BATU GAJAH - Komitmen serta kesungguhan mereka untuk bertemu secara empat mata selepas 39 tahun terpisah berhasil selepas usaha menjejaki dilakukan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Pengerusi Majlis Reunion Permuafakatan bekas pelajar, Sekolah Menengah Rendah Batu Gajah 1976-1978, Wan Zaki Wan Harun berkata, pada mulanya mereka tidak yakin akan dapat menjayakan sambutan berkenaan dalam tempoh sesingkat itu.

"Alhamdulillah, masing-masing menunjukkan komitmen dan kesungguhan, malah kehadiran amat membanggakan. Perancangan dibuat dalam tempoh 20 hari sahaja.

"Seramai 65 bekas pelajar dan 18 bekas guru yang berada di seluruh pelosok negara datang demi hubungan yang sekian lama terputus," katanya program itu julung kali diadakan.

Katanya, mereka menggunakan media sosial dan rakna-rakan untuk menjejaki satu sama lain.

"Dalam tempoh tak sampai sebulan, kami berjaya kumpulkan seramai ni," katanya lagi.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka sanggup mengorbankan waktu tidur mereka semata-mata untuk hadir dan memeriahkan majlis ini.

"Lebih terharu, guru besar pertama, Hanafi Zaid Ali turut meluangkan masa bersama kami. Memang banyak yang dikongsi.

"Dua bekas guru kami yang hadir sudah bergelar profesor. Kami pula ada Melayu, Cina, India dan Singh. Semuanya sepakat untuk memastikan apa yang dirancang berjaya," katanya.