ALOR SETAR - Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

Peribahasa ini amat bertepatan dengan keluarga bekas Mufti Kedah, Datuk Dr Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad apabila dua anaknya bergiat aktif dalam usaha dakwah.

Anak sulung, Ahmad Shauqie, 35, mengikut jejak untuk meneruskan usaha dakwah bersama adiknya, Ahmad Husam, yang juga aktif sebagai penceramah bebas sekitar negeri ini.

Membesar dalam keluarga yang memberi penekanan kepada usaha dakwah, sudah tentu perwatakan ayah mempengaruhi pembawaan dakwah dan keperibadian, tidak hairanlah Ahmad Shauqie sanggup berhijrah dengan meninggalkan kerjaya guru agama untuk memperluaskan skop dakwah.

Menurutnya, sudah tentu ayahnya dijadikan idola dan panduan ketika berdakwah, selain tempat rujukan dalam menerapkan unsur dakwah kepada masyarakat dan pemimpin.

Ahmad Shauqie berkata, bergelar anak kepada mufti bukanlah bebanan, sebaliknya satu rahmat dan kebaikan, selain menjadi benteng agar sentiasa menjaga nama baik keluarga.

Ahmad Shauqie (dua kiri) dan Ahmad Husam (dua kanan) bersama ahli keluarga.

Menurutnya, sebelum ditawarkan berkhidmat di Pejabat Menteri Besar Kedah bagi menyelia hal ehwal agama, dia merupakan seorang guru bawah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), namun memilih menukar kerjaya selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir diangkat kali kedua sebagai menteri besar selepas PRU14.

“Saya melihat peluang itu dapat meluaskan skop dakwah saya yang sebelum ini terhad kepada sekolah. Kini, saya berpeluang tawarkan khidmat nasihat kepada pemimpin pelbagai peringkat, selain menyusun program yang membantu menyelesaikan kemaslahatan ummah,” katanya.

Menurut beliau, antaranya, aspek penambahbaikan dalam institusi pendidikan Islam di negeri ini, dibincangkan bersama menteri besar dan Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh, sehingga berjaya melancarkan inisiatif memartabatkan institusi pendidikan Islam, iaitu Yayasan Pendidikan Islam Darulaman (YPIDA), Skim Murabbi Darulaman dan Tabung Islah Maahad Kedah (TIMked).

Tumpu tiga bentuk dakwah

Dalam mengorak langkah berdakwah, Ahmad Shauqie mengambil pendekatan sebagaimana ALLAH SWT jelaskan dalam Surah An-Nahl, ayat 125: yang menjelaskan tiga bentuk dakwah.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada anak-anak muda kerana mereka adalah generasi kepada agama dan bangsa.

“Menerusi dakwah saya juga mendekati ahli politik dan pimpinan negeri kerana mereka akan mencorak hala tuju negeri dan negara. Alhamdulillah, cabaran yang ada dapat diatasi melalui kerjasama baik semua pihak atas kesedaran membangunkan syiar Islam dan ummah di negeri ini,” katanya.

Mengulas cabaran menerapkan unsur dakwah/ Islamik dalam pentadbiran negeri, Ahmad Shauqie berkata, beliau tidak berdepan kesukaran kerana sejak awal Mukhriz sendiri menitikberatkan elemen itu dalam pentadbiran.

“Saya bersyukur kerana Mukhriz gemar kepada program keagamaan dan mempunyai hubungan mesra dengan agamawan,” katanya.

Ahmad Shauqie berharap setiap pemerintah berpandukan kepada maqasid syariah dalam segala keputusan agar dapat menjaga kesucian agama Islam.

“Saya berharap pemerintah dapat beri tumpuan kepada institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tahfiz kerana ia tempat melahirkan modal insan yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

"Diharap institusi ini dapat menikmati prasarana dan kemudahan seperti sekolah aliran perdana,” katanya.

Menurutnya, harapan juga diberikan agar pentadbiran kerajaan dipermudahkan dalam perancangan membangunkan negeri.

Info

Nama : Ahmad Shauqie Syeikh

Muhamad Baderudin

Umur : 35 tahun

Keluarga : anak sulung daripada tujuh beradik

Status: Berkahwin dengan Naziroh Hashim

Pendidikan : Sedang menyambung pengajian Islam peringkat doktor farsafah di Open University Malaysia,  dalam bidang Pengajian Islam
- Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab (Universiti Al-Azhar Mesir)
Prinsip : Meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat, terutama pada kehidupan akhirat

Bersama beberapa pemain bola sepak Kedah.

Artikel menarik:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Pelajar kelas belakang... cikguini kongsi enam kelebihan ajar mereka

Seronok bertugas di pedalaman, cikgu comel ini tak kisah disengat kala jengking

Dr. Tengku Asmadi kongsi tip dorong pelajar belajar dengan mudah