SUKAN tahunan sekolah adalah aktiviti yang sangat dinanti-nantikan oleh para guru, murid dan ibu bapa.

Bayangkan ahli rumah sukan pasti bertungkus-lumus untuk memberikan persembahan yang terbaik dengan mengambil kira hiasan khemah, perarakan, atlet yang akan merangkul johan, olahragawan, olahragawati serta siapa yang bakal diumumkan johan antara rumah.

Paling penting murid dapat menggunakan masa lapang secara berfaedah dan bermakna di samping memupuk sikap positif melalui kerjasama berpasukan.

Guru Bahasa Melayu, Cikgu Ahmad Safarman Dollah dari Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak, berkongsi kisahnya bersama murid-murid setiap kali menyambut sukan tahunan sekolah.

**********

Seminggu sebelum sukan lagi guru dan murid begitu semangat. Dari Prasekolah hinggalah ke tahun enam berlumba-lumba untuk memberikan yang terbaik kepada rumah sukan masing-masing. Mereka melakukan latihan sukan tanpa mengira panas dan hujan.

Kalau ikutkan, murid ada yang tak minat untuk aktif dalam sukan. Mungkin rasa rendah diri, malu, tidak yakin, atau takut kalah jika bertanding apatah lagi di depan ibu bapa.

Ada yang awal-awal ‘mengaku’ sakit perut, sakit kaki, sakit kepala, lelah dan sebagainya. Yang kelakarnya ada yang menyorok dalam tandas semasa sesi pemilihan pemain dan tidak datang sekolah langsung.

Apapun acara sukan tetap diteruskan seperti biasa. Sudah pastinya ‘jaguh sukan’ atau ‘ayam tambatan’ masing-masing ingin membuktikan mereka berjaya mengharumkan nama rumah sukan dan sekolah.

Hikmah sukan ini sangat besar. Mereka dapat meningkatkan minat dan semangat untuk bergerak cergas dalam kegiatan sukan dan permainan di samping mencegah budaya negatif. Mampu membentuk murid yang sentiasa ingin menyumbang kepada kecemerlangan sekolah melalui kemenangan dalam pertandingan, di samping menjaga nama baik sekolah melalui amalan sahsiah dan disiplin yang unggul.

Bukan setakat murid, guru-guru dan ibu bapa begitu semangat seolah-olah mereka juga ingin memasuki acara yang dipertandingkan. Hebat sekali panahan sukan tahunan sekolah.

Umum sedia mengetahui, apabila ingin menyambut sukan tahunan sekolah, PIBG dan ibu bapa terlebih dahulu akan membina khemah dan membuat persiapan VVIP.

Di sini kita dapat lihat kerjasama mereka ternyata merapatkan ikatan antara guru dan murid. Mereka hadir memberikan sumbangan tanpa penat dan lelah memastikan sukan tahunan berjalan dengan lancar.

Mereka nak sangat melihat anak merebut gelaran juara. Bahkan para ibu bapa ini sendiri sememangnya tahu dengan sukan mampu melahirkan insan sihat di semua peringkat umur dan sentiasa berdaya saing. Jangka panjang melahirkan murid yang berdisiplin, mematuhi masa dan tahu peraturan pertandingan.

Murid yang minat akan sukan kalau boleh hendak masuk semua acara. Pihak guru sendiri pening kepala untuk menyusun bakat murid.

Maklum sahajalah, jika tersalah letak, akan memberikan kekalahan kepada rumah. Jadi memilih yang terbaik antara yang terbaik itulah strategi yang mampu meletakkan sesuatu rumah dimeriahkan dengan pingat. Kepuasan di wajah murid itulah juga kepuasan di wajah guru yang melatih.

Semoga segala jasa dan pengorbanan semua dalam menjayakan sukan tahunan ini mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah, meningkatkan tahap kesihatan, kesejahteraan diri dan kecemerlangan fizikal. Paling penting menaikkan nama sekolah dari semasa ke semasa untuk terus berada pada imej dan prestij tersendiri sesuai dengan moto Usaha, Tawakal, Berjaya.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat.

Di sinilah kita dapat mengenal erti persahabatan, mengeratkan silaturahim sesama bak peribahasa Melayu berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Sukan tahunan sekolah terus mekar, subur ikatan harumkan kenangan zaman berzaman.”

Pasukan silat membuat persembahan.

Murid pra sekolah turut mengambil bahagian dalam perbarisan.

Cikgu Ahmad Safarman (dua dari kiri) bersama murid-murid yang terlibat dalam acara sukan tahunan sekolah.

Peserta rumah Kuning bersedia untuk perbarisan.

ARTIKEL MENARIK:

'Sampai bila sekolah kami akan jadi begini' - Luahan hati guru buat warganet sebak

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

7 November makin hampir...cikgu ini kongsi tip mudah skor Matematik SPM 2019