KUALA LUMPUR — Majlis Perjumpaan Bekas-bekas Pelajar St. John’s Institution (SJI) tahun 1997 yang berlangsung di dewan sekolah SJI berkenaan baru-baru ini, cukup meriah apabila lebih 100 orang pelajar dan 25 guru sekolah dahulu dan sekarang, hadir pada majlis tersebut.

Wakil Jawatankuasa Penganjur Majlis Perjumpaan Bekas-bekas Pelajar SJI 1997 Nizam Mohd Reza berkata, biarpun persiapan untuk menganjurkan majlis tersebut hanya digerakkan kurang daripada empat bulan lalu, kehadiran begitu ramai pelajar dan guru ke majlis tersebut bukti bahawa semangat kekitaan, ukhuwah dan silaturahim antara mereka masih utuh.

Perkembangan ini, menurutnya, adalah satu petanda baik kepada masa depan SJI dan membantu usaha ke arah mengembalikan semangat dan etos sekolah yang kian luntur mutakhir ini.

“Tempoh 20 tahun merupakan suatu tempoh yang lama untuk kita berjumpa kembali. Mengambil semangat daripada majlis ini, majlis perjumpaan sebegini akan diadakan dengan lebih kerap bagi merapatkan bekas pelajar serta guru-guru dalam keluarga besar SJI ini,” jelasnya.

Pada majlis berkenaan, para pelajar dan guru-guru sekolah dihiburkan dengan persembahan khas pasukan Johannians Pipes and Drums, tayangan video mengenai kisah hidup Johannian 1997 dulu dan sekarang serta ucapan dari wakil guru dan pelajar.

Hadir sama adalah Presiden Persatuan Bekas-bekas Pelajar St. John’s Institution (SJAA), Isham Ishak dan juga Presiden Seniman, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali dengan panggilan Zed Zaidi yang juga bekas pelajar di sekolah tersohor itu.

Majlis perjumpaan itu diakhiri dengan nyanyian lagu-lagu rasmi sekolah seperti School Rally, Onward St. John’s dan sesi bergambar beramai-ramai.