BELUM reda demam Beyblade kalangan anak-anak kita sekarang ini.

Ramai yang menyokong permainan tersebut bagus bagi membina motor halus seseorang kanak-kanak.

Dalam kebanyakan anak-anak petah menyebut koleksi Beyblade yang mereka ada, ada juga hati yang berduka kerana tidak pernah memiliki permainan seperti itu.

Seperti satu perkongsian oleh Cikgu persis Korea, Mohd Fadli Salleh ini. Mari kita hadam.

 

+++

Minggu lepas, aku masuk kelas macam biasa. Kebetulan yang berada di kumpulan depan itu seorang anak dari keluarga bercerai.

Masa dia ralit buat kerja, aku bertanya khabar.

"Ayah awak ada pulang?" "Tak ada, cikgu," balasnya.

"Dah lama tak pulang?"  Dia hanya mengangguk sahaja tanpa memandang aku. Tekun dia siapkan kerja yang aku beri.

Kasihan pula aku melihat dia. Seolahnya tidak mahu aku berbicara tentang ayahnya. Anak ini aku sponsor pergi lawatan ke Melaka tahun lepas.

Dia seorang sahaja yang berselipar waktu lawatan sedangkan dah tulis jelas agar peserta memakai kasut. Sebaik sampai Melaka, aku belikan dia kasut baru.   Seronok anak ini tak terkata.

Memandangkan dia seolah mengelak bila aku bertanya tentang ayah, aku ubah topik perbualan.

"Kasut cikgu beli tahun lepas elok lagi?"

"Elok cikgu. Saya simpan baik-baik atas rumah. Jarang-jarang sahaja saya guna," katanya sambil tersenyum dan memandang mata aku.

"Awak ada Beblade?" Dia diam. Mengambil pensel dan kembali menulis dan membiarkan soalan aku tergantung begitu sahaja.

"Ada ke tak ada?" soalku lagi. Dia hanya geleng kepala dan menunjukkan reaksi kurang senang dengan soalan aku.

"Kenapa tak beli? Semua orang main Beyblade sekarang ni," pancing aku lagi. "Saya tak suka cikgu," balasnya acuh tak acuh.

Matanya fokus membuat kerja tanpa memandang aku. Aku tahu dia menipu. Aku tahu dia sangat sedih kerana tiada permainan sepertimana kawan-kawannya ada.

Agaknya untuk mengelak rasa rendah diri, dia tak nak berbual apa-apa tentang Beyblade.

"Awak nak tak kalau cikgu belikan awak Beyblade?" Terhenti dia dari menulis. Tapi masih tidak memandang aku lantas menggeleng kepala.

"Nak ke tak nak? Kalau nak cikgu belikan dan hadiahkan pada awak," ujarku lagi.

Dia meletakkan pensel, berhenti buat kerja lantas memandang mata aku.

"Betul ke cikgu nak hadiahkan saya Beyblade?" soalnya pula.

Aku senyum dan mengangguk kepala.

"Itu pun kalau awak nak," balasku.

Matanya bersinar-sinar kegembiraan. Kepala dianggukkan seraya membalas, "Nak cikgu."

Kawannya di sebelah yang hanya mendengar perbualan kami mencelah,

"Cikgu. Saya pun tiada Beyblade. Mak saya pun bercerai juga. Boleh tak kalau saya pun nak Beyblade juga?"

Tulus persoalan itu keluar dari mulut anak itu. Betapa sudah lama dia mengidam inginkan permainan sepertimana kawan-kawannya ada.

Kali ini dia buang perasaan malu, dan memberi tahu padaku dengan jelas. Apatah lagi bila mendengar aku ingin hadiahkan kawan dia Beyblade.

"Boleh, InsyaAllah," aku menganggukkan kepala.

"Terima kasih cikgu."

Bersinar mata dia mendengar aku ingin menunaikan permintaan kecilnya itu.

Hari itu juga aku order melalui Shopee. Hanya RM25 set Beyblade lengkap dengan arena kecil ini. Order direct dari China, sebab tu agak murah. Namun lambat la sikit baru sampai.

Dan petang tadi, jaga datang menghulur dua bungkusan Beyblade ini.

Kebetulan malam ini ada Majlis Berbuka Puasa di sekolah aku dan anak ini hadir sama.

Terus aku panggil mereka berdua dan sampaikan hadiah kecil ini.

Keseronokan jelas terpancar diwajah mereka. Tangan aku mereka cium, ucapan terima kasih bertalu-talu mereka ucapkan.

Ah anak. Betapa gembiranya kalian dengan hadiah kecil ini. Hadiah yang kalian begitu dambakan sekian lama namun tidak mampu memiliki kerana kekangan kewangan keluarga.

Anak...

Cikgu tidak kisah jika kalian akan melupakan nama mahupun wajah cikgu suatu hari nanti.

Namun cikgu nak awak ingat kejadian hari ini seumur hidupmu. Kejadian di mana ada seseorang yang tiada pertalian keluarga denganmu datang membantumu dengan rela.

Datang tanpa diminta untuk menggembirakan kamu serta merealisasikan hasratmu.

Cikgu harap kamu ingat kejadian ini. Cikgu harap sangat-sangat.

Dan diharap bila kalian membesar kelak, kalian juga akan melakukan perkara yang sama seperti ini.

Menggembirakan anak-anak lain tanpa mengira siapa pun mereka.

Kitaran seperti ini kita perlu teruskan agar tidak mati.

Kerana diluar sana, sentiasa ada orang memerlukan sokongan dan bantuan.

Membesarlah kalian membawa semangat cikgu ini dan sebarkan ke sekalian alam.

#MFS

- Dua senyuman di malam Ramadan 19 -

Artikel lain:

'Seorang pelajar Kolej Vokasional maut, 24 lagi cedera' - Polis masih siasat punca

'Menjadi guru bukan pilihanku, namun ALLAH lebih tahu segalanya' - GB SK Beruas

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

Tahniah! SMK Panji Alam takluk Eropah gondol empat anugerah utama tewaskan pasukan dari 100 negara

Warga SK Taman Cahaya Masai bersyukur semua pelajar selamat ketika kes pembuangan sisa kimia