GURU tahun satu ini kongsi cerita sebenar dan tips yang mak ayah kena tahu perihal perbelanjaan anak-anak di kantin sekolah.

Perkongsian bermakna dari Cikgu Mohd Fadli Salleh ini mungkin boleh membuka mata mak ayah.

 

+++

 

Sudah beberapa kali aku terbaca kisah pekerja kantin ambil duit murid tahun ini.

Aku guru tahun satu. Selalu memantau murid-murid membeli awal-awal sesi persekolahan mereka.

Ini cerita sebenar dan tips yang kau kena tahu jika ada anak di sekolah rendah.

1. Sebenarnya, bukan semua kisah yang terjadi sama seperti apa yang dicerita oleh anak kita. Kadangkala ada cerita yang ditokok tambah, kadangkala ada pula fakta yang tidak diberitahu.

2. Aku dah pesan banyak kali, setiap tahun aku berpesan; ajar anak kenali wang, ajar anak terima baki. Kenapa aku selalu berpesan begini? Kerana saban tahun di depan mata kepala aku murid membeli, hulur wang dan berlalu pergi walau baki masih ada.

3. Waktu rehat ratusan murid yang ada dikantin. Sesak. Anak kau bawa duit RM5, beli keropok harga RM1. Hulur duit dan berlalu pergi.

Terpekik-pekik pekerja kantin panggil anak kau. Tapi mana anak tu nak perasan dan dalam riuh rendah suasana di kantin. Nak dikejar, takkan dia nak tinggalkan kaunter.

Hal ini selalu sangat aku perhati diawal-awal sesi persekolahan. Kecuaian anak kita.

4. Murid membeli, duit tidak terus disimpan dalam poket atau dompet. Diletak dulu atas kaunter lepas tu nak minum air, berborak dengan kawan dan sebagainya.

Kalau kau penjual, duit ada di atas kaunter saat pelanggan tengan ramai bersesak-sesak, pasti kau ingat itu duit kau kan?

Lagi pun memang biasa murid yang dah tahu harga dan kenal nilai wang hanya ambil barang, letak duit atas meja kaunter dan berlalu pergi. Situasi jual beli di kantin ni bukan seperti kau bayar makan di KFC woih.

 

5. Memang benar ada pekerja kantin tidak amanah. Ini benar dan ada berlaku. Namun jika pencegahan awal kau dah ajar pada anak, mereka yang tidak jujur ini tidak dapat ambil kesempatan.

6. Ajar anak kenal wang, terima baki dan minta baki. Selain kenal wang, ajar anak minta baki mereka.

"Pak cik. Duit saya lima ringgit. Saya beli seringgit sahaja. Mana baki saya empat ringgit?"

Ajar anak berkata begitu. Ajar anak tuntut hak mereka. Bila pekerja tidak jujur perasan anak kau kenal nilai wang dan tahu ada baki belum dipulangkan, dia tidak berani hendak 'curi' duit anak kau.

Pekerja yang tidak amanah ini berani mencuri kerana anggap semua murid tahun satu tidak kenal nilai wang.

7. Pesan pada anak, jika hal seperti ini berlalu terus suruh anak 'report' pada guru bertugas. Guru yang akan pergi berurusan dengan pekerja kantin dan bertanya hal sebenar.

Jika ada pekerja yang tidak jujur, pasti saban hari ada laporan murid. Jika setiap hari guru yang kena pergi minta baki murid, pemilik kantin pasti tukarkan pekerja yang tidak amanah itu. Kes selesai.

8. Sediakan not RM1 untuk anak-anak. Mudah kerja anak, mudah kerja orang kantin tak perlu beri baki.

******

Selalu aku tekankan, didikan pertama bermula dari rumah. Kalau kita ajar anak kita hal-hal ini sejak dari rumah, maka banyak kes kecuaian dapat kita elakkan.

Lebih penting, orang tidak dapat mengambil kesempatan pada sikap tulus seorang kanak-kanak.

Kitalah pena pertama yang mencorak anak kita. Begitulah.

#MFS