INI kisah Adiwira Cikgu Samuel Isaiah. Satu kisah yang aku rasa semua rakyat Malaysia perlu tahu.

Cikgu Sam ini mengajar di sekolah orang asli. SK Runchang, Muadzam Shah, Pahang. Semasa hari pertama beliau menjejakkan kaki ke SK Runchang, seorang guru senior ketika itu berkata kepadanya,

“Cikgu Samuel tak perlu cuba apa-apa sangat, mereka cuma murid Orang Asli.”

Dia agak terkejut dengan kenyataan itu. Seolah-olah orang asli ini tidak mampu berjaya. Dari situ dia mula mencabar dirinya dan mengubah persepsi 100% orang sekeliling dengan murid asli.

Apa beliau buat? Baca ni!

Cikgu Sam seorang guru Bahasa Inggeris. Cabarannya sangat besar memandangkan muridnya dari kaum Orang Asli.

Sangat sukar untuk membuatkan mereka fasih dan handal dalam English sebenarnya. Lagi pun, kehadiran Orang Asli ke sekolah agak teruk.

Apa yang Cikgu Sam buat?

Beliau jadikan kelasnya menarik. Agar setiap hari anak-anak didiknya teruja untuk ke sekolah. Antaranya ialah dengan membawa alat muzik ukelele ke sekolah.

Beliau handal bermain alat muzik tersebut dan tidak sia-siakan bakat itu. Beliau mencari dana untuk dapatkan ukelele bagi setiap muridnya dan mereka belajar sambil menyanyi dan bermain alat muzik.

Cikgu Samuel mengimpikan kemudahan yang terbaik untuk anak murid Orang Asli beliau, setaraf dengan sekolah bandar dan antarabangsa.

Atas keinginan untuk memberikan yang terbaik untuk mereka, Cikgu Samuel telah menjana dana melalui laman Give.my dan telah mewujudkan kelas Bahasa Inggeris Abad Ke-21 pada tahun 2015.

Kelas sebegini yang pertama di sekolah Orang Asli mempunyai kemudahan teknologi terkini, di mana setiap murid mempunyai tablet dan komputer, sistem suara dan projector LCD.

Ya, setiap murid beliau ada tablet!

Cuma tidak dibenarkan bawa pulang. Hanya simpan di kelas. Risau bila benarkan bawa pulang, ada murid gunakan tablet itu untuk baling ayam. Haha. Gurau je weh. Jangan serius sangat.

Projek ini juga telah mendapat perhatian laman sosial apabila penyanyi terkenal Altimet telah mempromosikannya sebagai duta.

Antara projek lain yang Cikgu Samuel buat bagi menarik minat murid selain memahirkan mereka dalam English adalah projek pertukaran e-mail antarabangsa yang dipanggil ‘Asli E-Pal’.

Murid Orang Asli Cikgu Samuel menggunakan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan sukarelawan dewasa dari seluruh pelosok dunia dan mendapat sokongan dari dalam dan luar negara.

Hebat kan?

Tidak cukup dengan itu, Cikgu Sam sedar keciciran di kalangan murid asli masih tinggi. Walau pelbagai usaha yang menarik dibuat di sekolah, masih ada ramai yang tidak hadir terutamanya musim ‘kawin bunga’ (musim buah tembikai).

Maka beliau usahakan satu lagi projek power yang dinamakan Sekolah Pokok.

Kenapa Sekolah Pokok? Kerana murid-muridnya belajar di bawah pokok.

Cikgu Sam buat banner dan hebahan. Masuk ke kampung orang Asli kemudian mencari pokok yang teduh untuk dijadikan tempat belajar.

Beliau korbankan masa cuti hujung minggu dengan mengajar murid asli yang tercicir di bawah pokok sahaja. Awalnya kehadiran sekitar 10 orang sahaja.

Disebabkan gaya dan pembelajaran beliau sangat menarik, kehadiran meningkat mendadak hingga lebih 50 orang datang belajar.

Kelas Bahasa Inggeris beliau kini penuh dengan keriangan, muzik dan puisi, gelak tawa, kemudahan teknologi, dan murid Orang Asli yang cintakan pembelajaran. Sesuatu yang pernah dianggap mustahil.

“I believe we need good pedagogy to teach,

I believe in the pedagogy of the heart.”

Moto di atas merupakan pegangan Cikgu Samuel sebagai pendidik, di mana beliau percaya tiada yang mustahil jika ia datang daripada hati.

Dan kini, peratusan lulus English di sekolah beliau meningkat dengan drastik dan ada di kalangan murid asli Cikgu Sam mendapat A dalam UPSR.

Fuh, berdiri bulu roma aku mendengar kisah-kisah dari beliau.

Betapa besar pengorbanan, betapa gigihnya beliau dalam memandaikan anak bangsa sehingga diri aku rasa sangat kerdil dan tiada apa.

Cikgu Sam. Aku bertuah mengenali kau. Aku beruntung mendengar setiap kisah dari kau.

Kau sememangnya layak digelar Adiwira.

Ini antara 16 adiwira lantikan KPM pada tahun 2019. Dan lantikan ini sangat kena dengan calonnya.

Hats off!

#MFS

- Kagum dengan usaha mereka yang sebenar-benar wira dalam dunia pendidikan -

Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh

ARTIKEL MENARIK:

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizan buat warganet sebak

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira...rupa-rupanya ini cerita mereka

Cara mudah menghafaz al-Quran..10 tip ini boleh dijadikan panduan

'Sesekali, semaklah buku sekolah anak' - Ini nasihat Ketua Guru Disiplin