SEBENARNYA, bila Alia berkata pada aku yang dia kena basuh baju untuk 5 orang, aku tertanya-tanya juga. Setahu aku mereka hanya berempat.

Pengkid, maknya, Alia dan Aimi. Siapa lagi seorang?

Akhirnya persoalan aku terjawab semasa ziarah seterusnya. Rupanya ada seorang kanak-kanak lagi tinggal bersama mereka.

Seorang lagi adalah seorang budak lelaki berusia 3 tahun. Comel sangat budaknya.

Kulit putih melepak, mata sepet seakan berdarah Cina.

"Siapa ni Alia?" soalku pada Alia.

"Oh. Ni anak babah. Amin namanya."

La, pengkid tu ada anak rupanya. Comel pula tu. Aku mendekati Amin dan cuba berinteraksi dengannya.

Oh, anak ini ada speech delay. Dan dari sikap dan tindak balas dari Amin, dia ada ciri-ciri autism yang tidak ketara.

Aku perhati tangan dan kaki Amin. Tiada satu kesan calar pun.

"Amin tak pernah kena pukul ke?" soal aku lagi pada Alia.

"Tak cikgu. Amin makan sedap-sedap. Amin tidur atas tilam," balas Alia.

Alia dan Aimi lah yang mengasuh Amin sejak dua tahun lalu. Hubungan mereka sangat akrab bagai adik-beradik kandung.

Cantik sungguh hati Alia dan Aimi. Mengasihi anak itu sedang ibunya mendera mereka hampir saban hari.

Aku perhatikan Aimi dan Amin bermain bersama. Bergelak ketawa dan bergembira bagai tiada apa-apa masalah.

"Awak sayang Amin?"

Alia menganggukkan kepala.

"Saya selalu dukung dia dan jaga Amin kat rumah," balasnya dengan senyuman manis.

Ah anak. Hatimu bersih suci dan penuh dengan kasih sayang. Walau kamu dibenci ibunya, walau kamu disakiti, kamu mengasihi tanpa sebarang syarat.

Masih terngiang ditelinga aku Alia pernah berkata dia hanya diberi sejemput nasi kosong tanpa lauk.

Masih terbayang dimata aku bagaimana Alia muntah bila neneknya memberi makanan yang sedap-sedap dengan lauk yang banyak.

Agaknya perut Alia terkejut. Sudah biasa makan nasi kosong bertahun lama, jumpa lauk sedap perutnya tak boleh terima.

Tidak terungkap sedihnya aku bila dapat tahu anak kecil ini dirotan bertalu-talu di kepala dan badan. Lebih memeritkan, dicucuh besi panas diseluruh badan.

Paling aku sedih bila membayangkan Alia kepenatan sampai di rumah nenek dan mengetuk pintu rumah. Saat neneknya membuka pintu, neneknya tidak mengenalinya.

"Nenek, ini kakak," katanya terus memeluk nenek tersayang.

Ah, babak itu sentiasa bermain diminda hingga aku menitis air mata.

Walau sebegitu diperlaku, dia mengasihi Amin dengan sepenuh hati. Jelas melalui layanan Alia dan Aimi semasa ziarah aku tempoh hari.

Pengkid dan ibunya dah ditahan reman 7 hari. Alia, Aimi dan Amin kini dalam jagaan yang selamat.

Alia dan Aimi akan dijaga oleh ayah dan nenek mereka manakala Amin akan dibantu oleh JKM sehingga habis perbicaraan.

Sementara itu, kalian sabarlah. Kiriman kalian melalui Dana Kita aku jaga sebaiknya.

Sebaik kes mereka selesai, semua kelengkapan persekolah akan aku sediakan. Pakaian baru untuk jalan-jalan, baju raya, mainan, alat tulis dan sebagainya akan aku sediakan.

Alia dan Aimi. Ketahuilah anakanda, betapa ramai orang sayangkan kalian.

Sangat ramai orang mendoakan kalian. Dan sangat ramai orang bersyukur kalian diselamatkan.

Cikgu bukan sesiapa. Namun kamu kamu adalah istimewa dihati cikgu.

Jangan risau Alia dan Aimi. Cikgu bukan membantu kamu semasa kes tengah panas dan ramai orang tahu.

Bantuan cikgu, InsyaAllah akan berpanjangan sentiasa. Walau suatu hari nanti kisah kamu akan dilupakan, walau suatu masa nanti tiada lagi orang akan ingat kisah ini.

Cikgu akan selalu ada. Cikgu akan selalu setia.

Kerana Dana Kita yang cikgu usahakan bukan bantuan bermusim. Ia bantuan berpanjangan. Walau tidak banyak, tapi sentiasa ada.

Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang terus menerus menyokong usaha aku.

Tanpa kalian, aku rebah sendirian.

 

Terima kasih dari hati. ❤️

 

#MFS

- Mengharap doa dari anak-anak ini saat aku tidak lagi mampu berdoa -

 

ARTIKEL TERDAHULU:

SIRI 1: "Cikgu, ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas.. hampir setiap malam saya tidur di bilik air"

SIRI 2: "Saya makan nasi kosong tanpa lauk cikgu.. dua tiga suap je sekali makan"