampu untuk meraih kejayaan sehingga ke peringkat dunia.

“Pelajar juga boleh melakukan kajian dan projek untuk membantu membangunkan pekan Kuala Besut yang merupakan gerbang pelancongan dunia,” katanya.

Sebelum ini Che Soh memberitahu, pihaknya memerlukan dana untuk membolehkan seorang lagi guru pengiring dapat ikut serta bersama pasukan tersebut untuk membentangkan projek kesedaran nuklear pada Kongras Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom).

Menurutnya, Rosatom yang menjemput pasukan tersebut hanya membiayai kos penerbangan , penginapan dan makan hanya untuk seorang guru pengiring dan tiga pelajar tersebut sahaja.

“Namun memandangkan terdapat seorang pelajar perempuan maka seorang guru perempuan perlu ikut sama ke sana,” katanya.

Muhammad Nasir (tiga, kanan) bersama pengetua SMK Kuala Besut, Che Soh Che Mat (dua kanan) wakil TMESA dan guru sekolah berkenaan. Bermula dua dari kanan di barisan belakang adalah tiga pelajar yang akan ke Rusia iaitu Muhammad Anuar, Safiyyah dan Muhammad Syazwan.