BATU RAKIT - Prihatin dengan kesusahan ditanggung Rosiana Rosli yang menghidap penyakit kencing manis kronik, sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama (SMU) Batu Rakit di sini, tampil menghulurkan bantuan.

Bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai hasil kutipan daripada bekas pelajar itu sedikit sebanyak meringankan beban wanita berusia 37 tahun itu dalam meraikan Syawal tahun ini.

Kisah Rosiana yang kudung kaki kanan hingga paras lutut dan jari telunjuk terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit dihidapinya sejak 12 tahun lalu mendapat perhatian ramai selepas kesempitan hidup yang dilalui menerima liputan meluas daripada media sejak lebih seminggu lalu.

Rumah pusaka yang terletak di Kampung Padang Kemunting menjadi tempat berteduh Rosiana sekeluarga.

Menurut wakil kumpulan bekas pelajar SMU Batu Rakit, Ayub Awang, pihaknya terpanggil untuk membantu Rosiana selepas mengetahui kesusahan yang dilalui ibu dua anak itu.

Katanya, kumpulan berkenaan aktif sejak beberapa tahun lalu dan memberi fokus untuk membantu bekas pelajar sekolah tersebut.

“Biasanya kita buat (kutipan) untuk bekas pelajar yang tidak berkemampuan sahaja, manakala untuk orang luar ini kali pertama kita lakukan.

“Kebanyakan aktiviti amal yang kita lakukan pula lebih menjurus kepada bekas pelajar yang rumahnya terlibat dengan banjir, bantuan awal persekolahan dan bantuan jika ada kematian,” katanya.

Ayub berkata, pihaknya menubuhkan tabung khas bagi membantu Rosiana yang kini menetap di Kampung Padang Kemunting, manakala kutipan tahunan untuk kebajikan bekas pelajar tetap diteruskan.

Sebahagian bekas pelajar SMU Batu Rakit yang aktif membuat kutipan bagi membantu rakan-rakan dan golongan kurang mampu.

Anak-anak paling gembira

Sementara itu, Rosiana mengakui Syawal tahun ini lebih bermakna buat dirinya apabila dapat meraikannya dengan lebih sempurna berbanding tahun sebelum ini.

“Alhamdulillah, tahun ini raya saya dan anak-anak lebih meriah kerana ramai pihak tampil membantu.

“Sebelum ini, sambutan Syawal kami sekeluarga hambar dengan keadaan diri saya yang tidak boleh bergerak, selain tidak mampu membeli kelengkapan seperti orang lain. Tiada yang lebih menggembirakan saya selain dapat melihat anak meraikan hari kebesaran umat Islam ini dengan penuh gembira,” katanya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus membantu keluarganya.

Wakil bekas pelajar SMU Batu Rakit menyerahkan sumbangan kepada Rosiana.

Tabah urus keluarga walau diri sendiri diuji sakit

Rosiana berkata, meskipun kudratnya begitu terhad, dia tetap memberi perhatian kepada anak sulungnya, Mohd Shahrul Azim Mohd Rozi, 12, yang lembam dan adik lelakinya, Rohaimi Rosli, 36, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

“Sejak kehilangan kaki akibat sakit ini, saya tidak dapat menguruskan diri dengan baik dan perlu mengengsot untuk ke mana-mana selain menggunakan kerusi roda yang disumbangkan guru sekolah anak saya.

“Walaupun susah dan pergerakan terhad, saya tetap kena uruskan keluarga kerana hanya saya tempat anak-anak dan adik bergantung,” katanya.

Rosiana yang kehilangan sumber pendapatan sejak menderita sakit itu, kini bergantung kepada bantuan saudara mara terdekat dan jiran tetangga, selain mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

“Hasil duit bantuan bulanan itulah saya gunakan untuk perbelanjaan keluarga dan kos rawatan di hospital,” katanya.