Guru wanita Sekolah Kebangsaan Teluk Gunung, Merapoh, Pahang, reda apabila anak ketiganya disahkan menghidap left adrenal neuroblastoma, iaitu sejenis kanser  kalenjar adrenal.

Guru subjek Sains dan ICT, yang juga Guru Penyelaras Bestari di sekolah itu, Cikgu Norliana Mohd Nasir tabah dengan ujian yang diberikan kepadanya.

Muhammad Dzakwan Ziyad Abdullah, 2, anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan menghidap bilateral adrenal neuroblastoma tahap empat pada April 2019.

Namun penyakitnya itu kembali menyerang selepas Ziyad menjalani sembilan kitaran kimoterapi yang berakhir pada awal tahun 2020.

Menurut Liana,  Ziyad  terpaksa menjalani semula rawatan tersebut sebanyak dua kitaran sebelum  pembedahan pada 28 Januari lalu, memandangkan tumor adrenal kirinya itu telah membesar sehingga mengganggu perut dan ususnya.

 “Pakar bedah telah buang adrenal sebelah kiri pada 28 Januari lalu,  sebab adrenal tersebut tidak berfungsi dan telahpun menjadi kanser. Kini Ziyad bergantung kepada adrenal sebelah kanan sahaja.

“Sekarang ni pun Ziyad sudah dibenarkan pulang ke rumah, tetapi masih dikawal pergerakannya, memandangkan luka di perut belum sembuh sepenuhnya lagi.

“Ziyad akan kembali ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semula untuk menyambung rawatan kemoterapi pada akhir bulan ini. Harapnya  baki sel kanser yang ada tu dapat memberi respon yang baik terhadap rawatan tersebut. Semoga permata kesayangan saya ini kembali sihat dan aktif seperti dulu.,” jelas beliau tabah.

Tambah Norliana atau lebih dikenali sebagai Cikgu Liyana, beliau terpaksa mengambil cuti separuh gaji dan cuti rehat khas untuk menjaga Ziyad di hospital.

Namun, keadaannya itu bukan penghalang untuk beliau terus berbakti kepada anak bangsa.

“Sebelum ke HUSM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), saya akan siapkan lebih awal modul beserta tugasan untuk murid-murid saya. Untuk mengedarnya pula, pihak pentadbir dan rakan sejawat banyak membantu, dan mereka sedia maklum dengan keadaan saya.

“Sekolah ada sediakan jadual PdPR, jadi saya akan mengajar mengikut waktu yang telah ditetapkan. Ketika berada di hospital, saya akan sediakan tugasan tambahan daripada modul yang telah diedarkan sebelum ini berserta  penerangan melalui grup Whatsapp PdPR,“ jelasnya.

Memahami kekangan waktu ketika masih menjaga Ziyad  di hospital, Cikgu Liyana akan penuhi masa dengan menyelesaikan pertanyaan dan menyemak kerja-kerja murid yang dihantar melalui Whatsapp.

“Semakan tugasan murid, selalunya saya akan siapkan lebih awal, ataupun tunggu anak tidur baru boleh buat. Bila tiba waktu saya mengajar, saya akan kongsikan link pembelajaran dan juga jawapan yang telah disemak itu kepada mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, biarpun dihimpit ujian demi ujian, namun tugasnya sebagai pendidik tidak akan disia-siakan.

Sebagai Penyelaras Bestari, beliau turut bertanggungjawab berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepada rakan pendidik lain, berkenaan PdPR dalam talian.  

“Di sekolah, kami menggunakan tiga kaedah PdPR, iaitu melalui kaedah modul(offside), offline dan online.  

“Memandangkan sekolah saya berada di kawasan yang sukar untuk mendapat talian internet, ibu bapa lebih suka jika guru-guru menyediakan modul dan diambil secara pandu lalu di sekolah,” katanya.

Manakala pembelajaran secara online, kebiasaannya beliau akan muat naik video di dalam Google Form dan murid-murid perlu menjawab kuiz melalui pautan tersebut.

“Namun, pada saya  kaedah tersebut agak kurang berkesan, memandangkan tidak semua murid dapat mengikutinya, kerana masalah capaian internet di kediaman mereka,” katanya.