Sebut sahaja asma, ramai ibu mula risau dan bimbang, lebih-lebih lagi jika yang menghidap asma itu adalah anak sendiri. Macam-macam yang difikirkan, terasa anak tidak normal, bimbang anak tidak boleh aktif seperti anak-anak lain di sekolah dan macam-macam lagi kebimbangan.

Hakikatnya para ibu janganlah risau sangat dengan keadaan anak. Sebenarnya, anak-anak ini masih lagi boleh menjalani kehidupan normal dan aktif sepertimana kanak-kanak normal lain di sekolah. Asalkan ibu dan juga anak tahu pemakanan yang sesuai dan bagaimana untuk mengurus masalah ini dengan baik.

Pengambilan dua asid lemak, omega-3 dan omega-6, mungkin mempunyai kesan yang berbeza terhadap keseriusan asma pada kanak-kanak dan mungkin juga memainkan peranan berbeza dalam mengubah tindak balas mereka terhadap pencemaran udara dalaman, menurut kajian baharu yang diterbitkan secara atas talian di dalam American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine.

Salah seorang penyelidik, Emily P. Brigham menyatakan bahawa kanak-kanak dengan tahap omega-3 yang lebih tinggi dalam diet mereka mempunyai asma yang kurang serius dan gejala yang lebih sedikit sebagai tindak balas terhadap pencemaran udara dalaman yang lebih tinggi.

Sebaliknya, kanak-kanak dengan tahap omega-6 yang lebih tinggi dalam diet mereka mempunyai asma yang lebih teruk dan lebih banyak gejala sebagai tindak balas kepada tahap pencemaran udara dalaman yang lebih tinggi.

Asid lemak Omega-3, yang terdapat dalam ikan, kacang soya dan kekacang dan bijian tertentu, dianggap sebagai sebahagian makanan yang sihat kerana ianya boleh menggalakkan penyelesaian keradangan dalam badan. Omega-6 asid lemak yang kebiasaannya ditemui dalam minyak sayuran, mempunyai kesan bercampur-campur pada kesihatan tetapi secara amnya menggalakkan keradangan.

Menurut Dr Brigham, ramai kanak-kanak di Amerika Syarikat, termasuk mereka yang berada di Baltimore City, Maryland, tempat di mana mereka menjalankan kajian tersebut, diet kanak-kanak di bandar tersebut menyimpang secara mendadak daripada garis panduan nasional. Ini bermakna mereka makan sejumlah omega-3 dengan kadar yang rendah, dan jumlah omega-6 yang lebih tinggi.

Kadar asma dalam kalangan kanak-kanak di bandar tersebut lebih daripada dua kali ganda purata kebangsaan. Ini kerana kanak-kanak yang mempunyai asma sudah terdedah kepada keradangan dan gejala pernafasan, dan kumpulan penyelidiknya ingin melihat apakah asid lemak ini dapat menyumbang lebih lanjut kepada keparahan dan gejala penyakit mereka sebagai tindak balas terhadap pencemaran udara dalaman, yang sering meningkat di rumah-rumah bandar.

Kajian tersebut melibatkan 135 orang kanak-kanak, yang berumur 5-12 (umur purata: 9.5), yang mempunyai asma. Sembilan puluh enam peratus daripada kanak-kanak adalah berketurunan Amerika Afrika, dan 47 peratus adalah perempuan.

Kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak mempunyai asma ringan, satu pertiga yang lain mempunyai asma yang sederhana teruk dan satu pertiga lagi yang mempunyai asma yang teruk. Diet mereka, gejala asma setiap hari dan penggunaan ubat asma ditaksir selama seminggu dalam pendaftaran dan sekali lagi selama satu minggu pada tiga dan enam bulan.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa tahap omega-6 yang lebih tinggi dalam diet kanak-kanak dikaitkan dengan kadar peratusan neutrofil yang lebih tinggi (sejenis sel darah putih yang dikaitkan dengan keradangan) sebagai tindak balas terhadap pencemaran partikel.

Keterbatasan kajian termasuklah fakta bahawa pengambilan asid lemak dilaporkan sendiri oleh anak-anak, dengan bantuan daripada ibu bapa, dengan menggunakan soal selidik diet yang khusus direka untuk penduduk di Baltimore City.

Oleh sebab kajian ini adalah pemerhatian dan bukanlah percubaan terkawal, penyelidik tidak dapat membuktikan sebab dan akibatnya atau mengetepikan faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada hubungan yang disebut dengan kesihatan asma.

Walau bagaimanapun, para penyelidik percaya kajian mereka menekankan mengenai pentingnya diet untuk penduduk yang mengalami kadar asma yang tinggi. Menurut Dr Brigham, sekiranya terdapat hubungan penyebab di antara diet dan asma, diet yang sihat boleh melindungi kanak-kanak yang mempunyai asma, terutamanya kanak-kanak minoriti yang tinggal di bahagian dalam bandar, daripada beberapa kesan buruk akibat pencemaran udara.

Kredit: HelloDr.com