"SAYA hasilkan cerpen 'Lintah Raksasa' bertujuan membawa pelajar zaman sekarang kembali ke zaman dahulu dan menikmati corak kehidupan tanpa gajet'.

Itu kata Guru Bahasa Melayu, SMK Puchong Utama 1, Aidal Mustafa.

Katanya, gajet masa kini, bagaikan satu keutamaan buat semua pelajar.

"Dulu, manalah ada gajet. Kanak-kanak bebas bermain di sawah padi, di padang bola, di halaman rumah dan sebagainya.

"Justeru, cerpen sebegini dihasilkan agar mereka tahu, kehidupan juga sangat indah tanpa gajet," katanya.

Berkongsi mengenai bakat menulis cerpen, Cikgu Aidal berkata, ia bermula ketika zaman persekolahan lagi.

"Saya suka menulis cerpen dan juga genre-genre lain.

"Bila idea datang, saya akan catatkan dalam diari khas agar catatan tidak hilang," ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai maksud tersirat di dalam artikel berkenaan.

"Dalam Lintah Raksasa, kita dapat lihat nilai kesungguhan Mirul untuk memiliki sesuatu yang dia mahukan iaitu kasih sayang.

"Memandangkan ibunya begitu garang, jadi Mirul hanya menumpang kasih pada seekor lintah.

"Unsur pengajaran bagi cerpen ini...tak semua benda yang kita nak kita boleh memilikinya. Mungkin ada perkara yang perlu kita lepaskan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Ikuti kisah Mirul dengan Lintah Raksasa hasil karya daripada Cikgu Aidal.

**********

Kocak air parit yang kelihatan tenang pagi itu menggamit Mirul untuk melemparkan joran buluh miliknya. Fikirannya menerawang jauh membayangkan haruan, keli dan puyu yang akan tersangkut tergedik-gedik di mata kailnya. Dia akan mematahkan ranting-ranting senduduk dan satu persatu mulut ikan-ikan itu akan disula. Balik nanti dia akan meminta emaknya menggulai ikan haruan dengan campuran daun kesom, puyu pula akan digoreng garing.

“Hoi, sampai esok pun kau tak kan dapat mengail ikan tu. Sudah mari ikut mak balik.”

Suara nyaring Mak Besah melenyapkan semua angan-angan Mirul. Dia menoleh kepada emaknya dan kemudian baru tersedar dia yang duduk di titian buluh merendamkan kakinya ke dalam air sambil menghayun-hayunkannya menjadikan kocakan air semakin galak dan sudah pasti menghalau semua ikan ke tempat lain.  

Mirul perlahan menarik semula jorannya, anak cacing yang disangkutkan pada mata kail masih layu bergantung tanpa disentuh puyu apatah lagi haruan. Mirul melepaskan satu keluhan berat, hasratnya untuk makan gulai daun kesom ikan haruan nampaknya tidak menjadi. Lantas dia bingkas dari titian membetulkan seluar lusuhnya yang hampir terlondeh. Tali tangsi yang diikat di hujung joran buluh dililit pada joran.

Tiba di rumah, Mirul segera menyandarkan joran pada dinding buluh yang dianyam jarang - jarang sehingga boleh tembus ke ruangan dapur. Kelihatan emaknya yang berkemban, sedang menyalakan kayu api untuk menanak nasi sebagai hidangan tengahari nanti.

Mirul meninjau apa agaknya lauk untuk mereka tengahari tu, tiba-tiba dia diterjah rasa gatal yang menggigit kulit betisnya yang berkarat dan bersisik. Segera Mirul membongkokkan badannya dan jari jemarinya rakus menggaru betis yang gatal.

Mirul terasa ada sesuatu yang lembik, lembut dan sejuk melekat ketat pada betis kurus keringnya. Mata Mirul terbeliak apabila melihat seekor lintah yang bersaiz sebesar tiga jari emaknya yang kontot dan kembang sedang rakus menghisap darahnya.

Mirul segera mencari ranting kayu untuk menguis lintah raksaksa itu. Geli geleman Mirul apabila badan lintah itu meliuk lintuk di betisnya, seolah-olah terlalu sayang untuk melepaskan betis kurus Mirul. Sekuat hati Mirul menonyoh badan lintah itu sehingga akhirnya tertewas juga dan jatuh tergolek ke tanah. Darah pekat laju menuruni betis Mirul bercampur baur dengan rasa gatal yang merenyam - renyam. Terus Mirul berlari ke telaga, mengambil timba dan mencebok air.

Setimba demi setimba air telaga yang dingin membasah badan Mirul. Gatal di betisnya masih belum hilang. Mirul melilau mencari sesuatu untuk memberus betisnya. Mata Mirul tertancap pada sabut kelapa yang terbaring lesu di tepi telaga. Terus di gaharnya betisnya yang merenyam - renyam.

Dengan hanya memakai seluar lusuhnya yang menjadi basahan mandi tadi Mirul berjalan semula ke arah lintah raksaksa yang di tinggalkan tadi. Ternyata lintah itu masih bergerak sedikit-sedikit, timbul satu rasa simpati kepada sang lintah. Fikiran Mirul terus menerawang jauh ke dasar parit. Dia membayangkan dia ditangkap lintah dan diheret masuk jauh ke dasar parit, dia meronta-ronta kelemasan. Peparunya terasa padat, udara tiada lagi untuk disedut dan dihembus, mukanya kebiruan kerana nyawa tersangkut di kerongkongan. Bedebuk! sehelai tuala bergumpal singgah di wajahnya memecahkan lamunannya.

“Tak habis-habis berangan, mandi bukan tahu nak lap, sudahnya badan berdaki, berkarat, busuk, tengik...”

Bebelan emaknya tidak singgah pun di telinganya, segera Mirul mengambil lintah yang semakin lemah, dia mengampu lintah itu dengan telapak tangannya ke telaga. Dia mengambil botol plastik yang emaknya gunakan untuk mengisi garam, dia membuang sisa garam dan mengisi dengan air telaga. Segera Mirul memasukkan lintah ke dalam botol. Terasa berada dalam air, lintah itu bergerak perlahan dan akhirnya diam kaku di dasar botol.

Tiga hari berlalu,  Mirul melihat lintah yang sebelum ini gemuk gedempol, kini dah jadi lonjong, kurus dan panjang.  Mirul tidak seronok melihat lintah yang dinamakan Dollah itu menjadi kurus. Mirul memasukkan jari jemarinya ke dalam air dan mengocaknya perlahan - lahan sambil memanggil Dollah.  

Seakan faham panggilan itu, Dollah segera menggerakkan tubuhnya lonjongnya ke arah jari Mirul dan menyedut titisan darahnya sehingga kembali gemuk gedempol.

Sebulan berlalu, tubuh Mirul semakin kurus dan banyak kesan gigitan dari jari jemari sehingga ke lengannya. Manakala Dollah pula semakin membesar sehingga terpaksa dipindahkan ke tempayan di belakang rumah. Satu hari sewaktu Mirul ke sekolah, Mak Besah membersihkan halaman belakang rumah. Dia mencurahkan setiap air yang ada di tempayan ke parit kecil di belakang rumah nya.

“celebuk” terdengar air melatah saat tempayan yang berisi Dollah dicurahkan. Mak Besah menoleh sekilas, tetapi dia tidak nampak apa - apa yang pelik.

Sepulangnya Mirul dari sekolah, dia menongkatkan basikalnya dan melemparkan beg sekolahnya ke anjung rumah.

Tanpa menanggalkan kasut sekolah, segera dia berlari ke tempayan Dollah. Langkah Mirul terhenti apabila dia melihat semua tempayan berada dalam keadaan terlungkup. Kedua-dua tangannya meraup wajahnya, menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Mak, sapa yang telungkupkan tempayan ni mak? jerit Mirul.  

“Aku lah...siapa lagi nak buat,  kenapa kau nak aku telungkupkan tempayan tu kat kepala engkau?”

Kasar Mak Besah menjawab, dia sememangnya naik hantu dengan Mirul yang kerap berada di belakang rumah dan tidak mengendahkan makan minum, apatah lagi nak menyiapkan kerja sekolahnya.

“Mana mak curah air dalam ni?”

Tanpa mempedulikan kekasaran bahasa emaknya Mirul mengajukan lagi pertanyaan.

“Dalam parit tu ha”

Jawapan itu mengembalikan semula kegembiraan Mirul. Segera dia berlari ke parit dan memanggil Dollah bertalu-talu. Mirul melihat beberapa ekor itik leka berenang - renang di parit.  Mirul tidak mempedulikannya. Dia mengocak-ngocak air dan memanggil Dollah,  tiba-tiba, salah seekor itik kelihatan menggelupur dan ditarik ke dasar parit. Itik-itik lain berenang bertempiaran ke tepian,  Mirul kaget, diam dan hanya melihat sahaja apa yang berlaku di depan matanya. Mulutnya tidak henti-henti menyebut nama Dollah.  

Tak lama kemudian satu deburan air bersembur di depan mata Mirul dan itik tadi timbul terapung mati kaku. kocak air semakin galak. Mirul terpaku, dia tahu itu angkara Dollah.

Mirul melangkah pulang ke rumah nya dengan perasaan riang. Dia bersiul-siul sambil membayangkan kehebatan si Dollah tadi ni .

Mirul berasa gembira kerana Dollah sudah pun pandai mencari makanan nya sendiri. Dollah hebat. Dollah pandai berdikari.  Hati Mirul berbunga kerana tidak perlu lagi dia mendermakan darahnya kepada Dollah.

Setibanya di rumah, Mirul segera ke ruang dapur. Dia membuka tudung saji, cuma ada seekor ikan sardin goreng dan sepinggan cendawan yang digoreng bersama telur.  Mirul mengambil pinggan dan dipenuhkan dengan dua senduk nasi. Dia menoleh ke telaga, kelihatan emaknya gigih memberus sebesen baju kotor.

“Mak”  laung Mirul.

Tanpa sepatah kata Mak Besah hanya menoleh dan mendongakkan kepalanya ke arah Mirul mewakili sebuah pertanyaan.

“Ikan tu boleh makan semua ke atau simpan sikit untuk mak?”  “Makan aje lah,  mak makan dengan telur aje nanti,” sambut Mak Besah bersahaja.  

Mirul melangkah semula ke meja makan yang sudah terlalu usang. Hanya ada dua kerusi untuk dia dan emaknya. Ayahnya sudah lama dijemput Ilahi. Mirul mematahkan ikan itu separuh, dia mengambil bahagian ekor dan meninggalkan separuh bahagian kepala untuk emaknya, Mirul tahu emaknya gemar meratah kepala ikan. Sambil makan fikiran Mirul masih lagi dibayangi kejadian itik tadi.

Timbul rasa bangga dalam diri Mirul. Terdengar suara pintu dapur dibuka, lagaan engsel yang sudah berkarat mengeluarkan bunyi kriuk yang agak kuat. Mak Besah masuk sambil mengesat peluh di badannya.

“Mak,  Dollah dah pandai cari makan sendiri mak”

Di lonjak rasa gembira Mirul memberitahu tanpa disoal emaknya. Mak Besah mengerutkan dahinya yang sememangnya sudah mula menampakkan garis-garis halus.

“Apa yang kau merepek ni Mirul? Dollah mana?”

Mirul hanya diam, putih matanya menatap cerlungan mata Mak Besah.

“Sudah, cepat habiskan nasi tu, lepas tu mandi dan pergi mengaji. Pagi tadi Ustazah Jarah bagitau kau gagap mengaji. sekali lagi aku dengar dia cakap macam tu, aku rodok mulut kau dengan kayu api”.

Mirul cepat-cepat menghabiskan nasinya. Telinganya tidak sanggup lagi mendengar bebelan emaknya. Agaknya kalau ada pertandingan membebel tentulah emaknya menjadi juara. Mirul tersenyum sendiri.

Balik dari mengaji Mirul melalui parit Dollah, dia berhenti mengocak - ngocak air dan memanggil Dollah. Sayangnya Dollah tidak muncul. Dollah tidur barangkali. Fikirnya.

Seminggu berlalu, seminggu jugalah Mirul tidak melihat kelibat Dollah walaupun setiap hari dia mengocak-ngocak air dan memanggil Dollah. Mirul susah hati, pelbagai andaian bermain di benaknya.

Petang itu Mirul menolong emaknya mengumpulkan kayu api dan menyusunnya di bawah rumah. Tiba-tiba dia mendengar suara riuh dari arah parit. Mirul berhenti dari menyusun kayu api dan berdiri tegak memerhati apa yang berlaku.

Beberapa orang kampung kelihatan mula berkumpul di parit. Mirul tidak mahu ketinggalan, segera dia berlari ke parit.

Terdengar Pak Cik Samat bercerita tentang misteri yang menimpa anak lembunya yang baru berusia sebulan itu. Kononnya anak lembu itu sedang minum di tepian parit sebelum dia tiba-tiba menggelupur dan tenggelam ke dasar parit, seolah-olah ditarik oleh sesuatu. Tak semena - mena cerita itik Pak Utih yang tiba-tiba menggelupur dan mati pada minggu lepas, turut menjadi bualan. Orang kampung merancang untuk menahan pukat di dalam parit. Biar pembunuh itu dapat ditangkap.

“Aku setuju kita tahan pukat, aku sendiri yang akan merobek perut si jahanam tu”

Lantang suara Pak Cik Samat menunjukkan rasa marahnya. Mirul merasakan jantungnya kencang. Dia yang tidak berbaju menunduk melihat dadanya, ternyata kelihatan jantungnya berombak.

Dollah. Hanya satu nama yang ada dalam fikirannya saat itu. Dia menoleh merenung parit yang kelihatan tenang. Terasa ingin dia berenang ke dasar parit mencari Dollah. Dia ingin berpesan pada Dollah agar berenang jauh-jauh pergi dari kampung ini. Mirul tidak mahu Dollah tersangkut pada pukat. Mirul tidak mahu perut Dollah dirobek.

Petang itu juga penduduk kampung berpakat menahan pukat. Bukan satu, bukan juga dua tapi lebih daripada 10 pukat yang ditahan.  

Mirul hanya mampu memerhati dengan hati yang sarat dengan kerisauan. Otaknya ligat berpusing mencari jalan menyelamatkan Dollah, tapi dia buntu.

Malamnya Mirul tidak dapat tidur, dia membolak balikkan badannya ke kiri dan kanan, payah benar matanya mahu pejam malam itu. Bayangan Dollah ada di segenap ruang fikirnya. Mirul bangkit lalu ke bilik emaknya yang tidak pun berdaun pintu, dia menjengah, emaknya sedang lena diulit mimpi malah diselang seli dengan irama dengkur yang mampu membangunkan jiran sebelah rumah.

Mirul berjengket-jengket ke dapur, tidak mahu emaknya terjaga. Dia segera mencabut sebilah pisau yang tersisip kemas dicelah dinding buluh di dapur. Pintu dia buka perlahan.

Dengan berkaki ayam Mirul melangkah laju ke arah parit. Dia nekad untuk memotong pukat - pukat itu. Satu persatu pukat dipotong Mirul. Dia menghela nafas lega, Dollah masih terselamat. Sampai pukat ke lima , tiba-tiba Mirul hilang imbangan, dia tergelincir ke dalam parit. Mirul yang sememangnya jaguh berenang, segera melonjakkan badannya ke permukaan air.  Dia melepaskan udara yang masih bersisa dalam peparunya perlahan-lahan. Saat badannya meluncur ke permukaan, dia terasa ada sesuatu memaut betisnya. Mirul menoleh, dalam kepekatan malam Mirul terlihat kelibat Dollah. Hatinya berbunga riang, sudah lama dia ingin berenang bersama-sama Dollah. Tapi Mirul dapat merasakan cengkaman mulut Dollah di betisnya semakin kuat. Mirul menendang- nendang kakinya meminta agar Dollah melepaskan betisnya. Namun makin kuat rontaan  Mirul makin kuat pula cengkaman Dollah. Mirul hampir lemas. Nampaknya Dollah sudah tidak lagi mengenalinya. Mirul tiada pilihan kecuali menikam tubuh hitam Dollah.  Malangnya pisau yang dia genggam erat tadi terlepas dari tangannya saat dia cuba menggapai rumput sebelum dia terjatuh ke dalam parit. Dengan seluruh kekuatan yang masih bersisa Mirul menggagahkan juga dirinya untuk timbul di permukaan. Dalam kepayahan dia berjaya melonjak ke permukaan.

“Mak!!!!!!  tolong mak, makkk !!!” Mirul menjerit sekuat hati.

Dia menggunakan kesempatan itu untuk meminta pertolongan sebelum dia diseret ke dasar parit dan sebelum dia senasib dengan itik Pak Utih dan anak lembu Pak Cik Samat.

Tiba-tiba dia terasa simbahan air singgah di wajahnya. Dia terjaga, matanya terkebil-kebil. Jantungnya berdegup kencang serasakan hendak pecah dada nya. Mirul meraup wajahnya berkali-kali. Dia sangat bersyukur semua kejadian tadi hanya mimpi ngeri.

“Nak tidur, bukan tau nak basuh kaki, lepas tu mula lah mengingau, tak habis-habis menyusahkan orang”  

Bebelan Mak Besah tidak meninggalkan kesan pun pada rasa Mirul, dia masih dalam debaran yang memuncak. Apa yang berlaku tadi dia rasakan seperti benar - benar berlaku. Dia menilik betis kirinya, tiada kesan gigitan. Mirul kembali merebahkan badannya.  Dia tidak peduli lagi pada bantal yang basah. Dalam kotak fikirannya dia masih memikirkan Dollah.

Kokokan si jalak mengejutkan Mirul dari lenanya. Dia menjenguk ke luar jendela. Pagi masih terlalu muda, tidak kelihatan sesiapa pun di parit. Mirul melangkah longlai, dia nekad apa saja yang bakal berlaku pagi ini akan dia terima. Mirul duduk di pinggir parit penuh hati-hati, dia tidak mahu mimpinya semalam menjadi kenyataan. Takutnya pada Dollah bukan kepalang.

Tidak lama kemudian, orang kampung mula berkerumun di parit untuk melihat hasil dari pukat mereka. Satu persatu pukat di tarik.

Mirul memerhati tanpa berkedip. Risau ada bimbang pun ada.

“Nah, tertewas juga engkau akhirnya, lintah jahanam”

Terdengar laungan Pak Cik Samat. Mirul berlari meloloskan dirinya dicelah orang ramai. Suasana menjadi gamat. Rata-rata orang kampung sangat terkejut dengan penemuan itu. Tidak pernah mereka melihat lintah sebesar itu. Mirul memerhati Dollah yang ternyata semakin membesar sehingga menimbulkan satu perasaan ngeri dan takut dalam dirinya. Dia mengerling pula ke tangan Pak Cik Samat, terlihat belati digenggam kemas.  

“Rasakan belati ini, sedap je kau kerja kan anak lembu aku, lembu tu keturunan charolais, kau tau...baka yang baik”  

Bebelnya seolah-olah lintah itu memahami bahasanya. Tanpa berlengah Pak Cik Samat yang dihantui rasa marah terus merobek perut Dollah, darah hitam pekat membuak-buak keluar bercampur dengan bau hanyir yang menyesakkan rongga hidung. Mirul memejam rapat matanya. Dia tidak sanggup  melihat keadaan Dollah masa tu. Dapat dia rasakan air mata laju menuruni pipinya.

“Dollah”

Raung Mirul sekuat hati.  Namun raungan itu hanya bergema dalam dadanya, sedang bibirnya diketap rapat menahan esakan