ALOR GAJAH – Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim komited dan bersatu dalam membantu melengkapkan kemudahan sekolah, sekali gus menyahut cabaran menjayakan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Presidennya, Hairul Anuar Md Saleh, 54, berkata, penubuhan persatuan bekas pelajar sesi 1976 hingga 1980 itu tidak hanya merapatkan ukhuwah di antara mereka, malah medium untuk berkongsi idea dan mencurahkan khidmat bagi keperluan pelajar serta sekolah.

Menurutnya, ini termasuklah mengadakan program motivasi setiap tahun dengan mengundang bekas pelajar yang berjaya untuk menyuntik semangat calon peperiksaan, selain melihat kekurangan yang perlu dibantu.

“Alumni juga berjaya memberi sumbangan lima mesin basuh untuk kegunaan harian bagi asrama puteri selepas mendapati kemudahan itu belum pernah diwujudkan, selain akan menyumbang sebuah lagi mesin basuh dalam masa terdekat bagi menggantikan mesin basuh yang rosak.

“Saya lihat bekas pelajar tahun itu tidak kira apa jua latar belakang, mereka sedaya upaya membantu termasuk ada yang sanggup datang dari Singapura dan Brunei untuk bersama dalam program alumni.

“Melihat komited itu juga memberi semangat untuk kita menolong sekolah, bukan hanya dari segi wang ringgit tapi apa saja seperti kepakaran, kemahiran, perkongsian idea dan lain-lain lagi supaya sekolah ini terus membangun dalam mendidik anak bangsa,” katanya.

Hairul Anuar berkata demikian selepas majlis penyerahan replika cek berjumlah RM11,300 dan 127 naskhah al-Quran kepada pengetua sekolah tersebut, Zulkapli Othman di INB Resort Durian Tunggal, kelmarin.

Jelasnya, wang hasil sumbangan ahli alumni yang diberikan itu adalah untuk kegunaan pelajar sekolah.

Ujarnya, pemberian al-Quran juga sebagai tanda sokongan alumni menghargai usaha sekolah yang mengadakan slot bacaan al-Quran empat hari seminggu bagi membudayakan al-Quran dalam kalangan warga sekolah itu.

“Kita dapat tahu al-Quran yang sedia ada tidak mencukupi biarpun program membaca al-Quran telah diadakan pada waktu pagi sejak dua tahun lalu. Kerana itu kami berbesar hati berkongsi wang membeli al-Quran untuk sekolah,” katanya.