Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan berita seorang guru wanita dari Sekolah Kebangsan Lio Mato, Long San, Baram, Sarawak maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas dan jatuh ke dalam gaung.

Pada ketika itu, mangsa, Nur Anisah Othman, 29, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru sahaja tamat tempoh kuarantin di salah sebuah hotel di Miri dan dalam perjalanan ke sekolah untuk bertugas.

Kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sejauh 20 meter

Menceritakan detik cemas itu, rakan mangsa, Hairileqhwan Firdaus Fadzil, iaitu penumpang yang terselamat dalam nahas tersebut berkongsi secara eksklusif bersama GPSBestari.

Ikuti perkongsian guru asal Kuala Nerus, Terengganu ini.

‘Aduh… aduh….’

Itulah kali terakhir aku mendengar suara Nur Anisah, sebelum ia tidak kedengaran lagi selepas itu.

Semoga arwah Cikgu Nur Ansah Othman ditempatkan bersama mereka yang beriman

Anisah pergi, meninggalkan rasa pilu, sedih dan hiba di hati kami… tidak sangka itulah kali terakhir aku bertemunya.

Ku sifatkan, arwah seorang rakan setugas yang tiada galang gantinya. Dia seorang yang peramah, ceria, mudah bergaul, tegas tapi penyayang, berdisiplin, komited, fokus dalam gerak kerja, dan sentiasa berikan buah fikiran yang bernas.

Hanya Allah sahaja yang tahu, perasaanku ditinggalkan rakan yang sangat memahami. Aku hilang tempat bergurau, meluahkan perasaan, pada saat aku dihimpit pelbagai persoalan dan masalah.

Cikgu Hairileqhwan Firdaus Fadzil

Di sekolah, dia sangat disenangi ramai… seorang yang ceria dan kami sama-sama melapor diri di sekolah itu pada tahun 2015.

Kini, tiada lagi wajah ceria yang menceriakan hari-hari kami di sekolah. Semua guru dan juga murid pasti merindui arwah yang terkenal dengan sikap ramahnya.

Arwah bersama rakan guru

Bercerita lanjut, guru Bahasa Melayu, SK Lio Mato itu berkongsi… Tanggal 3 September 2020, tepat jam 3 petang, merupakan detik hitam yang tidak akan dia lupakan sampai bila-bila.  

Arwah duduk hujung paling kanan

Dia bukan sahaja kehilangan rakan sekerja, bahkan pengalaman pahit tersebut turut meninggalkan kesan trauma yang agak teruk, selain mematahkan semangatnya untuk terus menabur bakti di pedalaman….

Padaku, tidak mudah untuk bergelar pendidik… apatah lagi bagi kami yang bertugas nun jauh di pedalaman. Banyak yang kami perlu korbankan, bukan sahaja masa, malah keselamatan juga turut dipertaruhkan.

Laluan utama kami ke sekolah, bukanlah jalan berturap licin, sebaliknya jalan balak bertanah merah, adakalanya berbatu, berdebu, berbukit bukau dan bersimpang siur.

Jika tidak hujan, mudahlah sedikit perjalanan kami, jika hujan? Sudah tentulah… yang berdebu itu bertukar licin dengan selut di sini sana.   

Arwah Nur Anisah seorang yang aktif dan periang

Tempoh masa perjalanan adakalanya mengambil masa antara  enam hingga tujuh jam dengan menaiki pacuan empat roda. Itu pun bergantung kepada cuaca dan keadaan jalan ‘off road’ yang terpaksa kami lalui.

Menyorot kembali detik cemas itu…

Pada jam 1455, aku tersedar daripada tidur-tidur ayam. Ketika itu, aku lihat pemandu kami memandu dengan perlahan dan penuh berhati-hati, sementara rakannya di sebelah sedang melihat telefon dan arwah pula nyenyak tidur kerana keletihan.

Namun, tepat jam 1500 petang, keadaan menjadi tidak tentu arah,  pacuan empat roda Toyota Hilux yang kami naiki hilang kawalan secara tiba-tiba, bergerak ke kiri jalan lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter.

Ia berlaku dalam sekelip mata!

Arwah, duduk paling kiri

Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana insiden berlaku dengan pantas. Kereta berguling beberapa kali. Kami terperangkap dan cuba keluar  selamatkan diri dari kereta yang terbalik.

Ketika itulah aku terdengar arwah menyebut...

'Aduh.. Aduh..' dan selepas itu suaranya tidak lagi kedengaran.

Kami bertiga bergegas keluar daripada kereta. Keadaan arwah ketika itu terlentang kaku.

Jenazah ketika ingin dibawa ke Miri, Sarawak

Kami berusaha dan berjaya membawanya keluar, sebelum  meminta bantuan daripada pemandu lori balak yang kebetulan lalu di jalan tersebut.

Pada masa sama, pemandu kami berusaha menghubungi Klinik Kampung Long San untuk urusan kecemasan.

Waktu itu, pada mulanya, nadi arwah masih kuat. Tetapi selang 30 minit kemudian, nadinya semakin lemah. Kami mengangkat arwah ke atas jalan dan meletakkan arwah di dalam van ambulans untuk dibawa ke klinik.

Sepanjang perjalanan ke klinik, aku berterusan memanjatkan doa kepada ALLAH SWT, moga arwah tidak apa-apa, dalam masa sama, aku cuba juga mengajarnya mengucap kalimah syahadah.  

Persiapan sebelum diterbangkan ke Pulau Pinang

Kami tiba di klinik pada jam 1600 petang, arwah terus segera dimasukkan ke bilik rawatan.

Cikgui Hairileqhwan Firdaus Fadzil (kanan), bersama suami arwah,  Muhammad Faisal

Ketika itu, aku berjaya menghubungi emak dan suami arwah, bagi menyatakan tentang insiden yang berlaku.

Orang-orang kampung mula mengerumuni klinik setelah mendapat berita insiden.

Namun... pada jam 1730, doktor bertugas mengesahkan arwah sudah tiada. Katanya, punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalaman.

Allah sahaja yang tahu perasaanku pada ketika itu, sedih dan terkejut dengan apa yang menimpanya.

Berat sungguh rasa di hati, untuk memaklumkan keadaan terkini arwah kepada ibu arwah, suaminya, ibu bapaku, isteri dan warga sekolah. Terasa tidak sanggup untuk aku menuturkannya...

Selamat tinggal sahabatku...

Apapun, itulah hakikat yang terpaksa aku tempuh. Luluh hati aku, luluh lagi hati ibu dan suaminya yang mendapat perkhabaran, anak dan isteri tersayang sudah pergi buat selamanya…

Pada jam 1915, kami bersama-sama jenazah bergerak dari Klinik Kampung Long San ke Hospital Miri dan tiba pada jam 0115.

Perjalanan mengambil masa lebih enam jam perjalanan dari kawasan kejadian, berikutan lokasi nahas berlaku terletak jauh di pedalaman dan berhampiran pula dengan sempadan Kalimantan, Indonesia.

Sepanjang perjalanan, perasaanku bercampur baur. Sukar digambar apa yang bergelodak dalam hati dan fikiranku ini. Memang tiada siapapun yang dapat menduga, apa yang bakal menimpa. Inilah qada dan qadar, setiap yang hidup itu, pasti akan kembali kepada PenciptaNya...

Biarpun aku bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, rasa sedih itu sukar diungkap! Aku memang tidak menyangka… itulah kali terakhir aku bertemu dengan Nur Anisah Othman….

Dalam hati, hanya ku titipkan doa buatnya. Moga rohnya dicucuri rahmat dan arwah ditempatkan bersama mereka yang beriman.