BAHAGIAN AKHIR

Saya melihat ke arah jam tangan saya. Lebih kurang dalam pukul 11 malam. Saya mulakan dengan membaca doa dari petikan ayat al-Quran;

“Maha Suci Allah yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.” (Surah Az Zukhruf: 13)

Dan saya juga membaca doa dari sebuah hadis Rasulullah SAW sambil membayangkan wajah isteri dan anak-anak saya di rumah;

“Saya titipkan kalian kepada Allah, Zat yang tidak pernah menyia-nyiakan titipanNya.” (HR. Ahmad)

Selepas itu kereta saya bergerak perlahan menuju ke rumah Abang Azim. Cuma kali ini kerisauan itu melebihi dari keberanian saya. Saya tidak tahu apa tindakan saya ini betul atau tidak.

Cuma sebagai seorang Muslim, sudah kewajiban saya untuk memenuhi permintaan saudara saya yang memerlukan bantuan. Semoga usaha saya ini bernilai ibadah di sisi Allah. Juga sebagai pertukaran nilai pahala yang setimpal.

Perjalanan pada malam itu saya isi dengan bacaan al-Quran dan juga zikir Al Ma’tsurat. Sebagai ikhtiar untuk meminta pertolongan Allah untuk berhadapan dengan sesuatu yang saya sendiri tidak tahu. Apa saja boleh berlaku.

Sempat juga saya selang selikan dengan lagu-lagu kegemaran saya. Di antaranya adalah lagu dari Kumpulan Scorpions, ‘Still Loving You’, lagu Kumpulan Deep Purple, ‘Soldier Of Fortune’ dan juga lagu dari Kumpulan Loudness, ‘Heavy Chains’.

Saya melalui jalan Medan Jaya menuju ke Signature Park. Tetapi singgah sebentar di ‘Drive True’ Mc Donald untuk membeli McFlurry Oreo dan milo panas. Sebagai bekalan mengalas perut sebelum menuju ke rumah Abang Azim.

Saya meneruskan perjalanan saya sehinggalah apabila saya sampai di Jambatan Sungai Sebiew (ketika itu Projek Pan Borneo di kawasan tersebut belum dilaksanakan lagi).

Pada ketika itu jalan raya sudah lenggang. Mungkin hari telah menjelang tengah malam. Jambatan Sungai Sebiew kelihatan gah pada pandangan saya.

Sungai itulah yang mengalir perlahan hingga melalui Kampung Kemunting, Kampung Baru, Kampung Sebiew dan akhirnya menyatu dengan Batang Kemena.

Di ‘Jambatan Putih’lah tempat kami selalu mandi sungai suatu ketika dulu sehingga saya dirotan oleh ibu apabila mendapat tahu saya dan kawan-kawan mandi di situ. (Jambatan menuju SMK Baru sebelum lampu isyarat)

Apabila saya memasuki kawasan Jambatan Sungai Sebiew tadi, jiwa saya mula tidak tenteram. Saya sendiri tidak pasti apa yang merisaukan jiwa saya.

Mungkin saya teringat kembali peristiwa kali pertama saya ke rumah Abang Azim. Semuanya bermain-main di kepala saya.

Perjalanan

Perjalanan saya semakin jauh tetapi semakin dekat menuju ke rumah Abang Azim. Jalan raya juga semakin lengang.

Embun dingin mula membasahi cermin kereta saya. Kabus mula menebal dan mengganggu pemandangan.

Saya mula memperlahankan kereta saya. Pandangan saya mula tertumpu pada sesuatu di hadapan saya. Jaraknya dalam sekitar 50 meter. Saya mula hairan kenapa kepulan kabus berwarna kehitaman yang terasing dari kepulan kabus lainnya itu tiba-tiba muncul di tengah jalan.

Saya cuba memperlahankan kereta saya. Jalan raya sangat lengang ketika itu. Yang ada cumalah saya dan kepulan kabus tersebut. Sedangkan kepulan kabus lain bergerak perlahan dan kelihatan jelas di kawasan hutan berdekatan.

Saya teruskan perjalanan saya dengan berhati-hati. Saya terfikir juga kalau kabus itu adalah sebenarnya manusia atau mungkin juga benda lain.

Setelah lebih kurang beberapa meter, barulah saya perasan yang kabus itu sebenarnya bukan kabus biasa. Masakan kabus itu boleh berbentuk manusia. Menerawang di udara. Berbungkus seperti pocong. Saya gosok mata beberapa kali.

Apakah saya bermimpi atau tidak. Ternyata kabus itu masih lagi bergantung di udara. Malah semakin lama semakin dekat dengan saya.

Tiba-tiba bau busuk mula menusuk di dalam kereta saya. Hampir muntah saya dibuatnya. Bayangkan kalau perut manusia yang telah mati beberapa hari dan berulat, lalu dilumurkan ke wajah kita. Lebih kurang begitulah baunya.

Cuma saya tidaklah pernah berhadapan dengan kes orang meninggal semacam ini.

Kecuali beberapa tahun dahulu saya dan abang saya, Ustaz Amir Hamzah pernah menerima pelawaan seseorang untuk melihat seorang yang telah meninggal dunia kerana dikatakan membunuh diri akibat dari meminum racun.

Kerana masih baru meninggal, jadi belum ada lagi bau yang tidak menyenangkan.

Cuma darah kebiruan keluar dari celahan mata, telinga, hidung dan mulut. Kulit wajahnya berwarna kuning. Bagi saya tidak semestinya bunuh diri. Mungkin juga khianat. Atau juga akibat dari rasukan syaitan.

Kabus itu tetap melayang di udara tetapi langsung tidak bergerak. Saya membaca Surah Kursi beberapa kali sambil mengingat kembali doa dari hadis yang boleh saya jadikan doa.

Saya semakin takut apabila kabus itu semakin hampir dengan saya cuma beberapa langkah sahaja. Saya tidak pasti bagaimana wajahnya ketika itu.

Tetapi sepertinya tidak mempunyai mata, wajahnya hodoh. Sehodoh-hodohnya. Berbungkus dengan kain tetapi bukan kain kafan.

Tetapi dari bawah bahagian kakinya yang tertutup itu kelihatan seperti ada cecair yang mengalir perlahan. Berwarna biru kehitaman.

Bersama dengan cecair itu muncul beberapa ekor ulat-ulat berwarna kekuningan sebesar ibu jari kaki.

Selepas berulang kali membaca Surah Kursi, saya teringat akan doa dari Rasulullah. Lalu saya membacanya dan mengharap akan pertolongan Allah.

Lafaznya sangat mudah. Saya cuma bacakan lafaz ‘Bismillah’ saja berulang kali. Sebagai tambahan kepada bacaan dari Surah Kursi tadi. Sabda Rasulullah;

“Suatu ketika seorang sahabat memaki syaitan, apabila haiwan tunggangan Rasulullah SAW tersandung, ‘Celaka syaitan’. Rasulullah SAW yang kebetulan mendengarnya menasihati, ‘Jangan berkata ‘celaka syaitan’, kerana jika kamu berkata seperti itu, syaitan menjadi angkuh dan berkata; Dengan kekuatanku, akan ku buat dia jatuh. Kalau engkau berkata, ‘Bismillah’, syaitan akan menjadi sekecil lalat”. (HR. Ahmad)

Pada ketika itu keyakinan dan pengharapan saya kepada Allah melebihi segalanya. Juga melebihi rasa takut saya kepada syaitan tersebut.

Selepas itu saya teruskan perjalanan saya hingga kereta saya bertembung dengan kabus tadi. Kabus itu masih juga ada di situ. Cuma tidak sejelas tadi dan akhirnya hilang entah ke mana.

Saya ingin cepat-cepat sampai ke rumah Abang Azim. Cepat saya datang dan cepatlah saya pulang ke rumah.

Pada ketika itu saya baru sahaja melewati Kampung Penan Muslim di Batu 10 Jalan Bintulu Miri lama. Sebentar lagi saya akan sampai ke rumah Abang Azim.

Tetapi saya terpaksa bergerak ke hadapan beberapa km lagi. Lalu masuk ke dalam simpang kiri dan terpaksa melalui jalan berbatu sejauh lebih kurang dalam dua km.

Juga terpaksa melalui pepohon hutan yang rendang dan menyeramkan yang tumbuh meliar di sekeliling jalan.

Sesampainya saya di hadapan rumah Abang Azim, saya lihat pintu rumah Abang Azim terbuka.

Enjin dan lampu keretanya juga tidak dimatikan. Dibiarkan begitu saja. Tiada kelibat Abang Azim dan Ahmad di situ.

Saya mula turun dari kereta. Memandang ke arah sekeliling. Hitam, gelap, sunyi dan menakutkan. Yang ada cuma bunyi suara cengkerik dan lolongan anjing bersahutan dari kejauhan.

Suasananya sangat menyeramkan. Saya tidak tahu siapa dan apa yang mungkin telah memerhati saya sejak saya sampai tadi.

Bulu roma saya tiba-tiba meremang. Juga diliputi rasa gelisah. Sekarang saya berada di tengah hutan.

Di situ cuma ada saya. Sedangkan kelibat Abang Azim dan Ahmad juga masih tidak kelihatan. Saya cuba membunyikan hon kereta beberapa kali.

Bilik tanpa cahaya

Tidak lama kemudian muncul kelibat Ahmad di muka pintu. Wajahnya pucat dan ketakutan.

“Cikgu, cepat. Ayah kat dalam bilik Muhammad. Cepat cikgu.”

Saya terus berlari masuk ke dalam rumah Abang Azim. Lalu diikuti oleh Ahmad di belakang saya. Menuju ke bilik Muhammad yang gelap tanpa cahaya lampu walaupun pintu bilik tersebut terbuka luas.

Dalam keadaan tersebut saya melihat kelibat Abang Azim sedang tertiarap di atas lantai bilik Muhammad. Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada Abang Azim. Saya segera mendapatkan Abang Azim lalu cuba untuk membantunya.

Saya segera memegang bahu Abang Azim dan mengalihkan badannya dalam keadaan terlentang. Saya terkejut apabila Abang Azim memandang saya sambil tersenyum.

Tetapi wajahnya agak menakutkan dan bola matanya agak berkilat.

Saya kemudiannya membalas balik semyuman Abang Azim. Bodohnya saya ketika itu. Kenapa saya membalas senyuman Abang Azim sedangkan saya rasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.

Abang Azim cuba untuk mengangkat badannya secara perlahan-lahan dan matanya semakin membesar.

“Abang Azim. Kenapa ni? Jangan senyum dulu.”

Senyuman Abang Azim semakin lebar. Keningnya diangkat tinggi-tinggi. Abang Azim seperti ingin merapatkan badannya kepada saya.

Selepas itu Abang Azim ketawa sehingga menampakkan giginya sambil air liurnya meleleh hingga mengenai kolar bajunya.

Mata Abang Azim terus memandang saya tanpa berkelip. Saya tidak dapat melihat dengan jelas apa yang ada di sekeliling saya. Semuanya seram dan suram.

Tetapi dengan tidak semena-mena saya mendengar suara saya dipanggil berulang-ulang kali.

Lalu saya memandang ke arah luar bilik. Saya kenal benar dengan suara tersebut. Itu suara Abang Azim. Sedang memanggil-manggil nama saya. Berulang-ulang kali.

“Cikgu Malik..Cikgu Malik..Cikgu di mana..?”

Saya tidak menjawab soalan dari suara Abang Azim tersebut. Di luar bahagian pintu saya lihat seperti bentuk bayangan menuju ke arah bilik Muhammad. Saya pasrah. Apa pun yang terjadi saya tetap ada Allah.

Sejurus selepas itu saya lihat Abang Azim datang bersama Ahmad. Memandang saya dengan wajah yang pelik. Begitu juga saya.

“Cikgu, kenapa cikgu pangku bantal peluk tu?”

“Bantal peluk?”

Lalu saya memandang ke arah Abang Azim yang saya papah tadi.

“Astaghfirullahal ‘azhim..Macamana boleh jadi macam ni. Macamana saya boleh pangku bantal peluk ni pulak..”

Abang Azim tersenyum memandang saya. Mungkin merasa pelik dengan tindakan saya. Juga mungkin tidak percaya apa yang sedang dilihat olehnya. Saya perlu menjelaskan kepada Abang Azim apa yang berlaku.

“Cikgu, kenapa cikgu pangku bantal peluk tu cikgu?”

“Abang Azim. Saya susah nak jelaskan dengan Abang Azim. Tadi, sesampai je kat rumah Abang Azim, saya lihat pintu rumah terbuka. Kereta Abang Azim pun tak dimatikan. Lepas tu Ahmad muncul di pintu masuk. Ahmad bagitau yang Abang Azim ada dalam bilik Muhammad. Saya terus masuk ke bilik Muhammad. Pintu bilik terbuka masa tu dan saya lihat Abang Azim tertiarap.“

“Masa saya cuba bantu dan menelentangkan Abang Azim, Abang Azim tersenyum memandang saya. Saya ingatkan Abang Azim kena rasuk. Tiba-tiba saya terdengar suara Abang Azim memanggil-manggil nama saya berulang kali. Saya terkejut sebab saya lihat Abang Azim muncul di pintu bilik Muhammad. Sedangkan pada ketika itu saya sedang memangku Abang Azim. Lepas Abang Azim tanya kenapa saya pangku bantal peluk barulah saya perasan yang sebenarnya saya benar-benar memangku bantal peluk ni dan bukannya Abang Azim.”

“Cikgu, Ahmad tak keenam-enam dari tadi. Ahmad sentiasa bersama saya. Saya tak benarkan Ahmad pergi ke mana-mana tanpa saya.”

Diganggu syaitan

“Jadi yang saya lihat dan memanggil saya untuk masuk ke bilik ni tadi bukan Ahmadlah bang?”

“Bukan cikgu. Saya pun tak tahu siapa. Boleh jadi ada syaitan yang masih berada di rumah ni cikgu.”

“Saya tak tahu bang. Saya tak nampak.”

“Kalau tak nampak jadi siapa yang cikgu papah tadi? Siapa yang cikgu tengok macam Ahmad tadi?”

Saya terdiam. Ada benar juga apa yang dikatakan oleh Abang Azim. Begitu mudahnya syaitan mempermainkan kami. Sehinggakan saya boleh tertipu dengan syaitan tadi.

“Mungkin iman saya sangat lemah bang. Sebab itulah kenapa syaitan boleh menampakkan dirinya kepada saya dan mempermainkan saya. Bukan sebab saya ada keistimewaan dapat melihat jin.

Saya teringat akan suatu firman Allah di dalam al-Quran;

“Sesungguhnya ia (syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman. (Surah Al A’raf: 27)

“Jadi sebelum ni cikgu pernah ke tengok hantu?”

“Saya tak tahu bang. Saya tak pernah tengok.”

“Tapi kenapa cikgu kata tadi cikgu ternampak saya tadi dalam bilik ni?”

“Ada beberapa orang yang mendakwa dapat melihat hantu ni bang. Pertama, kalau orang tu berbohong kononnya dapat melihat jin. Kedua bomoh sebab syaitan menampakkan pelbagai bentuk pada pandangan mata mereka untuk terus menyesatkan mereka. Ketiga para Nabi. Mereka melihat syaitan ni dengan izin Allah dan itu sebagai salah satu mukjizat. Tetapi bukan setiap kali mereka boleh melihat jin ini tetapi melainkan apa yang diizinkan oleh Allah sahaja. Keempat, orang yang lemah imannya sehingga jin boleh mempermainkan mereka dan mengganggu pemandangan mereka seolah-olah mereka melihat hantu.”

“Saya tak berbohong. Saya juga bukan nabi dan saya buka bomoh. Saya manusia biasa bang. Orang yang imannya lemah. Mungkin itu sebabnya syaitan dapat mempermainkan saya.”

“Minta maaf cikgu. Saya tak berniat nak mempertikaikan cikgu.”

“Takpe bang. Memang itulah jawaban saya.”

Saya tersenyum memandang ke arah Abang Azim. Selepas itu saya berdiri sambil menyapu punggung saya yang berdebu.

Bantal peluk itu kemudian saya ambil dan saya letak di atas tilam. Bilik Muhammad tidak seperti dulu.

Dulu penuh dengan mainan anak kecil. Juga pakaian bayi dan sebagainya. Sekarang cuma ada katil sahaja. Tanpa ada hiasan dan mainan anak kecil.

“Mana isteri abang?”

“Ada kat bilik. Isteri saya cuma duduk memandang almari cikgu. Saya kejutkan dia tapi dia tak menjawab. Menolehpun tak. Saya takut cikgu.”

“Jom kita tengok isteri abang.”

“Jom cikgu.”

Kami melangkah perlahan ke bilik Abang Azim. Perasaan risau menghantui langkah kami. Terasa berat untuk melangkah ke sana. Walaupun bilik Abang Azim cuma terletak sebelah bilik Muhammad sahaja.

Sesampainya di pintu bilik Abang Azim, saya mula tercium bau busuk seperti bau bangkai dan juga bau hancing. Itu belum lagi bau kepam yang timbul sehingga membuatkan saya tidak selesa dan hampir termuntah.

Abang Azim perasan yang saya tidak selesa pada ketika itu. Tetapi Abang Azim juga tidak mampu untuk membuat apa-apa. Lagipun Abang Azim pernah menceritakan kepada saya sebelum ini tentang bilik mereka.

“Jom masuk cikgu.”

“Jom. Abang masuk dulu. Lepas tu saya.”

Abang Azim cuma mengangguk. Wajahnya dan bahasa badan menunjukkan betapa risaunya Abang Azim untuk berhadapan dengan sesuatu yang tak pasti. Begitu juga saya.

Lalu saya mencuit bahu Abang Azim dan membisik di telinganya supaya membaca ayat al-Quran dulu sebelum masuk.

Abang Azim memandang saya lalu menganggukkan kepalanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Bilik Abang Azim juga gelap.

Saya tidak tahu kenapa Abang Azim tidak hidupkan suis lampu bilik dulu sebelum masuk. Tetapi Abang Azim seperti memahami apa yang ada di fikiran saya.

“Mintak maaf cikgu. Seminggu dah lampu bilik ni rosak. Saya belum ada masa nak tukar baru.”

Saya tidak menjawab apa-apa. Abang Azim seperti tahu yang saya sedang fokus dengan tugas saya. Saya memandang sekeliling bilik Abang Azim.

Alhamdulillah. Dari sinar lampu siling di bahagian luar sedikit sebanyak menampakkan keadaan di sekeliling bilik Abang Azim.

“Mana isteri abang?”

“Tu kat tepi katil.”

“Tak adapun bang?”

“Tak ada?”

Mencari isteri Abang Azim

Abang Azim mula gelisah. Dia mula mencari di segenap bilik mereka. Dalam almari, bawah katil, meja solek. Ahmad, Abang Azim serahkan kepada saya untuk dijaga.

Sementara menunggu Abang Ahmad mencari isterinya saya dan Ahmad menunggu di luar bilik.

Selepas itu itu Abang Azim mula mencari di bilik Muhammad dan di bilik Ahmad. Juga di bahagian dapur, ruang tamu hingga ke luar rumah.

"Ibu ada dalam bilik..”

Saya memandang ke arah Ahmad. Ahmad memegang hujung baju saya.

“Ibu ada kat bilik.”

“Dalam bilik? Macamana Ahmad tau?”

“Ibu panggil Ahmad. Ahmad dengar suara ibu.

Saya cuma mendiamkan diri. Ada lebih baik saya menunggu Abang Azim dulu. Dalam keadaan sekarang saya tidak berani untuk membuat sebarang keputusan.

Sudah beberapa minit Abang Azim mencari isterinya di luar rumah. Sedangkan saya dan Ahmad terus menunggu di dalam rumah mereka.

Selepas puas menunggu akhirnya Abang Azim muncul dari pintu masuk rumah mereka.

“Cikgu, saya tak jumpa isteri saya. Macamana ni cikgu?”

“Bang, Ahmad bagitau yang dia dengar suara isteri abang. Dia memangil-manggil Ahmad.”

“Apa benar ibu memanggil Ahmad nak?”

“Ya ayah. Ibu ada dalam bilik.”

Sambil menunjuk ke arah bilik Abang Azim. Kami kemudiannya masuk. Mencari di segenap ruang. Bawah katil, bawah meja solek, dalam almari baju.

Masih juga kami tidak dapat untuk menjejaki di mana isteri Abang Azim. Fikiran kami buntu sedangkan Ahmad memberitahu yang ibunya ada di dalam bilik tersebut.

“Ibu ada di sini ayah. Ibu ada di sini.”

“Di mana nak? Sudah puas kita mencari tetapi ibu tidak ada. Mungkin ibu sudah lari keluar atau bersembunyi di mana-mana.”

“Tidak ayah. Ibu bukan sembunyi di mana-mana tetapi ibu disembunyikan oleh hantu.”

“Ahmad, Ahmad jangan nak runsingkan fikiran ayah.”

“Betul ayah. Ahmad tak bohong. Ibu ada di dalam almari. Ibu ada di sana ayah.”

“Sudah ayah cari nak. Berulang kali. Ibu tak dapat nak sembunyi dalam almari tu. Ayah dah cari.”

Kami semakin bingung. Antara untuk mempercayai kata-kata Ahmad ini atau pun tidak. Kami tidak mempunyai sebarang petunjuk.

Lama juga kami terdiam. Tetapi Abang Azim meneruskan pencariannya. Menuju ke segenap penjuru rumah.

Selepas puas mencari, Abang Azim kembali menemui kami. Ketika itu kami masih lagi di dalam bilik Abang Azim. Wajahnya semakin bingung. Saya cuba membantu apa yang boleh.

“Abang Azim, jom kita solat sunat dua rakaat. Minta pertolongan Allah. Kerana semua ini dari Allah dan pengakhirannya juga dari Allah. Ini salah satu ikhtiar kita.”

“Baiklah cikgu. Saya ambil wuduk dulu.”

“Baiklah bang. Ahmad, Ahmad ambil wuduk sekali ok. Kita solat sunat sama-sama.”

Ahmad menangguk-angguk lalu mengikut ayahnya dari belakang untuk mengambil wuduk. Saya cuma menanti saja di bilik Abang Ahmad.

Sementara menanti mereka saya cuba mengemas dulu apa yang patut. Juga menyelongkar almari baju mereka setelah mendapat keizinan dari bang Azim.

Supaya bilik tersebut tak ada unsur-unsur syirik seperti sebelum ini.

Semua barang-barang seperti patung, alat pemujaan, gambar budak kecil dan peralatan-peralatan pelik saya letak di luar bilik.

Semasa mengemas dan mengalih barang tersebut, saya mula rasa yang saya sedang diperhatikan.

Kelibat perempuan di dalam cermin

Saya cuba memandang ke arah sekeliling saya. Tetapi perasaan diperhatikan itu tetap ada. Saya mula rasa tidak selesa.

Sehinggalah apabila saya terpandang cermin meja solek di dalam bilik Abang Azim. Saya seperti melihat kelibat seorang perempuan sedang memandang saya dari dalam cermin tersebut.

Wajahnya mirip wajah isteri Abang Azim. Cuma agak menakutkan. Tersenyum memandang saya sambil

lidahnya sedikit terkeluar hingga ke paras dagu.

Perempuan tersebut melambaikan tangannya ke arah saya seperti cuba untuk memanggil saya ke sana.

Saya tidak peduli dengan kehadiran perempuan tersebut.

Untuk memandang dua kali sahaja saya sudah tidak berani. Apa lagi untuk kali yang ketiga. Sudah tentu saya terberak di dalam seluar nanti.

Risau pula sekiranya perempuan tadi mula menekup hidungnya kerana tercium bau tahi saya kalau saya terberak di situ. Sesekali saya jeling juga ke arah perempuan tersebut. Lalu dari ekor anak mata saya, saya lihat perempuan tersebut perlahan-lahan keluar menembusi cermin dan bergerak menuju ke arah saya sambil tersenyum.

Saya berserah segalanya kepada Allah. Cuma Allah saja yang tahu betapa takutnya saya pada ketika itu. Lalu saya membaca sebuah doa sebagai peringatan kepada kaum jin. Iaitu doa yang pernah dibacakan oleh Nabi Sulaiman kepada golongan jin.

“Unaa syidukum bil ahdil ladzii ahozahuu alaikum sulaimaanu an takhrujuu watarhaluu mim baitina. Unaa syidukumullaha al la tu’zuu ahada.”

“Wahai Ifrit (golongan jin) aku peringatkan kepada kamu sumpah yang dibuat oleh Nabi Sulaiman. Keluarlah dan pergi dari rumah kami dan aku peringatkan juga kepada kamu. Jangan sesekali kamu menyakiti penghuni rumah ini.”

Selepas itu saya terus membaca Surah Kursi berulang kali. Saya kembali perhatikan bayangan perempuan tersebut kalau-kalau masih ada.

Tetapi alhamdulillah. Saya tidak tahu di mana perempuan tersebut berada. Asalkan jangan menemani dan duduk di samping saya sudahlah.

Tidak berapa lama kemudian Abang Azim dan Ahmad muncul dan kami segera menunaikan solat sunat dua rakaat dan kami berdoa kepada Allah agar diberi pertolongan.

Saya terdengar suara Abang Azim mengamin doa saya. Dia menangis teresak-esak. Diikuti dengan Ahmad.

Saya boleh merasakan betapa sayangnya Abang Azim kepada isterinya walaupun isterinya tidak mentaati perintahnya dan sering melakukan perbuatan syirik kepada Allah.

Tetapi saya yakin akan kekuatan sebuah doa. Ia pasti akan berhujung dengan rahmat Allah walau apa pun caranya.

Pada ketika saya berdoa, fikiran saya juga buntu, saya tidak tahu bagaimana untuk mencari isteri Abang Azim. Tiada apa yang ada di bilik ini.

Sedangkan anak mereka Ahmad memberitahu bahawa ibunya ada di dalam bilik ini. Lalu saya teringat akan firman Allah;

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al Baqarah: 186)

Saya yakin pertolongan Allah pasti akan tiba. Saya yakin kerana Allah selalu menjawab doa saya dengan cara yang saya kehendaki. Juga dengan cara Allah sendiri.

Selepas itu dengan tidak disangka-sangka,

“...Dum...”

Isteri Abang Ahmad muncul dari dalam almari yang tiba-tiba terbuka di bilik mereka lalu jatuh ke lantai. Kesemua kami terkejut.

Saya dan Ahmad berebut memeluk Abang Azim. Abang Azim pula memandang saya dengan rasa kehairanan.

Mungkin Abang Azim tidak menyangka yang saya seorang penakut.

Selepas itu kami bergerak ke arah isteri Abang Azim dan Abang Azim memapah dan meletakkan isterinya di atas katil. Saya masih terkejut dengan peristiwa tadi.

Bagaimana isteri Abang Azim boleh berada di dalam almari tersebut sedangkan sebelum itu saya telah menyelongkar almari tersebut untuk mencari barang-barang pemujaan kepunyaan isteri Abang Azim.

Saya tidak dapat untuk menjelaskan mengikut logik akal. Tetapi inilah yang berlaku.

Selepas itu Abang Azim cuma memperbetulkan baju isterinya dan mengusap kepala isterinya dengan penuh kasih sayang.

Wajah Abang Azim kelihatan sedikit lega. Mungkin Abang Azim sudah berjumpa dengan isterinya.

Tetapi isteri Abang Azim menyambut kami dengan wajah penuh dendam. Kedua belah matanya kemerahan sambil mulutnya bergerak-gerak.

Kedua belah tangannya pula dihulur ke arah Abang Azim. Saya meminta Abang Azim untuk bersedia.

Dengan tidak semena-mena isteri Abang Azim duduk dan mencakar wajah Abang Azim. Abang Azim menjerit kesakitan sambil diiringi hilai tawa dari isterinya. Saya meminta Abang Azim untuk menahan kedua belah tangan isterinya.

Lalu Abang Azim tersenyum memandang saya. Ahmad pula duduk di samping ayahnya sambil mengelap air matanya yang keluar perlahan. Mungkin sedih dan terkejut melihat ibunya bertindak sedemikian.

“Abang sabar k? Semua ini ujian dari Allah. Allah tak akan membiarkan kita bersendirian dalam masalah ini.”

“Ya cikgu. Saya faham cikgu.”

Dengan tidak semena-mena, tiba-tiba isteri Abang Azim mengamuk dan menjerit.

Berdialog dengan jin

“Hahahaha..Bodoh. Beginilah pembalasan bagi orang yang telah membunuh tuan aku. Sekarang kamu pula yang menerima pembalasannya. Nyawa diganti nyawa. Darah diganti darah.”

“Nyawa siapa? Darah siapa?”

“Nyawa tuan aku. Darah tuan aku. Apa kamu tidak tahu? Atau kamu berbohong. Supaya kamu bisa lari dari tanggungjawab ini dan takut untuk berhadapan dengan aku?”

“Aku tidak tahu di mana tuan kamu? Aku tidak berbohong. Tidak seperti kamu.”

“Apa yang kamu baca kepada tuan aku? Cuma berani memanggil bantuan dari langit. Menghimpun bala tentera dari segenap sudut. Lalu mengheret tuan aku ke suatu ruang besar di dalam tanah yang apinya marak menjulang. Mereka menyiksa tuan aku dengan menyucuk punggungnya dengan bara api yang terkumpul pada sebatang besi hitam. Lalu tusukan itu menembusi hingga ke mulutnya. Maka dari itu aku telah siapkan dan isytiharkan dendam aku untuk kamu.”

“Apa kamu juga mahu seperti itu? Bahkan lebih teruk dari tuan kamu sendiri nanti. Walau apa pun yang kamu katakan tentang tuan kamu, itu bukan urusan aku. Aku tidak melihat apa yang katakan. Semuanya rahsia Allah. Kalau benar pun itu yang telah berlaku dan kamu melihat sendiri bagaimana siksanya tuan kamu, sesungguhnya itu peringatan buat kamu. Supaya jangan bertuhankan Iblis dan bomoh seperti itu. Atau engkau juga nanti akan diperlakukan sama seperti itu oleh penjaga-penjaga neraka lainnya.”

“Malah mereka akan menyiksa kamu secara berterusan. Yang mana pada ketika itu tidak ada keampunan melainkan keampunan dari Allah. Tiada belas kasihan melainkan belas kasihan Allah dan tiada jalan keluar melainkan engkau akan diburu hingga ke penghujung dunia sekalipun. Kamu cukup beruntung apabila Allah cuma mahu memperlihatkan kepadamu apa itu balasan kepada orang yang berbuat zalim. Biar ada sedikit pada dirimu kegerunan akan siksaan Allah. Sehingga kamu bertaubat dan kembali kepada Allah dalam keadaan bertaqwa.”

“Hahaha..Tidak. Masakan syaitan mahu menganggap Allah itu sebagai tuhan. Sedangkan kami bertuhankan Iblis. Yang menjanjikan kesenangan kepada kami serta umur yang panjang. Apa ini juga dijanjikan oleh tuhan kamu? Tuhan orang Islam?”

“Aku tahu itu. Bahkan Iblis juga tahu akan firman Allah;

“Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalanMu yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al A’râf: 16-17)

“Sesungguhnya kamu sesekali tetap tidak memahami betapa Iblis juga akan berlepas dari apa yang kau katakan. Apa kamu ingat Iblis akan tetap bersama kamu ketika bala bencana datang menghempas diri kamu? Sedangkan Allah berfirman;

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara telah diselesaikan (pada hari hisab), ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tapi aku menyalahinya. Dan sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, tapi aku sekadar menyeru kamu, lalu kamu memenuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu menyesali aku akan tetapi sesalilah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolong kamu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan kamu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. Sesungguhnya orang-orang zalim mendapat siksa yang pedih.” (Surah Ibrahim: 22)

“(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!” (Surah Al Hasyr: 16)

“Aaahhh...Semua itu bohong. Kenapa kamu memaksa aku untuk menerima apa yang aku tidak suka? Yang aku musuhi dari dahulu lagi? Kenapa?

“Aku tidak memaksamu untuk menerima semua ini. Kerana hidayah ini adalah milik Allah dan bukannya milik aku. Aku perjelaskan kepada kamu semua ini tentang Iblis, ketua kamu. Yang mana dia sendiri berlepas tangan di akhirat nanti dari apa yang kau perbuat selama ini. Bahkan Iblis juga tidak pernah membenarkan kamu untuk mempersekutukan Iblis dengan Allah.”

“Sudah..Sudah..Sekarang apa maumu. Cepat. Katakan?

“Permintaan kami mudah saja. Kamu keluar dari tubuh badan wanita ini selamanya. Kamu tinggalkan keluarga ini. Jangan lagi untuk kembali ke sini. Apa pun tujuan kamu. Pergilah sejauh mungkin dari manusia. Selagi mana kamu mengganggu manusia, maka selagi itulah laknat Allah akan menemani kamu di mana saja kamu berada.”

"Ya. Aku akan pergi. Atau aku akan berhadapan dengan bala tentera yang kamu sendiri tidak dapat melihat mereka. Menanti aku tanpa menoleh sedikit pun. Sambil membawa senjata dari besi yang bergejolak cairan apinya. Mendekatinya saja badan aku boleh meleleh kepanasan. Kalau aku tidak pergi sekarang maka mereka akan mencucuk kepalaku dengan besi tersebut sehingga kedua belah mata aku buta. Juga rahang gigiku seperti dicabut dengan sebuah hentakan sahaja dari mereka. Sehingga kepalaku juga terhempas ke tanah akibat dari hentakan tersebut.

“Keluarlah kamu syaitan. Ukhruj ya ‘aduwallah (keluarlah musuh Allah). Ukhruj ya ‘aduwallah (keluarlah musuh Allah). Ukhruj ya syaitan (keluarlah wahai syaitan).”

Selepas itu isteri Abang Azim menggilai dan ketawa. Badannya juga bergerak ke kiri dan ke kanan. Sambil matanya tetap memandang Ahmad.

Ahmad mula ketakutan dan bersembunyi di belakang Abang Azim.

“Hahaha..Jagalah isteri kamu. Kerana pintu kesesatan ini bermula dari dirinya sendiri. Atau dia juga akan menjadi teman kami nanti. Ramai lagi kawan-kawan aku menunggu akan kesempatan ini. Untuk menyesatkan dirinya buat kali yang kedua. Hahaha..”

Tidak lama selepas itu isteri Abang Azim terbaring semula di atas katil. Saya membacakan Surah Al Muawwizatain atau Surah Al Falaq dan An Naas.

(Surah ini diturunkan apabila Rasulullah SAW selalu berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan dari kejahatan manusia, syaitan dan juga jin setelah Rasulullah telah disihir oleh orang Yahudi)

Rasulullah SAW bersabda:

“Setelah turunnya dua surah ini, Rasulullah SAW melengkapkan kedua-duanya sebagai bacaan (wirid) untuk membentengi dari pandangan buruk jin maupun manusia.” (HR. At Tirmidzi, dari sahabat Abu Sa’id r.a)

Selepas itu saya meminta Abang Azim untuk mengejutkan isterinya. Kemudian Abang Azim memanggil-manggil nama isterinya berulang-ulang kali.

Ahmad juga menolong ayahnya sambil menepuk-nepuk wajah ibunya perlahan-lahan.

Tersedar

Setelah beberapa ketika, isteri Abang Ahmad mula tersedar dan duduk sambil memandang kami dengan wajah kehairanan.

Selepas itu isteri Abang Azim memandang Ahmad yang duduk di sebelahnya. Lalu dirangkulnya Ahmad dengan tangisan air mata dan pelukan kerinduan seorang ibu.

Abang Azim segera mendekati mereka berdua dan akhirnya mereka berpelukan sesama sendiri. Tinggallah saya memeluk diri saya sendiri sambil melihat drama TV3 ‘Akasia: Jangan Benci Cintaku’.

“Abang, sudah berapa lama saya tertidur?”

“Tertidur. Mana ada sayang tertidur?”

“Macam dah lama saya tertidur bang. Sebenarnya jiwa saya terperangkap kat rumah ni. Saya dapat memerhati setiap apa yang berlaku. Setiap hari saya melihat abang dan Ahmad. Juga apa yang berlaku pada malam ini semuanya saya lihat dengan jelas.”

“Jadi siapalah yang melayan abang dan Ahmad selama ini. Menyediakan makan minum kami. Semuanya. siapa?”

“Jasad itu memang jasad saya bang tapi bukan saya yang melakukan semua itu. Rasanya sudah lama juga saya terperangkap. Kadang saya benar-benar tersedar dan kadang-kadang saya rasa terperangkap. Kalau sudah tersedar tu saya rasakan yang saya benar-benar sedar dan keadaan seperti biasa. Tapi saya tak tahu kenapa saya boleh jadi macam ni bang.”

“Cikgu Malik. Apa betul apa yang isteri saya katakan dan kalau betul bagaimana perkara ini boleh berlaku. Saya tak faham.”

“Wallahu a’lam bang. Saya juga tak tahu apa yang berlaku. Tetapi kami juga pernah berhadapan dengan kes seperti ini. Ada pesakit kami yang tidak sedarkan diri hampir dua tahun dan selama dua tahun tersebutlah syaitan yang merasuk dirinya dan keseluruhan ahli keluarganya tidak tahu.”

“Ooo..Macam tu..”

Abang Azim terdiam sambil memandang ke arah lantai. Isterinya pula masih memeluk erat Ahmad. Sesekali isteri Abang Azim mengelap air mata Ahmad yang masih menangis kegembiraan kerana ibunya telah kembali ke pangkuan mereka.

“Apa kakak benar-benar berada di tempat lain? Dalam erti kata lain jasad kakak juga di rumah ini tetapi syaitan yang mengarahkannya untuk melakukan sesuatu?”

“Betul. Emm..Maaf ya. Kamu siapa? Kakak tak kenal kamu. Cuma kakak seperti pernah melihat kamu sebelum ini.”

“Mungkin masa kali pertama saya datang ke sini kak. Ketika kakak marahkan saya pada masa tu.”

“Hahaha.. Betul ke? Mana ada kakak nak marah orang sembarangan.”

“Hehehe..Tak apalah kak. Mungkin kakak tak sedar masa tu. Cuma satu perkara yang saya masih pelik kak.”

“Apa dia?”

“Ahmad mengadu dengan saya dan Abang Azim yang dia terdengar suara kakak memanggil-manggil dia.”

“Apa betul Ahmad?”

“Betul mak.”

“Ya Allah. Betapa besar kekuasaanMu Ya Allah. Syukur ya Allah”

Saya dan Abang Azim memandang sesama sendiri. Kami merasa hairan kenapa isteri Abang Azim tiba-tiba mengucapkan syukur kepada Allah. Lalu Abang Azim bertanya kepada isterinya;

“Sayang, apa yang terjadi sebenarnya.”

“Entahlah bang. Saya dapat rasakan yang sebelum ni saya terperangkap di dalam rumah ini. Dalam almari. Saya tidak tahu bagaimana boleh terjadi macam ni. Cuma kali ni suasananya sangat berlainan. Sebelum ini saya dapat lihat banyak syiatan-syaitan yang berkeliaran di dalam rumah kita. Hampir penuh segenap isi rumah kita.”

“Lepas itu saya lihat tiba-tiba sahaja mereka menggelupur, terbakar, lari ke sana-sini, berteriak, mati dan sebagainya. Seperti ada sesuatu yang menyerang dan membunuh mereka. Saya tidak dapat melihat siapa yang memburu mereka. Pandangan saya dikaburkan dengan cahaya putih dari arah langit yang terbuka. Juga muncul dari belahan daratan tanah yang panas dengan api yang marak menjulang. Apa itu bantuan dari kamu?”

“Naudzubillah. Bukan kak. Saya tidak tahu. Mungkin saja bantuan dari Allah. Atau halusinasi kakak sahaja. Atau entahlah. Saya tak tahu nak jawab. Boleh jadi doa dari Abang Azim atau Ahmad. Dan boleh jadi doa dari Muhammad kak.”

“Muhammad..”

Isteri Abang Azim tiba-tiba terdiam. Mungkin mengenangkan dosa yang pernah dia lakukan kepada kedua anaknya.

Tangisan penyesalan

“Maafkan mak Muhammad. Maafkan mak Ahmad. Maafkan mak nak. Mak tak nak berputus kasih dari kamu berdua. Mungkin silap mak sebab pilih kasih. Bukan mak tak sayang Ahmad. Tapi ibu teringin sekali supaya Muhammad juga membesar seperti kamu Ahmad. Membesar di hadapan mak.”

“Kak, sudahlah. Lupakan perkara yang telah berlaku. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Firman Allah;

“Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya walau sesaat pun dan tidak dapat pula menundakannya.” (Surah Al A’raaf: 34)

“Tiap-tiap yang mempunyai jiwa akan merasakan kematian. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahala kalian. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran: 185)

Kakak bertaubatlah atas dosa yang kakak lakukan selama ini. Allah Maha Penerima Taubat kak.”

“Apa betul Allah akan maafkan segala dosa kakak? Walaupun dosa kakak sebesar langit dam bumi?”

“Iya kak. Allah berfirman, “Katakanlah, “Hai hamba-hambaKu yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” (Surah Az Zumar: 53).

“Anas bin Malik menceritakan bahwa Rasulullah SAW bersabda, Allah Ta’ala berfirman;

”Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau menyeru dan mengharap padaKu, maka pasti Aku ampuni dosa-dosamu tanpa Aku pedulikan. Wahai anak Adam, seandainya dosamu membumbung tinggi hingga ke langit, tentu akan Aku ampuni, tanpa Aku pedulikan. Wahai anak Adam, seandainya engkau mendatangiKu dengan dosa sepenuh bumi dalam keadaan tidak berbuat syirik sedikit pun padaKu, tentu Aku akan mendatangiMu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (HR. Tirmidzi no. 3540. Abu Isa mengatakan bahwa hadis ini ghorib. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini sahih)

Selepas itu isteri Abang Azim menangis semahu-mahunya. Mungkin teringat akan dosa yang pernah dilakukannya. Apatah lagi kepada Ahmad sebelum ini.

Dia memeluk Ahmad dengan erat sambil mencium pipi Ahmad berulang kali.

Saya sempat juga merasa kesedihan yang isteri Abang Azim alami. Kerana saya juga seorang ayah. Bersama-sama isteri saya kami membesarkan ketiga orang anak kami. Jiwa saya cepat luluh apabila melihat peristiwa seperti ini.

Saya teringat akan kisah Aleesya. Saya juga merasa sedih kerana beberapa malam lepas saya telah memarahi Aleesya kerana muntah di atas katil pada ketika saya sedang menulis cerita ini. Sedangkan pada ketika itu Aleesya sedang demam panas.

Saya sedih melihat Aleesya berlari ke tandas untuk membersihkan bajunya. Selepas itu saya kembali memujuk Aleesya dengan kasih sayang dan bergurau dengannya.

Dan kerana Aleesyalah saya banyak belajar untuk menjadi seorang bapa.

Anak kecil seperti Muhammad ini juga mengingati kita sebagai ibu bapa dan dia pasti akan memberikan syafaat kepada Abang Azim dan ibunya dengan izin Allah. Sabda Rasululah;

Daripada Abu Hassan r.a, maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah keadaan dua anak kecilku yang sudah meninggal dunia, ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’

Jawab Abu Hurairah: “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka atau ibu bapa, lalu menarik bajunya atau menarik tangannya seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ibu bapanya ke dalam syurga.’” (HR. Imam Muslim - 2435)

Berkata Imam An Nawawi Rahimahullah: “Da’amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air. Mereka tidak berpisah dengannya. Maksudnya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” (Rujuk kitab Syarh Muslim - 16/182)

Berkata Ibn Al Athir Rahimahullah: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (iaitu kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab apabila dengan mereka.” (Rujuk kitab An Nihayah fi Gharib Al Hadis wa Al Athar - 2/289)

Selepas beberapa ketika. Keadaan kembali seperti biasa. Isteri Abang Ahmad sudah tidak menangis lagi. Cuma masih memeluk Ahmad dengan eratnya.Selepas itu saya bertanya kepadanya;

“Kak, kalau saya boleh tahu, di mana kakak sembunyikan tali pengikat kain kafan Muhammad?”

“Tali pengikat kain kafan Muhammad? Rasanya ada di dalam bilik ini. Tapi saya tak tau di mana. Saya tak nak simpan lagi tali tu. Jadi gila nanti saya dibuatnya. Cukup-cukuplah apa yang saya alami sebelum ini.”

“Baik kak. Abang Azim, Ahmad. Jom kita cari.”

Mencari tali pengikat kain kafan muhammad

Selepas itu kami berempat mula mencari di mana kedudukan tali pengikat kain kafan tersebut. Hampir setengah jam kami mencari tetapi tetap tidak berjumpa juga.

Kami teruskan pencarian kami ke segenap penjuru ruang yang ada tetapi hampa.

Lalu saya membaca dua buah doa di di bawah sebagai suatu ikhtiar mencari tali tersebut.

“Bismillahir rahmaanir Rahim. Ya Jami’an Naasi li yaumil la raiba fihi, ijma’ alayya dhollati.”

“Wahai Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya, himpunkanlah aku dengan barang aku yang hilang itu.”

Berkata Imam Nawawi: “Sebenarnya doa ini telah saya cuba maka saya mendapatinya sangat bermanfaat dan menjadi sebab untuk mencari barang yang hilang itu dengan tidak bersusah payah mencarinya. Barang itu juga tidak jauh dari tempat yang kita sangka. Saya juga telah mendengar perkara yang sama daripada Sheikh Al Hafiz Abu Baqa’ ketika beliau mengajarkan doa ini dahulu kepada saya.”

Juga doa di bawah ini;

“Allahumma ajirni fii musiibatii wakhlufni khoiran minha.”

Ya Allah berilah ganjaran atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah dengan yang lebih baik daripadanya.”

Selepas itu kami teruskan pencarian seperti biasa. Sehinggalah pada ketika kami sudah hampir putus asa, Allah telah memberi petunjuk kepada kami.

Tiba-tiba sahaja Abang Azim cuba untuk memanjat ke atas almari. Tempat isterinya disembunyikan tadi.

Sekadar berikhtiar untuk mencari tali tersebut kalau ada tersimpan di celah-celah di bahagian atas almari.

Ketika cuba untuk memanjat ke atas, tiba-tiba Abang Azim terjatuh bersama almari tadi lalu menimpa orang lain. Tetapi Alhamdulillah. Dengan izin Allah tiada apa yang serius.

Cuma terdapat kesan lebam sedikit di kakinya.

Saya dan isteri Abang Azim cuba untuk membantu Abang Azim mengalihkan almari tersebut supaya mudah untuk Abang Azim bergerak keluar.

Tetapi secara tiba-tiba Ahmad memanggil ayah dan ibunya;

“Ayah, ibu. Tengok ni..”

Kami serentak memandang ke arah Ahmad. Pada ketika itu Ahmad sedang berdiri di tepi almari yang terjatuh sambil menunjuk ke arah dinding yang ditutupi almari baju mereka sebelum ini.

Ternyata tali pengikat kain kafan Muhammad ada bergantung di situ.

Tali tersebut berwarna putih dan bercampur dengan warna merah. Sepertinya darah yang telah lama mengering. Saya mengambil tali tersebut sambil membaca Surah Kursi.

“Mungkin inilah puncanya selama ini bang. Patutlah gangguan di rumah Abang Azim agak susah untuk kita selesaikan. Sebab punca utamanya belum kita musnahkan lagi.”

Selepas itu saya membawa tali tersebut keluar rumah. Abang Azim, isterinya dan Ahmad mengikuti saya dari belakang.

Saya meminta kepada Abang Azim untuk menyediakan mancis dan surat khabar lama kalau ada.

Selepas Abang Azim menyediakan apa yang saya minta, lalu saya membaca Surah Al-Fatihah, Surah Al Baqarah ayat 102, Surah Kursi dan tiga Qul.

Lalu meniup ke arah tali pengikat kain kafan tadi. Selepas itu saya nyalakan api melalui surah khabar lama tadi dan kemudiannya mencampakkan tali tersebut di antara bara-bara yang menjulang naik ke atas.

Saya teruskan bacaan al-Quran saya sehinggalah kami dikejutkan dengan jelmaan asap manusia berupa wajah Ahmad yang memandang ke kami. Lalu wajah tadi akhirnya hilang bersama angin malam.

Untuk menghilangkan rasa takut dan gelisah, saya memanggil mereka bertiga untuk berdiri di hadapan saya.

“Insya-Allah kalau Allah izinkan, pengaruh sihir pada keluarga Abang Azim akan hilang. Sejauh mana selepas ini Abang Azim dan keluarga menghidupkan suasana Islami di rumah. Juga menjaga solat, mengaji dan berzikir.”

“Insya-Allah cikgu. Insya-Allah lepas ni kami akan mulakan semuanya dan memulakan hidup kami yang baru.”

Tugas yang belum selesai

“Alhamdulillah bang. Cuma tinggal satu saja lagi yang belum selesai.”

“Apa dia cikgu?”

“Rumah ni perlu kita pagar.”

“Ye tak ye cikgu. Hampir lupa saya. Sedangkan inilah niat saya kali pertama jumpa cikgu dulu.”

“Ya bang. Ni amanah dari abang. Jadi saya masih ada masa lagi nak usaha apa yang patut.”

“Kalau begitu saya serah kat cikgu.”

Saya mengangguk-anggukkan kepala saya. Lalu saya minta Abang Azim untuk sediakan air lebih kurang satu jag dan kami kembali masuk ke dalam rumah mereka.

Lalu saya bacakan ayat-ayat berikut sambil letakkan jari saya di dalamnya dan mendekatkan mulut saya kepadanya sambil membaca;

“Dengan nama Allah, kami berada di senja ini dengan nama Allah yang tiada sesuatupun yang dapat menghalangiNya dan dengan keagungan Allah yang tidak dapat dikalahkan dan direndahkan. Dengan kekuasaan Allah Yang Maha Mencegah, kami berlindung dan dengan semua nama-namaNya yang baik kami berlindung dari kejahatan-kejahatan syaitan-syaitan, sama ada dari golongan manusia dan jin.”

“Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan segala sesuatu yang menampakkan diri dan menyembunyikan diri, dari kejahatan segala sesuatu yang keluar di malam hari dan bersembunyi di siang hari, dari segala kejahatan sesuatu yang menampakkan diri di siang hari dan bersembunyi di malam hari dan dari kejahatan segala sesuatu yang diciptakanNya, yang kotor dan yang bersih.”

“Kami berlindung dari kejahatan Iblis dan pengikut-pengikutnya dan dari kejahatan segala makhluk yang berada dalam kekuasaanMu. Sesungguhnya Rabbku berada di atas jalan yang lurus. Aku berlindung kepada Allah dengan perlindungan yang dimohonkan oleh Ibrahim, Musa dan Isa, dari kejahatan segala sesuatu yang diciptakanNya, yang kotor dan yang bersih dan dari kejahatan Iblis dan pengikut-pengikutnya dan dari kejahatan segala sesuatu yang membangkang.”

Kemudian saya bacakan Surah As Saffat: 1-10;

“Demi (rombongan) yang bershaf-shaf dengan sebenar-benarnya dan demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari perbuatan-perbuatan maksiat) dan demi (rombongan) yang membacakan pelajaran. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa. Tuhan langit dan bumi dan apa-apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari. Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan iaitu bintang-bintang, dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap yang sangat derhaka, syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (perbicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru. Untuk mengusir mereka dan bagi mereka siksaan yang kekal. Akan tetapi barangsiapa (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan) maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.”

Air yang telah dibaca tadi saya ambil dan saya percikkan ke seluruh penjuru rumah. Insya-Allah syaitan ini akan keluar dengan izin Allah.

Saya berusaha untuk mengikhlaskan niat saya sambil memohon pertolongan kepada Allah semata-mata.

(Cara yang telah digunakan di atas dipetik dari Kitab ‘Al Wabil As Sayyib Minal Kilm At Tayyib’ oleh Ibnu Qayyim Al Jawziyyah. Ia diamalkan oleh Abu An Nadhir Hashim bin Al Qayyim atas nasihat dari Al Muharibi di Kufah, setelah rumahnya diduduki oleh jin. Jin tersebut berkata kepada Abu An Nadhar, “Beralihlah dari kami (tinggalkan rumah ini).” Setelah Abu An Nadhir melaksanakan seluruh kaifiat di atas, jin-jin itu berkata kepada Abu An Nadhir, “Engkau membakar kami, kami akan berpindah dari engkau.”)

Setelah selesai urusan saya membaca ayat al-Quran dan doa dari zikir tersebut, saya mula membaca inzhar sebagai peringatan kepada syaitan-syaitan yang menganggur sekiranya masih ada.

Inzhar (peringatan kepada kaun jin yang fasiq)

Dengan nama Allah, yang memiliki arasy yang tinggi, yang Maha Membalas segala kejahatan dan kezaliman, yang Menguasai seluruh dan segenap makhluk, yang Menguasai syurga dan neraka, yang Memiliki segala bala tentera di langit dan di bumi dan yang mMaha Pengasih dan Maha Penyayang.

Ya ma’syaral jin (wahai kaum jin),

Aku peringatkan kalian yang berada di sini atau yang berada di dalam badan sesiapa sahaja yang ada sini. Allah berfirman;

“Wamaa kholaqtul jinna wan innsa illa liya’ buduun.”

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.”

Ya ma’syaral jin,

Aku peringkatkan kalian dengan ayat al-Quran ini untuk beribadah kepada Allah, berserah diri kepada Allah dan berhenti dari menzalimi sesama makhluk Allah.

Aku peringkatkan kalian wahai bangsa jin,

Sesiapa sahaja dari kalian berada di ruangan ini atau berada di dalam badan pesakit yang ada di sini, sila keluar dari badan sesiapa sahaja yang kalian ganggu. Apapun alasan kalian, kalian tidak boleh untuk menyakiti manusia dan mencampuri kehidupan manusia.

Sekiranya kalian dari golongan jin Islam, maka bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Mohon ampun kepada Allah dan kepada orang yang kalian zalimi.

Kemudian keluarlah dan pergilah di surau atau di masjid. Kerana di situ adalah sebaik-baik tinggal kalian. Beribadahlah dan jalanilah kehidupan sebagai seorang muslim yang beriman. Semoga Allah menerima taubat kalian dan ibadah kalian.

Dan sekiranya kalian daripada golongan jin fasiq, jin yang zalim atau dari kalangan syaitan. Semoga laknat Allah tetap berada di atas kepala kalian di mana sahaja kalian berada.

Kalian juga perlu untuk keluar dari badan pesakit yang anda ganggu. Pergilah di mana berhala itu disembah. Kerana di situ adalah sebaik-baik tempat tinggal kalian.

Ya ma’syaral jin,

Sekiranya anda diseru melalui sihir, dari azimat-azimat, wafaq-wafaq, dari penjaga diri atau penjaga rumah, dari ilmu persilatan, ilmu kebal atau ilmu batin, dari apa sahaja jenis saka keturunan dan dari apa sahaja kerana diseru oleh hamba-hamba syaitan seperti bomoh, dukun, ahli sihir dan sebagainya, kalian juga wajib untuk keluar. Keluar tanpa syarat.

 

Putuskan perjanjian kalian dengan mereka dan keluarlah dari badan orang yang kalian zalimi, sebelum laknat Allah menimpa kalian. Sekiranya turun laknat Allah kepada kalian semua, nescaya tidak akan ada lagi kesenangan selepas itu melainkan siksaan yang pedih untuk selama-lamanya sementara diazab di dalam neraka nanti.

Kemudian saya juga membaca inzhar (peringatan) dari Nabi Sulaiman;

“Aku peringatkan kalian dengan sumpah yang pernah diucapkan Nabi Sulaiman kepada kalian, keluarlah dan pergilah kalian dari rumah kami. Aku sumpah kalian dengan nama Allah, keluarlah kalian dan janganlah kalian menyakiti seorangpun.”

Selepas itu barulah saya merenjiskan air bacaan al-Quran dan doa tadi ke arah setiap penjuru rumah Abang Azim.

Setelah semua urusan saya selesai saya pergi mendapatkan mereka bertiga di ruang tamu.

“Abang Azim, kakak. Rasanya tugas saya sudah selesai. Sampai batas ini sahaja yang boleh saya bantu. Selebihnya kita serah kepada Allah.”

“Alhamdulillahlah kalau macam tu cikgu. Saya harap lepas ni gangguan yang membelenggu kami sebelum ini akan hilang selamanya.”

“Insya-Allah bang. Tapi sejauh mana abang memimpin keluarga abang dengan jalan yang telah Islam atur. Semuanya mudah sebenarnya.”

“Insya-Allah cikgu.”

“Kak, lepas ni jangan lagi meminta pertolongan kepada bomoh. Walau semustahak mana sekalipun urusan kakak. Sebab Islam dan tentukan apa kaedah yang sesuai untuk berikhtiar. Jangan terlalu mengikut nafsu. Kalau terjadi juga selepas ini, Insya-Allah gangguannya akan bertambah teruk lagi.”

“Cukup-cukuplah sekali cikgu. Saya tak nak dah. Sebelum ini pun mungkin disebabkan saya terlalu mengikuti perasaan sedih dan rindu saya kepada Muhammad sedangkan saya tahu Muhammad tak akan pernah datang lagi selamanya.”

“Ya kak. Kakak jagalah Ahmad ini dengan taruhan nyawa kakak sendiri. Urusan Muhammad tu Insya-Allah dia sentiasa berada di dalam perlindungan Allah.”

“Amin. Terima kasih cikgu.”

“Sama-sama. Ahmad, jaga ibu dan ayah kamu ok.”

“Baik cikgu.”

“Baiklah bang, kakak. Saya nak balik dulu. Jauh lagi perjalanan saya ni.”

Pulang

“Baiklah cikgu. Terima kasih banyak-banyak. Semoga Allah membalas jasa cikgu. Merahmati cikgu sekeluarga.”

“Amin. Terima kasih semua. Saya balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam..”

Selepas itu saya berjalan ke arah kereta saya. Saya hidupkan enjin lalu melambaikan tangan saya ke arah mereka.

Sepanjang perjalanan balik saya rasa agak gelisah. Saya tidak tahu kenapa. Saya cuma bacakan beberapa ayat al-Quran.

Risau juga kalau syaitan ini mengikuti saya balik ke rumah. Sebab itulah sesampainya di rumah nanti saya tidak akan masuk dahulu ke dalam rumah.

Saya teringat akan pesan Ustaz Ismail Kamus di dalam ceramahnya berkenaan dengan gangguan jin ini supaya jangan masuk terus ke dalam rumah dahulu. Melainkan duduk sebentar di luar atau membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian barulah masuk ke dalam rumah.

Setelah kereta saya melalui jalan menuju ke Medan Jaya, sekali lagi saya singgah di McD untuk membeli air milo panas.

Agar hirupan milo panas ini akan menghangatkan kembali tubuh badan saya. Air milo yang saya beli semasa berangkat ke rumah Abang Azim entah ke mana. Saya tak tahu di mana saya letak.

Selepas singgah membeli air milo di McD, saya letakkan air milo tadi di sebelah tempat duduk penumpang bahagian hadapan.

Alangkah terkejutnya saya apabila saya melihat sesuatu. Saya hentikan kereta saya di bahu jalan sambil memerhati apa yang saya lihat tadi.

Ternyata di tangan saya adalah juga tali pengikat kain kafan. Tapi saya tidak pasti milik siapa. Yang milik Muhammad telah saya bakar di rumah Abang Azim tadi. Patutlah jiwa saya merasa tidak tenteram.

Dan bagaimana tali ini ada di dalam kereta saya. Semua itu bermain-main di fikiran saya. Sesampainya di rumah, saya ambil tali tersebut, lalu membaca beberapa ayat al-Quran dan meniupkannya pada tali tersebut.

Selepas itu saya bakar di dalam longkang. Setelah semuanya hancur barulah saya siram dengan air paip. Dan Alhamdulillah tiada apa yang berlaku.

Hari semakin dingin. Masih ada beberapa jam untuk saya melelapkan mata. Selepas itu saya membaca Al Fatihah, Surah Kursi dan tiga Qul dan masuk ke dalam rumah sambil diiringi dengan lafaz salam.

Juga ketika menutup pintu rumah dengan bertawakal kepada Allah.

Malam tersebut saya tidur dengan lena. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku dan keesokan harinya saya bekerja seperti biasa.

Abang Azim dan keluarganya masih lagi ada di Bintulu. Cuma mereka tidak lagi menetap di rumah lama.

Bukan kerana gangguan kembali hadir tetapi mereka tidak mahu mengingat kembali peristiwa yang mengganggu keluarga mereka suatu ketika dulu.

Kali terakhir saya melihat Abang Azim adalah pada bulan Februari lepas. Ketika itu dia membawa ahli keluarganya dari Kuching untuk berubat dengan kami di Bangunan Martabat.

Kepada keluarga Abang Azim, terima kasih atas pengalaman ini. Insya-Allah ada masa kita duduk bercerita lagi di Restoren Dapur Bonda, tempat kesukaan keluarga Abang Azim.

Kung Pow

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

BAHAGIAN 1

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

BAHAGIAN 2

Dulu tangisan bayi, tetapi kini, gangguan lain pula, bahagian kedua kembar Ahmad buat Ustaz Malik..

ARTIKEL MENARIK:

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi