"AKU borak dalam group wasap cikgu-cikgu, semua pakat risau dengan murid batch Corona ni.

"Mereka tak puas mengajar melalui portal online. Mereka rasa tak puas hanya sekadar memberi kerja. Mereka sangat sedih bila ramai murid tidak turut serta.

Begitulah perkongsian guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) (1) Gombak, Mohd Fadli Salleh.

Menurut beliau, rakan guru turut sedih berkenaan penyertaan murid belajar dalam portal online. Mari kita ikuti perkongsiannya.

+++

Belajar dalam 'New Norm'. Berkesankah?

Aku borak dalam group wasap cikgu-cikgu, semua pakat risau dengan murid batch Corona ni.

Mereka tak puas mengajar melalui portal online. Mereka rasa tak puas hanya sekadar memberi kerja. Mereka sangat sedih bila ramai murid tidak turut serta.

Kami tak salahkan murid. Kami faham kekangan mereka kerana kami juga ibu bapa.

Anak-anak ramai bersekolah, telefon hanya satu yang ada data. Berebut antara ahli keluarga. Ibu pun ada tugas hendak diselesaikan. Ayah pun sama.

Terkial-kial tanpa bantuan maka ramai yang keciciran. Ramai mula putus asa dari hendak mencuba. Makin lama makin rendah capaian murid dalam Google Classroom.

Guru tidak boleh mengajar seperti biasa. Aplikasi zoom pula tidak selamat katanya. Berapa ramai murid pandai guna Google Meet, berapa ramai murid pandai guna Skype?

Berapa ramai keluarga mampu menyediakan akses itu? Bahkan banyak saja telefon ibubapa yang dah penuh memori dan tak support aplikasi tersebut.

Mujur ada TV Pendidikan. Satu langkah baik dari KPM kerana aksesnya lebih meluas. Namun bagi guru-guru, mereka tidak puas sekadar begitu. Bagi ibubapa juga, mereka tidak puas cara anak mereka belajar dan cara anak mereka belajar.

Dan sekali lagi jangan lupa, guru juga ibu bapa.

Berkesan atau tidak, guru-guru perlu terus berkongsi ilmu. Soal ramai murid tercicir, tidak dapat akses, tidak join kelas, tidak siap kerja, itu soal kedua.

Yang utama, kita kena terus bergerak ke depan. Kita dalam era New Norm dimana suatu yang dahulunya mustahil menjadi kebiasaan.

Walau banyak pihak belum bersedia, semua kena bermula dan terus biasakan diri.

Paling dirisaukan adalah mengenai silibus. Silibus kita padat. Dan ia bersambung dari tahun ke tahun.

Murid dah banyak tertinggal masa PKP ini. Bagaimana mereka akan kejar bila kelas bermula seperti biasa nanti?

Ia menjadi kerisauan ibu bapa. Dan ia merupakan kerisauan hampir semua guru di Malaysia.

Benar, keselamatan adalah yang paling utama. Namun kita juga kena bersedia selepas semuanya selamat, selepas semuanya kembali seperti biasa, bagaimana hendak mengejar apa yang tertinggal?

Ia tidak mudah. Ia tidak sedikit. Ia perlu difikirkan dan perlu ada jalan penyelesaian.

Graeme Codrington berkata dalam TomorrowToday Global,

"Meski pun kita bebas dari 'lockdown', ianya takkan sama seperti sebelum ini."

Ya, dunia akan berbeza sepenuhnya selepas ini. Tidak akan sama seperti kita lalui sebelum ini.

Entah bagaimana sesi persekolahan baru akan bermula. Ia masih menjadi tanda tanya.

Apa boleh berkumpul seperti biasa, waktu rehat bagaimana, waktu PJK, waktu di dalam kelas, waktu di dalam dewan, rutin bersalaman. Semuanya menjadi persoalan.

Ia tidak mudah. Tidak.

Keputusan yang kerajaan ambil juga boleh berubah dari masa ke semasa. Ia bergantung pada situasi. Ia bergantung pada keselamatan semua pihak.

Buat masa sekarang, teruslah belajar dengan apa cara yang mampu kita capai.

Jika mampu akses internet, gunakan sepenuhnya apa yang ada. Apa yang diberi, apa yang boleh dicari dengan internet.

Jika tidak, terus belajar guna TV, guna buku, dengan tunjuk ajar dari ibubapa, abang dan kakak walau mereka tidak sepakar guru.

Dan ibubapa sekalian. Dalam musim PKP ini kalian sangat hebat. Kalian sangat handal. Kalian menjadi guru semua subjek, kalianlah guru sejati walau bermacam dugaan melanda.

Terima kasih para ibubapa sekalian.

Teruskan usaha kalian membantu anak-anak belajar. Kita berada dalam era 'New Norm'. Suatu cara yang tidak pernah kita biasa, terpaksa kita biasakan diri.

Terus kuat semua. Kita doakan wabak ini cepat-cepat berlalu pergi.

#StayAtHome

#MFS

- Guru yang merindukan suasana persekolahan. -

Artikel berkaitan:

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi