"KESEDIHAN ini kita kongsikan bersama, tanpa mengira kenalan atau tidak. Semoga arwah mendapat tempat yang baik baik di sana. Terima kasih Zahir, masa hayat mu berkorban demi kesejahtetaan negara, keselamatan cikgu juga seluruh rakyat Malaysia.

"Cikgu tak mampu membalas jasa mu Zahir, begitu bermakna dan mahal untuk ditebus dengan kata kata. Hanya doa dari kami yang masih di sini buat mu di sana.

"Juga doa pada anak anak kamu yang masih kecil, semoga sekuat, segagah, sebaik kamu... menjadi pewaris perwira hati ku.. mohon pelihara mereka Ya Tuhan ku.. jadikan mereka zuriat yang soleh dan solehah. Penghubung talian doa di dunia sampai akhirat. Aamiin…"

Demikian luahan pilu seorang guru buat bekas pelajarnya, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, yang menghembuskan  nafas terakhir, selepas terkena tembakan semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut mantan Pengetua SMK Gombak Setia, Norlilah Ismail, Allahyarham seorang yang baik, peramah, mudah dengar nasihat dan ringan tulang.

Malah, seluruh warga pendidik sangat menyenangi dan maklum akan cita-cita arwah untuk menjadi seorang anggota tentera yang berjaya. Kegigihan dan usahanya itu juga, membolehkan dirinya tersenarai di antara komando terbaik Asia.

"Masih segar dalam ingatan saya, ketika saya masih lagi menjadi guru biasa di SMK Gombak Setia sekitar tahun 1993 sehingga 1998. Sebelum saya ditukarkan ke sekolah lain pada tahun berikutnya. Arwah Zahir sangat baik orangnya. Suka tolong orang, angkat barang, temani saya di bilik seni, dan suka sangat bila saya tegur stail rambutnya,”kata beliau kepada GPSBestari.

Ujar Cikgu Norlilah, beliau mengajar arwah Zahir ketika arwah berada di tingkatan dua di SMK Gombak Setia.

Kemudiannya beliau bertukar ke SMK Sungai Pusu pada tahun 1999, sebelum kembali semula ke SMK Gombak Setia sebagai Pengetua pada Mei 2017, dan pencen pada April 2019.

"Sekembali saya ke SMK Gombak Setia, barulah saya tahu arwah seorang anggota tentera yang hebat. Kehebatan arwah  bukan sahaja di Malaysia, malah dikagumi negara luar antaranya China,”katanya.

Zahir, pergimu tiada ganti…

17 Mei 2017

Aku melangkah kembali ke tapak yang pernah aku jejaki sembilan belas tahun dahulu. Kini langkah kaki ku adalah langkah yang lebih penting dan besar tanggungjawabnya, kembali sebagai peneraju sebuah sekolah premier di kawasan Gombak dengan jumlah murid melebihi dua ribu orang.

Aku kembali dan memerhati perubahan fizikal dan juga prasarana yang kekal sejak dulu. Sekembalinya aku disambut dengan paluan kompang dan perbarisan unit berunifom murid dan juga deretan guru yang sedia menanti.

Ramai yang masih aku kenali, sahabat lama yang masih setia di situ. SMK Gombak Setia menyimpan begitu banyak memori ketika aku berkhidmat dulu.

Di suatu pagi semasa aku bersama beberapa rakan guru di kantin, Cikgu Aini sahabat lama, dan masih kekal di situ, membangkitkan nama Zahir Armaya.

Siapa yang tidak kenal dengan bekas muridku yang seorang ini. Bibirku pantas menjawab, “Anak pelakun AR Badulkan? Saya mengajar dia dahulu ketika di tingkatan dua”.

"Puan, sekarang Zahir dah jadi tentera, hebat dia. Komando yang sangat cekap, penembak tepat,”ujar Cikgu Aini.  

"Ouh! Bagusnya dia,”

Wajah Zahir yang berumur empat belas tahun ketika berada dalam kelas Pendidikan Seni terimbau di minda.

“Alhamdulillah, saya rasa bangga walaupun saya tidak lama bersama dia di sekolah ini, tetapi dia adalah produk SMK Gombak Setia yang membanggakan. Satu pencapaian yang bukan kepalang.”

Sahutku dengan bangga. Sebutir permata berharga untuk negara telah terhasil dek didikan para guru sekolah ini, sejak beliau berada di tingkatan satu hingga enam.

"Mungkin kita boleh panggil Zahir ke sekolah untuk motivasi adik-adik yang lain,”kataku.

"Bagus juga cadangan puan tu,” balas bicara guru-guru yang makan semeja dengan ku pagi itu.

Perbualan kami terhenti di situ… namun jauh di sudut hati, teringin benar aku menatap wajah bekas pelajar ku itu. Apakan daya… masa terlalu terhad, hasrat untuk menjemputnya ke sekolah tidak kesampaian.

4 September 2019

 Aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pesara, menyemak telefon bimbitku, untuk mengetahui perkembangan semasa, dan hati tersentap apabila terbaca tajuk satu posting di muka buku, dengan gambar seorang angkatan tentera yang diberitakan maut tertembak.  

Aku terkejut!

Betul ke ni? Atau tajuk berita yang sengaja nak buat gempak? Wajah dalam gambar itu ialah wajah Zahir, bekas murid ku. Tanpa berlengah aku berkongsi berita di dinding muka buku ku dan mohon kepastian dari beberapa sahabat yang mengenali dia.

Dalam beberapa minit, posting itu mendapat respon dari bekas murid ku juga, mengesahkan berita kematian Zahir.

Innalilllah...aku masih kurang yakin dan sebolehnya tidak mahu mempercayai berita itu.

Tetapi setiap saat, berderu deru post di muka buku, memberitakan hal yang sama. Aku berasa ada sesuatu tersekat di tekak, lemas di dada. Maka corong whatsup aku juga menjadi sangat sibuk, begitu ramai yang menyuarakan kesedihan dan mengimbas kembali kenangan bersama arwah.

Zahir, mata cikgu berkaca…

Sukar untuk cikgu telan, dirimu sudah kembali menemui Pencipta.

Siapakah Zahir Armaya, bekas murid SMk Gombak Setia ini, yang telah menumpahkan air mata kami bekas gurunya?

Arwah yang kami kenali dari Tingkatan 1 hingga 6 itu adalah seorang anak yang periang, rajin, ringan tulang, bersopan. Sifat yang diakui oleh kami semua, tiada perkataan negatif barang sepatah pun.

Aku masih ingat, anak ini suka membantu aku membawa alatan melukis ke kelas. Tiada sungutan jika disuruh apa-apa. Semuanya disambut dengan senyuman.

Rambut lurus belah tepi, pernah aku provokasi kenapa tidak diubah belah tengah kerana itulah trend gilaan remaja pada 1997 ketika itu. Dia sambut dengan ketawa sambil memegang rambutnya.

“Cikgu, sekarang pun dah hensem, belah tengah nanti terlebih hensem!” balas anak itu dan kami sama sama gelak.

Kesempatan aku bersama arwah sangat singkat kerana aku bertukar bertugas di beberapa sekolah lain dalam daerah Gombak ini.

Namun, memori singkat itu tidak mudah luput. Berbadan kurus lampai, sering terkejar kejar cuba mengikuti langkahku yang laju.

Sahabat bekas gurunya juga menceritakan arwah sangat aktif bersukan, mewakili rumah kuning, banyak menyumbang mata dan pingat di hari sukan tahunan.

Zahir juga aktif dalam pasukan nasyid sekolah. Akur dalam latihan dan berbakat, bersama ustazah dan guru pengiring ke lokasi pertandingan.

Zahir, sememangnya mempunyai minat mendalam dalam unit berunifom. Menyertai pasukan kadet bomba, telah menyerlahkan kebolehan Zahir mengawal pasukannya berkawad.

Antara coretan memori bekas gurunya, menegur arwah yang sering memakai kasut kawad ke sana ke mari.. bunyi hentakan langkahnya ditegur oleh guru tersebut, dan dia memohon maaf, sambil berjalan dengan langkah yang lebih lembut, dengan gaya yang menghiburkan. Nyata sekali, arwah mewarisi sifat komedi bapanya.

Tiada catatan yang menjengkelkan dari kami bekas guru, malah arwah masih berhubung dengan beberapa bekas gurunya. Menyapa dan bertanya khabar di alam maya.

Itulah Zahir.

Zahir adalah anak semua guru SMK Gombak Setia di zaman persekolahannya. Ketika di tingkatan enam, kegembiraannya memuncak bila mendapat tawaran menyertai angkatan tentera.

Dengan memohon restu dan doa dari guru-guru, arwah melangkah ke alam kerjaya. Alhamdulillah dengan kasih sayang ALLAH, yang mengizinkan arwah menceburi bidang yang amat diminatinya.  

Sebagai tentera, Zahir Armaya adalah kebanggaan kami. Dia  berjaya menempatkan diri dalam kerjaya ketenteraan, dan melepasi pelbagai ujian kecekapan komando. Dia adalah aset negara yang tidak ternilai. Kecekapan dan ketangkasannya terbukti hebat.

Puan Aminah Abu Bakar

Dari catatan Cikgu Aminah Abu Bakar, mantan Pengetua ketika zaman persekolahannya, Zahir beria ia mahu beliau hadir ke majlis perkahwinannya kerana mahu mantan pengetua yang dikasihi itu dapat melihatnya memakai pakaian tentera dengan segak dan bergaya.

Itulah Zahir, di sebalik ketangkasan, ketegasan sebagai anggota komando, dia adalah seorang anak yang manja. Manja menumpang kasih dari kami guru-guru.

Berkongsi resah, dan sering mendapat nasihat dari guru guru yang memahaminya, adalah rencah hebat anak ini.  Seorang insan  yang kuat jati diri, tidak hanyut dengan kelalaian dan tidak menyalahkan keadaan, bertanggungkawab dan  patut menjadi inspirasi pada anak anak muda kini.

Jika terlewat ke sekolah, hanya satu sahaja penjelasan, kerana menghantar nenek menerima rawatan ke hospital. Dan semua guru sudah memahami. Nenek yang membesarkan Zahir dua beradik. Tetap tersenyum dan periang, dalam apa pun keadaan.  

Zahir Armaya, kini perjuangan kehidupan kamu telah melabuh tirai. Jika dahulu nama mu, tersemat dalam kalangan kami yang mengenali mu, tetapi kematian mu telah mengangkat nama mu disebut di seluruh pelosok negara.

Semua mengenalimu Zahir

Episod terakhir kamu gugur dalam tugas, disaksikan oleh barisan rakan setugas bukti kamu memang penembak terhandal. Takdirnya begitu, pergi dalam penuh jiwa bakti komited pada arahan bertugas.

Dan aku berasa kesal tidak berkesempatan menjemput Zahir ke sekolah sebelum aku bersara untuk berkongsi pengalaman dengan adik adik yang lain. Kesuntukan masa di hujung perkhidmatan.

Pahit di hati kami bekas guru untuk menerima kenyataan  kematian mu ini, tetapi kami reda dan yakin inilah yang terbaik dalam perancangan ALLAH.

Berehatlah anakanda, semoga kehidupan di sana lebih baik. Kami menghalalkan setiap dan segala ilmu, masa, tenaga. bersama mu.

Ya Rabb kami panjatkan kesyukuran pada Mu, kerana memberi kami peluang dan ruang untuk berada dalam sejarah hidup anak yang baik ini. Memori bersama mu Zahir, akan terus menjadi kenangan yang bisa membuat kami tersenyum sendiri mengingati gelagat keletah mu.

 Tiada dosa kamu pada kami, malah terima kasih kami pada mu Zahir perwira negara, yang sanggup berkorban demi kesejahteraan kami rakyat Malaysia.

Zahir Arnaya akan terus menjadi anak yang setia pada SMK Gombak Setia dan Negara tercinta. Dengan iringan Al Fatihah kami melepaskan kamu pergi ke negara abadi.

Puisi buatmu Zahir…

Perwiraku

Dahulu kamu anak didik ku

Mesra dan mudah membantu

Kenangan yang baik datang bertamu

Bercerita ini dan itu

Bagai dahagakan kasih seorang ibu

Perwiraku

Kisah keberanian mu

Kecekapan mu

Ketepatan tangan mu memacu

Musuh akan pucat terpaku

Gentar dengan ledakan peluru mu

Walau

Dicampak dari awan biru

Tidak goyah semangat padu

Lumpur dan paya tidak menghalang kamu

Wajah tenang dan senyum terus di situ

Kisah kamu

Adalah irama merdu

Di hati seorang bekas guru

Hari ini

Allah memanggil kamu

Gugur dalam tugas terakhir

dan kamu mengundur

kembali ke alam abadi

tidak kembali

Perwiraku

Cikgu halalkan segala ilmu

tenaga dan setiap detik bersama kamu

Terbaik  di sana doa dari ku

mohon maaf jika ada kepincangan

dalam pengajaran,

kurang memberi perhatian

kerana cikgu juga seorang insan

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Bin Armaya

Tercatat nama indah perwira negara

Berehatlah anakanda

Sementara kami menyusul pula

Ikhlas

Norlilah

04092019

Laungan nama sekolah ketika membuat penerjunan, oleh Allahyarham Mejar Zahir

Tip Penting:

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Nota mudah Paksi Simetri...calon UPSR boleh cuba hafal, mana tahu keluar soalan begini Selasa ini

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan