Mesti ramai yang pernah masuk asrama dan mempunyai pengalaman sama ada pahit atau manis, bukan? Tidak kiralah sama ada ketika 90-an mahupun kini, sedikit sebanyak pengalaman itu masih lebih kurang sama. Admin teruja mengikuti penulisan seorang penulis blog ini. Memang ada kena-mengena dengan zaman admin tinggal di asrama dulu.

Ikuti perkongsian Khudri Halim di blog miliknya mengenai memori di asrama yang boleh mencuit hati kita. Ah, terkenang nostalgia itu. Dalam pahit, tetap ada manisnya. Jom baca dan tergelak sama-sama.

Pengalaman Tinggal di Asrama Sekolah Menengah

Mungkin kehidupan di asrama hari ini dengan waktu awal 2000 dulu berbeza, namun pengalaman tinggal di asrama semasa sekolah menengah dahulu masih diingati. Aku mula tinggal di asrama pada 1999 sehingga 2003 di sekolah di tengah bandar Jitra, Kedah. Tinggal di asrama sekolah dan di universiti amat berbeza, tapi tinggal di asrama sekolah lebih menggamit kenangan dan mencuit hati.

1 - Selipar Selalu Hilang

Hairan bin Ajaib. Selipar di asrama merupakan item paling HOT... tiba-tiba boleh hilang. Kalau jumpa pun mesti sebelah saja. Itu yang pergi sembahyang Jumaat selipar kahwin... Kadang-kadang, ada juga yang nakal ni pergi masjid semasa solat Jumaat macam pergi ‘shopping complex’. Pergi selipar Jepun, balik elok je selipar entah siapa punya selipar diorang ambil. Kawan aku Syed Zakry memang pernah buat perangai kunci dia punya selipar Jepun... Dah ‘tension’ sangat asyik kena beli selipar baru... Hahaha...

Kunci selipar

2 - Ponteng Solat Berjemaah di Surau

Setiap pagi, warden asrama akan datang untuk mengejutkan kami. Aku masih ingat cikgu “Mat Sabu” datang – “Bangun, Bangun” dengan semburan air di tangannya. Hahaha... Selalu aku bangun, lepas itu aku masuk dalam loker tidur balik. Hehehe... Pernah sekali terlelap sampai orang dah habis solat, solat dalam bilik je la dan malang nasib tawaf ‘court’ tenis secara berjemaah sebab tak turun surau solat...

3 – Ponteng Kelas Mengaji al-Quran

Selalunya belajar mengaji semasa tingkatan 1 dan 2 sahaja. Masa tu sekolah sesi petang. Jadi, setiap hari Selasa, kena pergi surau mengaji lepas riadah pagi, ada ustaz akan datang mengajar. Kalau ustaz tak datang, itu waktu paling seronok. Hehehe... Pernah juga ponteng kelas mengaji masa tingkatan 1. Ustaz tu ‘report’ dekat ketua warden , Cikgu Mail. Apa lagi... panggillah kitorang yang ponteng ni. Kena rotan dengan pembaris la...

4 – Tidur Semasa Prep @ ‘Study’

Pelik gak, asal tinggal di asrama je memang jadi kaki tidur. Tambah-tambah petang lepas makan tengah hari memang ngantuk gila... Waktu prep petang memang selalu terkandas, tidur dalam dorm. Pernah terkantoi dengan ketua warden, Cikgu Mail dengan skuter merahnya datang buat ‘spotcheck’. Dengar saja bunyi skuter dia kat bawah, huru-hara pakat turun. Pernah dua kali kena denda yang luar biasa. Ada sekali dia bawa ‘color spray’. Dia ‘spray’ atas kepala sorang-sorang, nak basuh tu seksa... Pernah juga kena lap air spender siapa entah di muka...

Waktu prep malam, selalunya kena pergi dekat kelas sebab ramai sangat orang. Maklumlah sekolah dua sesi. Dewan makan tak cukup nak tampung. Pernah terlelap dalam kelas waktu prep malam. Kitorang memang kalau ada orang tidur semasa prep malam memang jadi baik hati, memang tak kan kejut punya. Masa balik semua mesti senyap-senyap tutup lampu pastu keluar. Tinggallah orang yang tidur berseorangan... Hahaha...

Tidur masa prep

5 – ‘Fly’ @ Lompat Pagar

Selalunya waktu malam, tiba-tiba perut jadi lapar, nanti ada lah ‘runner’ yang kutip duit untuk tempah beli makanan. Maklumlah, sekolah di tengah bandar, memang banyak di sekitar sekolah. Bila dah mula masuk tingkatan 3, mulalah nak ‘fly’ juga. Kadang-kadang bukan lapar sangat pun, tapi rasa seronok bila ‘fly’ berjemaah. Seronok main kejar-kejar dengan Pak Guard. Hehehe...

6 – Aura Dragon Ball

Setiap Sabtu mesti ramai berebut-rebut nak masuk bilik TV, sebab cerita Dragon Ball je pun. Tak kiralah yang besar ke, yang kecil ke, memang hampir semua tengok cerita ni. Biarlah dalam komik dah ada pun, memang cerita Dragon Ball jarang ditinggalkan untuk ditonton. “Kame ha me ha”. Pernah masa kelas tambahan siap minta untuk balik tengok Dragon Ball lagi... Memang cikgu masa tu memahami...Entah-entah cikgu pun nak tengok Dargon Ball...

7 – Basuh Baju Senior

Aktiviti ni dulu amat ‘femes’. Boleh kata menjadi rutin junior pula untuk basuh baju senior. Tapi aku memang tak pernah suruh junior basuh baju aku. Pelik, kan. Sebab aku dulu kalau kena basuh baju senior je mesti tak ikhlas nak buat. Bila tak ikhlas, mulalah basuh guna kaki je, pastu ambil baju tu celup dalam air jamban sebelum sidai. Sebab tu aku tak berani nak suruh orang basuh baju aku. Nanti mungkin diorang akan buat macam tu juga. Sori lah abang-abang senior yang aku pernah basuh baju korang... Hehehe...

8 – Aktiviti Semasa Keluar @ ‘Outing’

Setiap hari Sabtu memang boleh keluar, Jumaat malam je kumpul buku keluar untuk warden sain. Kadang-kadang tiru sain warden... Tempat yang biasa untuk belajar tiru sain tu salah satunya adalah tilam. Kalau tengok kat tilam dekat asrama mesti ada pelbagai coretan. Salah satunya ‘sign’ warden. Hehehe...

Selalunya keluar pun untuk beli barang-barang, makan mee sup perut. Kadang-kadang kalau tak tahu nak buat apa, mesti pergi ‘cyber cafe’ beramai-ramai main Red Alert dengan Counter Strike. Tak pun main MiRC nak cari pasangan lah konon... Hehehe... Dulu mana ada HP. Nak main kena pergi CC la...

9 – Kolam Ikan Sekolah

Setiap dua minggu kena balik kampung. Bila dah naik tingkatan 4, pernah juga tak balik kampung, sebab rumah aku paling jauh, kat Kelantan. Jadi, pernah juga tak balik. Kadang-kadang cari 2-3 orang duduk dalam asrama tu. Tak berapa best sangat kalau sikit orang. Tapi pernah masa tu kitorang duduk dalam 8-10 orang yang tak balik. Sekolah tu memang kita punyalah... Lapar? Tak jadi masalah. Ikan talapia dalam kolam sekolah jadi mangsa. Tong-tong duit buat BBQ. Hehehe...

10 – Makanan di Dewan Makan

Makan kat asrama dulu memang dalam ‘tray’ besi yang ada banyak ‘partition’ tu. Antara makanan yang paling diminati atau yang disambut baik semestinya makanan yang ada ayam. Makanan pada hari Jumaat paling best. Nasi ayam lepas tu ada ais krim. Kalau ‘time’ lauk ikan jaket atau kari ikan tongkol je, mesti kurang mendapat sambutan. Padahal sekarang ikan tu pun dah mahal. Tambah buat masak berinti pedas tu, memang sedap...

Nasi Ayam

Sumber: khudrihalim.blogspot.my