TERKEJUT besar apabila seorang guru buat kali pertamanya dalam hidup menerima hadiah daripada murid berupa wang tunai.

Itulah yang dilalui seorang guru muda Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Krau 1 di Raub, Aziz Ahmad Asri yang menerima sekeping sampul merah jambu sempena sambutan hari guru peringkat sekolah pada Isnin lalu.

Katanya, pada mulanya beliau beranggapan murid tahun lima, dikenali Farhana itu saja-saja buatkannya 'prank'.

"Mula-mula aku ingat si Farhana ni saja nak buat prank untuk menceriakan aku.. aku hanya senyum je la. Tiba-tiba tergerak nak buka sampul pink ni. Selak-selak eh dia bagi sampul prank la RM50.

"Buka lagi tengok ada RM50. Terus capai minyak cap Kapak. Budak ni biar betul?!," katanya menerusi satu perkongsian di laman sosial Facebook sehingga tular.

 

Kata Cikgu Aziz, sampul tersebut diterima daripada murid kelasnya bernama Farhana sempena sambutan hari guru yang dibuat lebih awal pada Isnin lalu.

Walau bagaimanapun beliau tidak hadir pada majlis tersebut kerana cuti sakit selama dua hari.

"Saya kembali mengajar pada Rabu dan masa tu dapat sampul merah jambu daripada Farhana. Ingatkan prank, sekali betul sampai saya pening terkejut.

"Sebab kepala pening tu yang saya ambil minyak angin Cap Kapak. Saya kemudian pergi jumpa Farhana tanya betul ke dia beri saya RM50. Dia kata memang untuk saya sempena hadiah hari guru," kata guru Pendidikan Seni yang berumur 37 tahun itu.

Cikgu Aziz yang mengajar di sekolah berkenaan sejak 2015 bertanyakan kepada muridnya itu bagaimana memperoleh wang sebanyak itu sebagai hadiah sempena Hari Guru.

Farhana (dua, kiri).

Farhana pernah beritahu setiap lukisannya dijual antara RM1 dan RM2. Jadi, bayangkanlah kalau hadiah RM50 tu, berapa banyak lukisan dia kena jual.

Menurutnya, Farhana menjelaskan wang tersebut merupakan hasil titik peluhnya menjual lukisannya kepada rakan-rakan di sekolah.

"Saya tanya berkali-kali mana dia dapat duit tu sebab saya tahu RM50 nilainya begitu besar buat murid. Dia beritahu duit tu dia kumpul hasil jual lukisan-lukisannya.

"Farhana merupakan murid yang berbakat melukis. Nak kata dia daripada keluarga susah pun tidak juga, tapi dia pandai jual lukisan-lukisannya," ujar anak jati Raub itu.

Lukisan yang dihasilkan Farhana.

 

Kata Cikgu Aziz lagi, karya murid tersebut turut menyertai pameran seni di sekolah.

"Bagi usia sebaya Farhana, lukisan dia memang cantik dan kemas. Tapi tak sangka dia boleh buat duit dengan menjual lukisan-lukisannya.

"Dia pernah beritahu setiap lukisannya dijual antara RM1 dan RM2. Jadi, bayangkanlah kalau hadiah RM50 tu, berapa banyak lukisan dia kena jual," katanya sambil menyifatkan Farhana seorang yang rajin dan lebih matang daripada usianya.

Cikgu Aziz mengakui sebak dan terharu dengan pemberian Farhana, tetapi menegaskan sumbangannya sebagai pendidik tidak mengharapkan balasan berupa hadiah.

"Wang RM50 itu saya masukkan ke dalam tabung kelas yang akan digunakan untuk aktviti atau acara tertentu seperti jamuan akhir tahun, semua murid dapat merasainya.

"Bukan wang ringgit sebagai tanda penghargaan. Ucapan Selamat Hari Guru sudah memadai selain melihat mereka berjaya. Apapun, terima kasih Farhana," katanya.