“Pensel kau bukan 2B, jadi tak sama. Kalau tak sama, cikgu tahu bukan aku yang buat,” jawab Azman.

Itulah kata-kata Azman satu ketika dahulu.

Masih terngiang-ngiang suaranya di telinga Cikgu Asraf Selajudin.

Sehingga kini, kisah sahabat baiknya dan pensel 2B nya itu masih kekal dalam ingatan.

Walaupun Azman sudah tiada, namun guru Bahasa Melayu dan Sejarah, Sekolah Kebangsaan Batu Luking, Kanowit, Sarawak sukar melupakannya.

"Azman menghembuskan nafas terakhir di rumahnya. Ketika itu usianya hanya berusia 22 tahun

"Tidak ada penyakit, tidak ada sebarang tanda pelik. Namun itulah yang dikatakan ajal.

Kepada GPS Bestari, Cikgu Asraf berkongsi momen-momen indah sewaktu kecil antara dirinya bersama arwah Azman.

Ikuti kisah yang cukup menyentuh hati ini

**********

Ketika belajar di Tahun Satu, aku dan rakan-rakan duduk di dalam kelas mengikut urutan abjad.

Guru kelas menyusun kedudukan kami seperti itu agar mudah untuk ambil kehadiran dan mengesan murid yang tidak hadir.

Ditakdirkan aku duduk bersebelahan murid yang bernama Azman. Seorang yang periang dan ceria. Kadang-kala sedikit nakal.

Aku dan dia menjadi sahabat karib. Waktu rehat kami akan makan bersama-sama bekal yang dibawa dari rumah.

Pada suatu hari, Azman tidak sempat menyiapkan latihan yang diberikan oleh Cikgu Suhaimi. Cikgu Suhaimi memang terkenal dengan sifat garangnya. Siapa yang tidak menyiapkan latihannya, memang kenalah.

Sejak awal pagi, Azman nampak gelisah. Mencari masa untuk menyiapkan latihan secepat mungkin sebelum tiba masa subjek Matematik.

Jika diikutkan jadual, masa subjek Matematik adalah selepas waktu rehat. Jadi aku dan dia mengambil keputusan untuk tidak keluar rehat sebaliknya menyiapkan latihan matematik.

Ada 2 helai latihan yang perlu disiapkan. Aku bantu dia buat sehelai, lagi sehelai dia buat sendiri.

Dia hulurkan kepada aku pensel 2B miliknya dan minta aku gunakannya bagi menyiapkan latihannya.

Aku tanya “Kenapa tak boleh guna pensel aku je?”

“Pensel kau bukan 2B, jadi tak sama. Kalau tak sama, cikgu tahu bukan aku yang buat,” jawab Azman.

Mengikut logik Azman, apabila kami menggunakan jenama pensel sama, cikgu sukar mengecam siapa penulisnya.

Padahal cara tulisan kami jauh berbeza. Namun, itulah logik anak yang berusia tujuh tahun.

Jika difikirkan semula, memang agak lucu.

Berbalik pada cerita, tanpa banyak soal, aku ambil sahaja pensel 2B itu dan terus berusaha membantu menyiapkan latihan itu.

Ada masalah yang timbul, pensel 2B yang diberi oleh Azman asyik patah sahaja matanya. Aku ambil keputusan untuk mengasah bahagian belakang batang pensel tersebut.

Sebaik sahaja Azman melihat aku mengasah bahagian belakang pensel 2B miliknya, wajahnya bertukar kemerahan.

“Kau bunuh mak aku!” jerit Azman kepada aku sambil menangis.

Aku terpinga-pinga apabila dikatakan telah membunuh mak Azman. Aku risau ditangkap oleh polis.

Aku cuba memujuknya namun tidak berhasil. Dia terus menangis tanpa henti.

Waktu rehat sudah habis, semua murid pun sudah masuk ke dalam kelas. Dia masih menangis sama seperti tadi.

Tangisan Azman bertambah kuat sebaik sahaja Cikgu Suhaimi melangkah masuk ke dalam kelas.

Cikgu Suhaimi melihat keadaan Azman lalu memanggilnya ke meja guru. Cikgu Suhaimi cuba mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku.

“Mak kamu tak mati. Masih hidup lagi. Jangan menangis,” pujuk Cikgu Suhaimi.

Azman terus menangis tanpa henti. Akhirnya Cikgu Suhaimi terpaksa membawa dia ke pejabat untuk menelefon ibunya di rumah.

Selepas bercakap dengan ibunya, dia tetap tidak percaya ibunya masih hidup.

“Saya nak tengok mak saya, baru saya percaya,” kata Azman.

Cikgu Suhaimi terpaksa menelefon ibunya sekali lagi dan memintanya datang ke sekolah. Selesai sahaja menelefon ibunya, mereka berdua masuk kembali ke dalam kelas.

Setengah jam kemudian, ibu dan ayahnya datang ke kelas lalu berjumpa dengan Azman.

Ibunya memujuk “Mak tak mati lagi. Mak masih sihat. Siapa cakap mak sudah mati?”

Sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah aku, Azman berkata “Dia asah belakang pensel 2B saya. Saya menangis sebab ingat mak mati”

Ayahnya menyampuk “Habis kalau ayah mati, tak menangis ke?”

Dengan selamba Azman menjawab “Tak! Saya sayang mak”.

Ayahnya menggaru kepala. Barangkali pening melayan kerenah anaknya ini.

Ibu bapanya meminta izin untuk membawanya pulang lebih awal pada hari itu.

Peristiwa ini masih aku ingat hingga saat ini. Tidak dapat dilupakan sama sekali.

Setiap kali berjumpa dengan Azman, peristiwa ini antara topik yang menjadi perbualan kami.

Banyak kali juga aku tanya dia, “Kau menangis sebab takut mak kau mati atau takut kena rotan dengan Cikgu Suhaimi sebab tak siap kerja rumah?

“Biarlah rahsia,” itulah jawapannya setiap aku bertanya.

Kini, Azman tiada lagi. Azman sudah pergi buat selamanya.

Azman menghembuskan nafas terakhir di rumahnya. Ketika itu usianya hanya berusia 22 tahun

Tidak ada penyakit, tidak ada sebarang tanda pelik. Namun itulah yang dikatakan ajal.

Ajal menjemput manusia tanpa kira usia.

Wahai sahabat, semoga kau tenang di sana. Doaku sentiasa mengiringimu.

Sumber: Facebook Cikgu Asraf

Artikel menarik

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar