Budaya membawa bekal ke sekolah bukan hanya digalakkan kepada murid, guru-guru pun tidak tidak terkecuali. Pasti, ada sahaja menu menarik yang dibawa guru ke sekolahkan.

Sepertimana yang dikongsi Guru Bahasa Melayu, SK Kenering, Gerik Perak, Cikgu  Ahmad Safarman Dollah ini.

Ikuti perkongsian Cikgu Safarman.

Jika nak dikenang kenangan masa sekolah dibuka, inilah yang paling menggembirakan hati.

Kenangan bawa bekal ke sekolah, itu yang istimewanya...

Setiap hari ada sahaja menu yang dibawa dari rumah dan dinikmati bersama rakan guru di bilik guru.

Bunyi sudu, pinggan, dan air yang sedang dijerang adalah satu kebiasaan dan memeriahkan pagi sekali gus menaikkan semangat pada hari tersebut.

Guru-guru membawa makanan sedikit seorang.

Mereka akan kumpul di atas meja. Menu paling berat selalunya nasi berlauk dan nasi lemak.

Menu paling ringkas kebiasaannya hanyalah nasi lauk ikan masin serta sambal tempoyak.

Kebanyakan menu adalah makanan kampung dan masakan orang Perak.

Makanan ini akan dimasak di rumah lalu dibawa ke sekolah. Di sekolah guru hanya memasak nasi sahaja.

Maklum sahaja, bilik guru tidak ada kemudahan seperti dapur. Yang ada hanyalah periuk dan peti ais kecil. Itu pun ehsan guru-guru itu sendiri.

“Mujurlah di bilik guru ramai cikgu perempuan yang ringan tulang, memahami dan sangat rajin serta teruja setiap kali ada jamuan. Kekadang lauk sahaja hingga tujuh hingga lapan jenis. Memang mewah sangat-sangat.”

Yang pastinya menu ini mesti ada sayur dan ulam.

Kebiasaan sayur yang menjadi pilihan ialah salom, ulam raja, timun, dan pucuk jeneris, pucuk paku. Ulam pula ialah petai, terung dan jering bersama sambal ikan. Memang makanan ala-ala kampung dan sihat.

Menu istimewa steamboat, oden, kek, mi bandung, roti canai, murtabak maggi, roti jala atau nasi kerabu.

“Alhamdulillah, kami makan apa sahaja. Bagi guru-guru yang sedang berdiet dan inginkan tubuh bak ‘pinggang kerengga’ mereka memilih menu yang sihat sahaja tetapi bagi cikgu yang memang ‘hantu makan’ mereka melantak apa sahaja yang ada di depan mata.

“Bagi guru yang sedang mengandung mereka sangat beruntung kerana tidak perlu bersusah payah turun dan naik tangga untuk ke kantin.”

Kadang-kadang kami mengadakan jamuan semata-mata untuk meraikan guru yang berpindah atau bertukar masuk ke sekolah. Memang, memoir ini sentiasa menjadi detik indah dan dikenang selalu.

Duit sama-sama kami kongsi atau ada cikgu yang berhajat untuk ‘menaja’  dan bersedekah makanan pada hari tersebut.

Budaya makan ini semakin diamalkan apatah lagi kita guru-guru tidak dapat makan di kantin kerana menyahut seruan KPM untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Hanya mampu membungkus sahaja dan dibawa masuk ke bilik guru. Semasa PKPB inilah kami mengambil keputusan untuk membawa bekal sendiri biar pun ringkas sahaja tetapi asalkan ada untuk mengalas perut.

Perkara ini ternyata dapat mengeratkan hubungan antara guru dan kakitangan. Mereka boleh berkongsi pendapat, bercerita tentang anak-anak murid serta menu yang akan dicadang pada keesokan hari.

Budaya ini ternyata mendapat sokongan daripada guru besar dan penolong kanan di sekolah lantaran menyedari amalan berjimat cermat harus diamalkan walau di mana sahaja berada.

Guru-guru dapat makan dengan sepuas-puasnya. Kekadang ada lebih. Cikgu-cikgu boleh bawa balik ke rumah.

Memang banyak sangat kelebihan membawa bekal ke sekolah. Guru-guru ternyata menjadi contoh kepada murid-murid dengan membawa bekal dan memilih makanan yang sihat.

Selain itu, mengelakkan guru tergesa-gesa makan lantaran jadual kelas yang terlalu padat dan terikat dengan kerja-kerja lain.

Hal makan mereka tidak kisah. Jika tidak ada kelas, mereka boleh menikmati hidangan di atas meja pada bila-bila masa sahaja sampai balik. Semoga budaya membawa bekal ke sekolah dijadikan amalan sepanjang masa.