Kebiasaannya seseorang itu hanya akan dapat hadiah istimewa dari insan tersayang ketika ulang tahun perkahwinan atau hari lahir. Sama ada hadiah berupa sejambak bunga, barangan kemas atau aksesori penampilan.

Namun berbeza situasinya bagi Cikgu Noreje AthifAsyraf atau nama sebenarnya, Siti Norizan Omar, yang pernah menerima beberapa hadiah mewah daripada seorang pelajar tingkatan 4, lapan tahun  lalu.

Antara hadiah Hari Guru yang pernah diperoleh oleh Cikgu Noreje

Hadiah bernilai ratusan ringgit dari pelajar bernama Chong Kah Wei itu, membuatkan Cikgu Noreje AthifAsyraf menitiskan air mata kerana terkejut. Dia tidak menyangka, pelajar yang terkenal dengan sikapnya yang ceria dan baik hati, bermurah hati menghadiahkannya pemberian mahal dan mewah.

"Semoga saya dapat jumpa pelajar ni lagi,"- Cikgu Noreje

Ujar guru SMK Banting ini, kenangan manis Hari Guru tersebut berlaku ketika dia mengajar di SMK Khatolik Petaling Jaya, Selangor. Walaupun sudah lapan tahun berlalu, dia sama sekali tidak akan melupakan detik bersejarah itu sampai bila-bila.

“Dia sangat baik dan sentiasa menghormati cikgu. Kebiasaannya bila tiba Hari Guru, dan Tahun Baru Cina, dia dan ibunyalah yang paling sibuk bagi hadiah pada semua cikgu. Malah, pernah juga sebelum ini dia berikan pen yang sudah dicop namanya kepada semua cikgu,”katanya.

Chong Kah Wei

Kata Noreje, pemberian paling mahal dan mewah yang pernah diterimanya adalah gelang tangan emas dan juga beg tangan bernilai ratusan ringgit.

"Jujurnya saya memang terkejut, tak sangka dapat hadiah gelang emas sempena Hari Guru dan juga angpau RM100 masa Tahun Baru Cina.

“Malah, sebelum ini, dia juga pernah menghadiahkan saya beg tangan jenama BONIA bernilai RM800, sebab tengok beg saya yang sudah lusuh,”jelasnya terharu.

Cikgu Noreje berdiri dua dari kanan, bersama beg pemberian Chong Kah Wei

Terang Cikgu Noreje lagi, dia sangat berharap agar Chong Kah Wei menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. Sentiasa merendah diri dan berbuat baik pada sesiapapun.

“Sifat mulia yang ada dalam diri dan juga didikan terbaik ibu bapanya, menjadikan pelajar ini sentiasa di senangi guru. Walaupun kaya raya tetapi tidak sombong, berbudi bahasa dan menghormati guru-guru. Semoga saya dapat bertemu lagi anak didik saya ini pada masa akan datang,”katanya.