Suasana kelas, bilik khas atau persekitaran sekolah yang cantik sudah tentunya memberikan kesan yang positif kepada pelajar, guru dan seluruh warga sekolah yang lain.

Sejajar dengan sesi persekolahan yang bermula pada awal Mac lalu, ramai tenaga pengajar dan warga sekolah berkongsi gambar-gambar menarik hasil dekorasi serta kerja tangan masing-masing untuk menghias sekolah, bilik khas atau kelas.

Meskipun tugas menghias kelas, bilik khas atau persekitaran sekolah itu bukanlah satu perkara yang baru tetapi kali ini, GPS Bestari ingin menyelami pandangan guru-guru disebalik kesungguhan mereka menjalankan tugas berkenaan.

Hasil daripada perkongsian dengan beberapa orang guru, kebanyakan mereka berpendapat usaha menghias itu dibuat bukan untuk dipuji tetapi sebaliknya adalah untuk kepuasan diri sendiri ditambah pula dengan minat terhadap aktiviti dekorasi selain rasa bertanggungjawab sebagai guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kelas atau bilik khas berkenaan.

Bagi guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 3, Skudai, Johor Bahru, Cikgu Rozilah Daud, aktiviti menghias kelas itu bergantung kepada usaha guru itu sendiri selain minat untuk melihat suasana kelas yang cantik sekali gus memberi ketenangan ketika mengajar.

"Tahun ini saya diberi tanggungjawab untuk menjadi guru kelas dan kebetulan pula mendapat kelas kekal berbanding tahun sebelum ini yang mana kelas adalah dewan sehingga membataskan aktiviti dekorasi.

"Oleh itu, saya jadi lebih bersemangat untuk membuat kerja dekorasi kelas bermula daripada proses mengecat ketika cuti sekolah tahun lalu sehinggalah kepada kerja mencantikkan meja dan papan kenyataan di dalam kelas," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Menurut Cikgu Rozilah lagi, beliau mengambil masa selama dua bulan untuk menghias kelas dengan membeli pelbagai bahan dekorasi menggunakan duit sendiri manakala beberapa peralatan lain di dalam kelas seperti papan putih, mendapat sumbangan daripada ibu bapa.

"Apabila bercakap soal menghias kelas ini, semuanya terpulang kepada guru itu sendiri. Hias kelas ini bukanlah satu perkara wajib sehingga membebankan guru, semuanya dibuat kerana minat, kepuasan diri dan bukannya untuk dipuji.

"Saya seronok apabila melihat kelas cantik, murid-murid juga seronok apabila kelas mereka bersih dan kemas sekali gus menjadikan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) juga menjadi lebih selesa dan bersemangat," katanya.

Contoh kelas yang dihias oleh guru bagi memberikan suasana segar ketika PdPc berlangsung.

Sementara itu, Cikgu Intan Farizalaila Hasidan dari SK Syeikh Mohd Idris Al Marbawi, Kuala Kangsar, Perak turut bersetuju bahawa aktiviti menghias kelas itu dibuat kerana ia menghadirkan rasa kepuasan kepada diri sendiri.

"Selain itu, dekorasi yang cantik ini juga mewujudkan kelas yang kondusif agar dapat melancarkan proses PdPc bersama-sama rakan guru dan murid-murid selain mahu memberikan keselesaan kepada murid walaupun dalam keadaan prasarana yang terhad di mana kelas yang bersaiz kecil dan bangunan lama.

"Sekolah ini wujud sejak tahun 1890. Kadang kala cemburu juga dengan sekolah lain yang mempunyai infrastruktur sangat baik berbanding di sekolah kami, tetapi itu bukan halangan untuk kami, guru-guru kelas menceriakan kelas dengan sukarela. Lakukan mengikut keadaan semasa, kemampuan yang ada, bajet yang dimiliki, tanpa rasa terpaksa atau dipaksa," katanya.

http://gui.sinarharian.com.my:8080/polopoly/polopoly_fs/1.939004.1616747799!/image/image.png

Sudut tertentu dihias bagi menaikkan seri di dalam kelas.

Berkongsi mengenai idea dekorasi bagi kelas beliau, Cikgu Intan Farizalaila berkata, kali ini tema minimalis dan warna hitam putih menjadi pilihan supaya kelihatan ringkas, mudah dikendalikan, tidak sarat dan terlaluk sesak.

"Memandang saiz kelas pun kecil, jadi saya perlu lakukan perubahan agar sesuai dengan situasi semasa. Lagipun murid dah lama tidak ke sekolah belajar bersemuka, jadi muncul idea untuk wujudkan kelainan dalam kelas Tahun 1 supaya mendorong mereka untuk sentiasa bersemangat ke sekolah.

"Setakat ini, murid-murid menunjukkan reaksi positif apabila melihat kelas mereka dihias cantik malah ia turut dicemburui murid Tahun 2 yang tidak berkesempatan merasai kelas cantik sebegitu ketika sesi persekolahan tahun lalu," katanya.

Tidak kira apa saja alasan yang digunakan sebagai pembakar semangat oleh warga pendidikan sehingga mendorong mereka mengambil inisiatif menghias kelas masing-masing, kami yakin warga guru akan mengambil contoh yang baik daripada usaha berkenaan.

Bagi yang tidak berminat dengan aktiviti dekorasi, teruskan saja dengan keadaan kelas sedia ada, tidak ada salahnya asalkan sesi PdPc berjalan lancar dan murid-murid tetap mendapat ilmu yang diajarkan oleh guru.

Artikel menarik

'Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah'

Selain mesin pencetak, pisang dan jagung turut dihadiahkan untuk guru sebagai tanda penghargaan