KOTA TINGGI - Keterujaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela di sini, untuk bertemu kembali setelah 23 tahun menamatkan persekolahan menjadi lebih bermakna apabila masing-masing mengenakan uniform sekolah, meskipun usia sudah menginjak 40 tahun sempena majlis reunion dianjurkan.

Perjumpaan itu berjaya mengumpulkan seramai 120 bekas pelajar yang dilahirkan pada tahun 1977 dalam majlis diadakan di sekolah berkenaan.

Wakil kumpulan tersebut, Fauziah Misri berkata, pertemuan itu diadakan selepas mereka berbincang dalam grup WhatsApp dan Facebook.

Menurutnya, ia adalah perjumpaan kedua di mana yang pertama diadakan pada 2011.

“Selepas berbincang, kami semua bersetuju mengadakan lagi pertemuan seperti ini dengan men-gumpulkan lebih ramai sahabat di zaman sekolah dulu.

“Apa yang menarik pada pertemuan ini, kami mengenakan uniform sekolah sekali gus dapat imbau kembali zaman remaja dahulu, selain bertukar-tukar fikiran mengenai keadaan semasa," katanya.

Kata beliau, sebagai bekas pelajar mereka tidak  mungkin melupakan kenangan sepanjang tinggal di sekolah itu.

"Selepas berusia 40 tahun, kesemua kami ada kehidupan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, biarpun ada antara mereka tinggal di pelbagai negeri serta mempunyai keluarga dan tugasan masing-masing, namun perjumpaan itu berjaya direalisasikan menerusi komitmen yang diberikan.

“Apa yang lebih penting perjumpaan itu berjaya mengeratkan lagi perhubungan mereka, sekali gus dapat mengekalkan ukhuwah yang dibina sejak sekolah lagi.

“Kami juga bersyukur kerana berpeluang bertemu semula dengan beberapa guru yang masih ada kerana jasa dan bakti mereka tidak mungkin dapat dilupakan selamanya sehingga kami berjaya,” katanya.