TANAH MERAH - Hampir 40 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pasir, di sini, hadir menjayakan majlis pertemuan semula yang diadakan sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Meneruskan tradisi sejak kali pertama diadakan pada 2016, program reunion kali ini juga berlangsung di rumah seorang bekas pelajar, Cek Norizan Nawi di Kampung Belimbing, dekat sini.

Kakitangan Pejabat Tanah Jajahan Jeli itu berkata, program tersebut melibatkan bekas pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di sekolah itu pada 1998.

Menurutnya, jumlah kehadiran pada majlis perjumpaan semula buat kali ketiga itu agak memuaskan disebabkan kekangan masa kerana diadakan pada musim perayaan.

“Majlis kali ini juga dimeriahkan dengan kehadiran dua bekas guru kami, Saufi Idris dan Atikah Mat Alim.

“Reunion kali pertama diadakan sempena Aidilfitri pada 2016 dengan kehadiran hampir 50 bekas pelajar dan program kedua sempena Aidiladha tahun lalu,” katanya.