Bahagian Akhir

TANGISAN Makcik Timah semakin kuat. Dia menangis sekuat-kuatnya. Saya juga semakin panik. Terfikir juga saya pada ketika itu untuk melarikan diri sahaja.

Tetapi mengenangkan Makcik Timah dan Ayu, saya batalkan saja niat saya kerana saya tahu semua ini adalah mainan syaitan sahaja.

Lagipun syaitan ini kadang-kadang mengganggu manusia berdasarkan apa kelemahan manusia tersebut. Contohnya kalau manusia takut pada hantu, maka syaitan akan menjelmakan dirinya dalam bentuk yang menakutkan.

Kalau manusia itu kuat imannya, maka syaitan tidak akan menjelmakan dirinya dalam bentuk hantu tetapi melainkan dengan cara menimbulkan rasa riak dan sombong seseorang di dalam hatinya.

Kalau syaitan wujud dalam bentuk hantu, mungkin orang kuat imannya tidak akan takut melihat hantu tersebut.

Juga kalau ada seseorang yang suka berdendam, maka syaitan akan menghasut orang tersebut untuk tetap menabur benci dan dendam pada sesiapa yang dia benci.

Jadi, ini adalah antara bentuk tipu daya syaitan yang kita perlu untuk fahami dengan lebih mendalam.

Bayangan perempuan tadi semakin mendekati saya dan Makcik Timah dari arah belakang. Rasanya seperti terlalu dekat di belakang kami.

Bunyi ketawa seakan benar-benar terdengar dengan jelas di telinga kami. Raungan tangisan Makcik Timah juga sangat merimaskan saya.

Apabila keadaan semakin tidak terkawal, saya mula melaungkan azan sekuat yang mungkin. Mungkin itu ikhtiar yang sempat saya fikirkan pada masa tersebut. Lagi pula dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menjelaskan;

“Idza nuudiya lis solaatihi adbarasy syaitaanu walahu dhurothun hatta laa yas ma’at ta’dziina.”

“Apabila panggilan shalat (azan) dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil kentut hingga dia tidak mendengar azan lagi.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Menurut Syeikh Majdi Abdul Wahab Al Ahmad dalam Syarah Hisnul Muslim;

“Kalimat adbarasy syaitaan menggambarkan keadaan syaitan ketika ia lari begitu mendengar azan.”

“Sebab ia menganggap azan sebagai sesuatu yang sangat besar dan menakutkan. Hingga ia terkentut-kentut. Itulah yang berlaku. Ketakutan dan ketegangan membuat sendi jadi kendur sehingga seseorang yang takut ia tidak boleh menguasai dirinya. Saluran seni dan najis menjadi terbuka, hingga boleh kencing atau terkentut. Syaitan mengalami terkentut ini. “

Menurut Syeikh Majdi Abdul Wahab Al Ahmad juga;

“Syaitan lari mendengar suara azan kerana azan mengandungi kalimat tauhid dan syiar-syiar Islam. Syaitan juga putus asa dalam menggoda seseorang apabila terdengar pernyataan tauhid.”

Semasa melaungkan azan, saya mula merasakan yang jiwa saya semakin kuat. Malah lebih tenang dari sebelumnya.

Bahkan saya dapat merasakan bahawa Allah sangat dekat dengan saya pada ketika itu. Kerana saya tahu Allah tidak pernah mempersia-siakan hambaNya dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Pada mulanya Makcik Timah masih lagi menangis. Raungannya juga kuat. Tapi lama kelamaan tangisan Makcik Timah mula berkurangan dan akhirnya saya hanya mendengar esak tangisan Makcik Timah sahaja.

Selama saya melaungkan azan saya dapat rasakan seolah-olah saya dan Makcik Timah berada di suatu batasan yang tidak dapat dicapai oleh syaitan tadi dan sesiapapun.

Sepertinya kami dikelilingi oleh air yang jernih yang berbentuk seperti dinding yang kukuh dan utuh melindungi kami.

Saya dapat melihat dengan jelas bagaimana pada ketika itu suasana rumah Makcik Timah sangat terang seperti di siang hari.

Seolah-olah kami sedang berada pada waktu tengah hari yang terik dan bahkan saya dapat melihat seluruh isi rumah Makcik Timah.

Sehinggakan kedudukan Ayu juga jelas pada pandangan mata saya. Ayu pada ketika itu sedang berada di dalam almari di bilik arwah neneknya.

Cuma di belakang Ayu pada ketika itu kelihatan seperti seorang perempuan tua dengan wajah yang menyeramkan sedang mencekik di bahagian hadapan leher Ayu dengan kuku kirinya yang hitam, panjang dan tajam.

Mungkin sebab itulah pada kali pertama saya melihat Ayu, saya sempat melihat Makcik Timah sedang mengelap bekas darah yang mula mengering di leher Ayu seperti seolah-olah akibat tusukan benda tajam.

Saya juga dapat melihat yang tangan kanan perempuan tua tersebut sedang memegang keris yang sama persisnya dengan keris yang saya ambil dari dalam almari arwah nenek Ayu sebelumnya.

Keris itu lalu ditusukkan ke belakang tengkuk Ayu sehingga keris tersebut melekat dengan kukuh.

Pada mulanya saya juga hairan kenapa syaitan yang mencekik leher Ayu itu tidak lari apabila mendengar laungan azan saya. Tetapi akhirnya saya tahu bahawa ini adalah petunjuk Allah untuk saya.

Mungkin Allah ingin memberitahu kepada saya bahawa syaitan itulah yang mengganggu Ayu selama ini sehinggakan Ayu terpaksa menderita penyakit yang susah untuk di sembuh.

Mungkin saja. Saya juga tidak tahu. Itu cuma kesimpulan pendapat dari saya sahaja.

Laungan azan

Selepas laungan azan selesai saya kumandangkan, ruang tamu pada rumah Makcik Timah kembali seperti biasa. Gelap dan sunyi.

Bunyi tapak kaki, bayangan perempuan tua yang menakutkan serta bunyi ketawa dari arah yang tidak kami ketahui juga sudah hilang.

Semuanya hening dan sepi. Lalu saya memandang pada wajah Makcik Timah yang setia di sisi saya. Makcik Timah mengesatkan air matanya sambil sesekali memandang ke arah saya dan di sekeliling ruang tamu.

“Makcik, makcik ok dah ke?”

“Alhamdulillah cikgu. Makcik rasa lebih selesa sekarang.”

“Alhamdulillah kalau macam tu makcik.”

“Sekarang apa rancangan kita cikgu?”

“Kita kena cari Ayu dulu sampai dapat Makcik. Kita selamatkan Ayu dulu. Lepas tu kita cuba rawat Ayu dengan bacaan al-Quran.”

“Baik cikgu.”

“Kita pergi ke bilik arwah nenek Ayu. Mungkin Ayu ada di sana.”

“Mungkin juga cikgu. Dalam almari.”

“Mana makcik tau?”

“Entahlah cikgu. Tadi masa cikgu azan saya seolah-olah dapat melihat Ayu seperti terperangkap di dalam almari baju arwah neneknya. Tapi cikgu...”

“Tapi apa makcik?”

“Macam ada perempuan tua yang mencekik leher Ayu. Saya takut cikgu.”

Saya terdiam. Mungkin bayangan yang sempat saya lihat tadi juga dilihat oleh Makcik Timah. Sungguh besar kekuasaan Allah kepada kami pada ketika itu.

Cuma kadang-kadang kita sebagai manusia tidak pernah mensyukuri pemberian dari Allah dari arah yang tidak disangka-sangka. Firman Allah;

“Waman yattaqillaha yaj’allahu makhrajan. Wa yarzuqhu min haithu la yahtasib. Waman yatawakkal Allahi fahuwa hasbuh. Innallaha balighu amrihi. Qad ja ’alahullahu likulli syaiin qadra.”

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah At Talaq: 2-3)

“Semoga apa yang makcik lihat tadi adalah petunjuk dari Allah. Sebab itu saya minta makcik untuk percaya akan keajaiban doa. Apa lagi doa seorang ibu untuk anaknya makcik.”

“Benar cikgu. Baru sekarang saya faham. Semua ini adalah kekuasaan dari Allah.”

“Alhamdulillah. Ok makcik. Sekarang kita akan pergi ke bilik arwah nenek Ayu. Makcik ikut saya dari belakang. Makcik pegang tali beg saya ni. Jangan lepaskan walau apa-apa yang berlaku. Pandangan kita tak jelas sangat ni sebab blackout lagi.”

“Kalau terlepas macam mana cikgu?”

“Kalau terlepas saya lari keluar rumah. Makcik tinggal dalam bilik arwah nenek Ayu nanti sorang-sorang.”

“Ba...Baik cikgu..”

“Ok. Sekarang kita akan masuk ke sana.”

Pada ketika itu saya baru teringat untuk mengeluarkan hp saya. Sekurang-kurangnya ada juga untuk menyuluh jalan dan menerangi ruangan walaupun cahayanya tidaklah seterang mana.

Kenapalah saya tidak terfikir dari tadi untuk mengeluarkan hp saya. Itulah antara kelemahan manusia dan saya akui itulah kelemahan saya. mudah untuk lupa.

Sebelum melangkah, saya meminta Makcik Timah untuk melangkah dengan kaki kanan dahulu dan membaca Surah Al-Fatihah, Kursi dan empat Qul sebagai usaha dan perlindungan dari gangguan syaitan-syaitan yang cuba untuk menganggu.

Selepas selesai membaca ayat-ayat al-Quran tersebut, saya kemudiannya membaca doa;

“Bismillahillazi la yadurru ma’asmihi syaiun fil ardi wa la fis samaaie, wa huwas sami’ul ‘alim.“

“Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa:

“Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh tiga kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya.”

(HR. Abu Daud, 4/323; At Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad; Tirmizi: Hasan)

Selepas itu kami mula melangkah perlahan-lahan. Dari tempat kami berdiri kami berjalan hingga ke penghujung ruang tamu dan kami berhenti di situ.

Dan di situlah adalah pertembungan di antara ruang tamu dan lorong kecil yang menuju ke ketiga-tiga bilik.

Saya dan Makcik Timah cuba untuk menjenguk dahulu ke dalam. Dari sinar cahaya telefon saya tidaklah dapat untuk menerangi lorong tersebut melainkan cuma mampu untuk memberi sedikit cahaya yang samar-samar sahaja.

Fikiran saya masih terbayang-bayang akan wajah perempuan tua yang menakutkan yang memerhati saya dari bilik arwah nenek Ayu dan juga sesosok tubuh kecil seperti Ayu dengan rambut yang terurai ke hadapan.

Lorong tersebut tidaklah terlalu panjang. Cuma sepanjang ukuran tiga buah bilik bersaiz sederhana sahaja.

Tetapi entah kenapa saya perhatikan lorong tersebut seperti sangat panjang sehinggakan saya tidak dapat melihat penghujung pada lorong tersebut.

Saya juga tidak tahu apa yang akan menunggu kami semasa kami melangkah ke sana nanti.

Sekali imbas apabila kami perhatikan pada lorong tersebut seperti ada perempuan sedang menunggu kami di sana sambil melambai-lambai ke arah kami.

Lalu cepat-cepat saya beristighfar sambil menggosok-gosok muka saya beberapa kali. Saya juga meminta kepada Makcik Timah untuk tidak terus menatap ke hadapan dan sentiasa beristighfar dan membaca apa sahaja ayat al-Quran yang dia hafal.

Selepas itu saya teruskan juga untuk melangkah ke hadapan. Kali ni saya bertekad. Apa sahaja yang ada di hadapan saya, saya akan hadapi sahaja.

Tetapi memang tidaklah semudah itu. Saya tetap takut dan bimbang untuk berjumpa dengan sesuatu yang menyeramkan.

Apabila kami mula masuk ke lorong tersebut, sekali lagi kami rasakan seperti sedang masuk ke sebuah alam yang sangat berlainan.

Seperti ada banyak mata-mata yang sedang memerhati kami walaupun tiada satu pun yang nampak pada pandangan mata.

Begitu juga dengan bunyi rintih tangis manusia, bunyi ketawa, bunyi dengusan kasar dan juga bunyi alunan muzik dari gamelan dan nobat yang sangat mengasyikkan.

Entah kenapa bunyi dan suasana pada ketika tersebut seolah-olah seperti ada majlis keramaian yang sedang diraikan oleh ribuan manusia.

Melangkah ke bilik Ayu

Saya memandang ke arah Makcik Timah dan memberi isyarat kepadanya untuk terus beristighfar dan membaca sebanyak mungkin ayat-ayat al-Quran.

Sekarang rasanya kami telah berada pada suatu tempat yang tidak sepatutnya untuk kami masuk.

Semasa sampai ke bilik Ayu, saya memerhati di bahagian dalam. Tiada apa yang menarik dan melainkan katil Ayu yang patah kakinya. Tetapi perasaan seram dan rasa diperhatikan tetap muncul dari bilik Ayu tersebut.

Begitu juga apabila kami teruskan langkah kami dan menuju ke bilik yang kedua. Langkah kaki kami terasa semakin berat.

Rasa takut semakin menguasai diri. Jiwa saya mula tidak tenteram apabila berada di pertengahan lorong ini.

Masakan tidak. Bagaimana untuk kami melarikan diri nanti kalau tiba-tiba muncul perempuan tua dari arah ruang tamu atau dari bilik Ayu nanti.

Kalau kami lari ke bilik Makcik Timah atau ke bilik arwah nenek Ayu, mungkin petang hari sebelumnyalah merupakan kali terakhir orang melihat saya.

Semasa berada di lorong di hadapan bilik Makcik Timah, kami perhatikan yang pintunya terbuka dengan seluas-luasnya. Kami cuma berdiri di muka pintu sahaja sambil mata mula mencari jejak atau bayangan Ayu kalau-kalau ada.

Di dalam bilik Makcik Timah agak ‘simple’. Tiada almari dan katil. Cuma tilam yang digulung di tepi lantai bawah tingkap dan juga baju-baju yang disusun di atas meja setinggi betis.

Juga sedikit ruang di atas lantai untuk meletakkan sejadah dan telekung yang berlipat kemas.

Selepas itu kami teruskan langkah kami ke bilik yang terakhir. Berdasarkan naluri saya dan Makcik Timah, juga apa yang telah kami alami tadi, kami yakin bahawa Ayu ada di bilik yang terakhir ini iaitu di bilik arwah neneknya.

Cuma untuk melangkah ke pintu bilik arwah nenek Ayu, saya sepertinya belum mempunyai kekuatan. Saya masih risau dan takut. Sebab yang kami hadapi ini bukanlah manusia tetapi syaitan.

Debaran juga semakin terasa kencang. Peluh pula semakin membasahi kolar baju saya.

Genggaman tangan Makcik Timah juga semakin terasa apabila beg sandang saya digenggam seutuh yang mungkin sehinggakan bahu saya terasa sedikit sakit dan berat.

Dan langkah kami akhirnya terhenti apabila kami mula sampai di pintu masuk bilik arwah nenek Ayu. Saya sempat terdengar seperti bunyi orang ketawa dan suara mengilai dari arah dalam.

Kemudian saya meletakkan telinga saya serapat yang mungkin ke pintu bilik arwah nenek Ayu. Begitu juga Makcik Timah.

Kami berdua berusaha dengan tekun untuk mendengar bunyi apakah yang sebenarnya wujud dari dalam bilik arwah tadi.

“Hehehe...Kita punyai tetamu di luar. Biarkan mereka berdua masuk ke dalam. Kita raikan kedatangan mereka. Biar mereka melihat sendiri bagaimana perempuan ini kita jadikan sebagai tuan kita yang baru...”

Saya terkejut. Kata-kata tersebut boleh terdengar dengan jelas oleh saya. Sedangkan saya cuma berniat untuk mendengar kalau-kalau ada suara dari Ayu. Lalu pandangan saya beralih arah pada Makcik Timah.

Saya perhatikan wajah sugul dan sedih Makcik Timah yang sedang mengesatkan air matanya.

“Kenapa makcik?”

“Saya dengar suara orang bercakap di dalam cikgu. Suara tu mengugut untuk membunuh Ayu. Saya takut cikgu.”

Saya merasa hairan. Apa yang didengar oleh Makcik Timah tidak sama dengan apa yang saya dengar. Cuma saya tidak mahu menceritakan kepada Makcik Timah. Risau kalau-kalau Makcik Timah semakin bingung.

“Tak apa makcik. Kita sudah sejauh ini. Lepas ni saya akan buka pintu bilik ni dan kita akan masuk. Apa pun yang terjadi kita kena selamatkan Ayu dahulu dan serahkan semuanya kepada Allah.”

“Baik cikgu..”

“Kita masuk sekarang..”

Kemudian tangan kanan saya memegang pintu bilik arwah nenek Ayu yang tiba-tiba sahaja terasa dingin. Lalu saya memegang tombol pintu yang berkarat dan cuba untuk menolak seluas yang mungkin. Kemudian saya lafazkan doa;

“Bismillahillahdzi…”

Dengan tidak semena-mena tiba-tiba pintu bilik tersebut terbuka dengan sendirinya. Bacaan doa saya tadi juga tiba-tiba terhenti.

Mungkin kerana terkejut saya tidak dapat meneruskan doa saya tadi. Saya kembali beristighfar sebanyak mungkin.

Makcik Timah semakin takut. Begitu juga saya. Jiwa terasa sangat resah. Kami bingung sebenarnya dengan apa yang berlaku di hadapan mata kami.

Pada ketika pintu biliK tersebut terbuka dengan sendirinya, tiba-tiba keluar angin yang berhawa panas dan berbau busuk menerjah masuk ke dalam lubang hidung kami berdua. Baunya sangat meloyakan anak tekak kami.

Kami menutup hidung dengan kedua belah tapak tangan semampu yang boleh agar bau tersebut tidak terus menerus mengkhayalkan kami.

Saya merus memandang ke arah Makcik Timah lalu memberi isyarat untuk masuk ke dalam.

Selepas itu kami berdua masuk perlahan-lahan sambil mata memandang ke arah sekeliling.

Tiba-tiba mata kami tertumpu pada almari yang saya lihat semasa mengumandangkan azan tadi. Iaitu almari tempat saya mengambil keris pusaka pada awal-awal tadi.

“Dum...Dum...Dum...”

Tiba-tiba kami terdengar bunyi dari arah dalam almari tersebut. Saya dan Makcik Timah saling berpandangan sesama sendiri. Dan bunyi itu berterusan sehingga dua tiga kali.

Saya mengambil keputusan untuk melangkah lebih dekat lagi ke arah almari tersebut untuk memastikan bahawa bunyi tersebut benar-benar berasal dari almari tadi.

Ketika sedang melangkah, tiba-tiba..

“Dum...”

Saya dan Makcik Timah terkejut dan melompat kerana secara tiba-tiba pintu bilik arwah nenek Ayu tiba-tiba tertutup dengan sendirinya.

Oleh kerana terlalu terkejut hp pada genggaman tangan saya terjatuh ke lantai lalu terpadam.

Saya sempat memandang ke arah pintu yang tertutup. Begitu juga Makcik Timah. Manalah tau kalau-kalau perempuan tua itu sedang tercegat di situ.

Tetapi pada bayangan anak mata saya, saya sempat terpandang seperti wujud suatu bentuk tubuh badan seorang perempuan tetapi saya tidak ambil peduli.

Untuk seketika saya tidak dapat melihat apa-yang ada di sekeliling. Wajah Makcik Timah juga tidak kelihatan walaupun Makcik Timah cuma berada di sebelah saya. Cuma kedengaran tangisan esak Makcik Timah sahaja.

Ketakutan

Dalam ketakutan yang mencengkam saya cuba tunduk untuk meraba-raba pada permukaan lantai untuk mencari hp saya. Saya berusaha untuk mencarinya secepat mungkin.

Supaya saya boleh kembali menyuluh kembali apa yang ada di bilik ini.

Ketika saya sedang mencari hp saya tiba-tiba wajah saya seperti diraba oleh sesuatu. Seperti tapak tangan manusia.

Saya dapat merasakan kesejukan pada tapak tangan tersebut. Saya terkejut lalu memandang ke arah Makcik Timah.

“Ini sayalah cikgu. Kenapa cikgu tengak saya macam tu. Saya takut cikgu.”

Rasa marah sedikit timbul dalam diri saya. Kenapa Makcik Timah sibuk untuk meraba wajah saya sedangkan pada ketika itu saya juga sedang sibuk mencari hp saya yang terjatuh. Apa lagi dalam keadaan genting seperti ini.

“Kenapa makcik pegang muka saya. Kenapa tak tolong saya cari hp saya?”

“Tak adapun saya pegang muka cikgu. Kedua tangan saya ni dari tak lepas-lepas dari memegang beg cikgu. Cikgu tu yang pegang muka saya tadi. Dahlah sejuk semacam tangan cikgu. Dah tu macam pelik je tengok muka saya. Mana tak saya takut cikgu.”

“Sapa yang pegang muka makcik?”

“Cikgulah.”

“Mana ada saya yang pegang. Makcik yang pegang muka saya tadi.”

“Tak ada cikgu. Bukan saya..”

“Hehehehe...Saya main-main saja makcik. Saya pegang supaya makcik tak berkhayal. Sebab tu saya pegang muka makcik.”

Allahu Rabbi. Betapa takutnya saya pada ketika itu. Saya cuba untuk berhelah supaya Makcik Timah tidak perasan bahawa ada seseorang yang sedang menemani kami.

Saya merasakan yang kami tidak dapat untuk terus-menerus seperti ini. Makin lama kami di sini boleh gila kami dibuatnya.

Akhirnya saya dapat menjumpai hp saya yang terletak tidak jauh dari kaki Makcik Timah.

Hp saya saya ambil dan saya hidupkan kembali dan Alhamdulillah hp saya masih dapat digunakan lagi dan adalah sedikit cahaya untuk menyinari sekeliling bilik.

Kemudian saya berdiri dan meminta Makcik Timah untuk terus berada di belakang saya. Saya mengambil keputusan untuk pergi ke arah almari tersebut dan membuka pintunya.

Sesampainya di hadapan almari suara ketawa kembali bergema. Cuma kali ini lebih kuat dari tadi.

Lalu saya baca surah Al-Fatihah dan membuka pintu almari di bahagian kanan dengan tangan kanan saya. Dan pada ketika itu Makcik Timah sedang bersembunyi di belakang saya sambil memegang tali beg sandang saya erat-erat.

Apabila pintu almari sebelah kanan saya buka, ternyata tidak ada apa-apa di situ. Saya menjadi sedikit hairan.

Selepas itu fikiran saya tertumpu pada pintu almari di sebelah kiri pula. Mungkin di bahagian inilah Ayu di sembunyi oleh syaitan tadi.

Lalu dengan lafaz bismillah, saya membuka pintu almari di bahagian kiri dengan berhati-hati. Saya tidak mahu peristiwa ditimpa segulung tikar mengkuang tua kembali berulang.

Penumbuk sulung dari genggaman tangan saya juga telah sedia.

Takut-takut syaitan berbentuk pocong kembali muncul dan menjatuhkan dirinya ke atas saya. Senang saya hadiahkan kepadanya penumbuk sulung saya tadi. Tetapi, apabila pintu almari sebelah kiri dibuka, tetap tiada apa-apa yang muncul.

Lalu saya mengucapkan syukur kepada Allah sambil melepaskan nafas kelegaan yang teramat.

Apabila merasakan yang keadaan adalah selamat, saya meminta Makcik Timah untuk memerhati apa yang ada di dalam almari tersebut. Sebagai untuk meyakinkan Makcik Timah sahaja bahawa Ayu tidak ada di situ.

Makcik Timah lalu melangkah selangkah ke hadapan dengan berhati-hati dan memerhati apa yang ada di dalam almari tanpa melepaskan beg saya tadi.

Tiba-tiba saya merasakan sesuatu yang pelik berlaku. Saya rasakan yang badan saya sedang diraba pada bahagian perut. Saya terkejut lalu memandang ke arah Makcik Timah.

Makcik Timah pada ketika itu pula sedang memerhati almari dengan tekun sedangkan kedua belah tangannya masih lagi memegang beg saya dengan seerat yang mungkin. Dia tidak tahu apa yang sedang saya alami pada ketika itu.

Lagi pula mana mungkin Makcik Timah sedang meraba-raba perut saya. Saya menjadi gelisah. Kedua belah tangan yang meraba-raba perut saya semakin rancak bergerak seolah-olah sedang mencari-cari sesuatu.

Dan akhirnya kedua belah tangan itu berjaya mencari keris yang saya masukkan ke dalam baju saya tadi. Mungkin itulah yang kedua belah tangan tersebut cari.

Saya juga pada ketika itu baru perasan yang keris itu masih lagi di dalam baju saya dan belum saya keluarkan lagi.

Saya mula menggigil. Kedua belah tangan tadi juga mula rakus untuk mengambil dan mengeluarkan keris tersebut dari baju saya dengan apa cara sekalipun.

“Makcik...Makcik tolong saya...”

“Kenapa Cikgu...?

“Tiba-tiba ada tangan nak ambil keris pusaka dalam baju saya ni.”

“Mana cikgu...? Ya Allah...”

Hp di tangan saya saya tujukan ke arah badan saya. Tiba-tiba saya dan Makcik Timah secara serentak memandang ke arah kedua belah tangan tersebut.

Kedua belah tangan tersebut berusaha untuk mengoyakkan baju saya. Tangan yang pucat kebiruan dan berlendir tersebut saya perhatikan dengan jelas.

Kukunya yang berwarna hitam legam tanpa cahaya. Panjang tetapi kelihatan tumpul.

Dalam keadaan genting seperti itu tiba-tiba muncul sesosok tubuh badan seorang perempuan dari arah belakang sambil kepalanya dihulur ke hadapan.

Lalu secara perlahan menoleh ke arah saya. Saya tidak dapat memerhatikan bagaimana wajahnya kerana rambutnya terurai ke hadapan.

Genggaman tumbukan sulung saya cuma ada pada nama. Saya tidak berani untuk menggunakannya pada saat-saat segenting ini.

Saya menjerit sambil melafazkan nama Allah. Saya juga tidak mampu untuk berlari kerana badan saya seperti ditahan oleh sesuatu.

Sedangkan Makcik Timah pula juga menjerit lalu berlari mengelilingi bilik arwah nenek Ayu dan akhirnya berlari masuk ke dalam almari tersebut dan menutupnya dari sebelah dalam.

Lalu terdengar bunyi suara Makcik Timah melafazkan zikir Asma ul husma sekuat-kuatnya.

Dalam keadaan terdesak seperti ini sempat juga saya terfikir apa yang Makcik Timah hendak lakukan sebenarnya. Lawak ada hairan pun ada. Semuanya sempat bermain di fikiran saya pada ketika itu.

Bisikan

Perempuan itu kemudiannya membisikkan sesuatu ke telinga saya dengan bahasa yang tidak saya fahami.

Cuma apa yang dapat saya faham sedikit melalui pendengaran saya ialah itu adalah mentera-mentara memuja syaitan yang kebiasaannya kami dengar dari mulut pesakit yang dirasuk oleh jin yang dihantar melalui sihir semasa merawat di Bangunan Martabat, Bintulu.

Kedua belah tangannya tidaklah serakus tadi. Cuma pada kali ini kedua belah tangannya mula mengenggam keris tersebut meskipun keris tersebut masih lagi di dalam baju saya.

“Kembalikan kehormatan aku ke atas keris ini. Keris ini bukan milik kamu tetapi milik keturunan penghuni rumah ini. Kamu tidak berhak atas segala sesuatu ke atas semua ini. Serahkan kepadaku dan kamu kembalilah dan jangan sesekali cuba untuk kembali lagi ke sini. Kerana kamu tidak tahu yang kamu sedang berhadapan dengan siapa sekarang. Hehehehehe...”

“Sesekali tidak. Aku tidak akan serahkan kepada kamu walau apa juga yang terjadi. Selagi keris ini tidak dimusnahkan maka keluarga ini tidak akan bahagia selamanya bahkan akan tersiksa jiwa mereka...”

“Percayalah. Hehehe...Aku tidak pernah berbohong bahkan aku sentiasa berkata benar. Aku keturunan menjaga mereka. Penjaga keris ini. Keris ini adalah tanda perjanjian aku dengan keluarga mereka. Sudah beberapa keturunan ini aku jaga.”

“Tidak. Aku tidak mahu.

“Kalau kau mau kau juga boleh memiliki keris ini. Lalu selepas itu kau pula akan memperhambakan diriku kepadamu. Seluruh jiwaku sebagai cagarannya. Dan apabila engkau menjadi tuan aku yang baru, maka segala ketaatan aku berkiblatkan kepadamu sahaja. Bahkan engkau juga boleh aku jadikan tuhan untuk disembah. Mudah bukan? Dan selepas itu apa saja kekuatan yang ada padaku akan kupersempahkan kepadamu sebagai balasan kerana memilih aku sebagai penjaga keturunan pada orang yang baru.”

“Astaghfirullah. Tidak. Sesekali aku tidak akan menuruti kata-kata syaitan. Keris ini aku akan musnahkan selepas ini supaya tiada lagi perjanjian kamu dengan pemilik keris ini. Juga dengan izin Allah nanti maka akan terputus segala apa jua bentuk perjanjian kamu dengan keluarga ini selama ini.”

“Jangan begitu. Kamu terimalah saja tawarannya. Bukankah engkau suka pada pujian, kekuatan, harga diri dan perkara yang mencarik adat? Aku boleh sediakan semuanya untuk kamu. Tinggal kamu membenarkan dua perkara saja. Iaitu mengaku bahawa syaitan itu lebih berkuasa dari Tuhan kamu dan juga meyakini bahawa akulah yang akan menjadi pelindung kamu. Itu saja. Mudah bukan?”

“Tidak, aku tetap tidak mahu. Hidup, mati dan kembali hidup semula juga tidak akan pernah untuk aku mengaku bahawa syaitan itu lebih berkuasa dari Allah. Apa lagi juga mengaku bahawa kamu adalah pelindung aku.”

“Kalau tidak mahu kamu terimalah ini.”

Dengan tidak semena-mena, perempuan yang berada di sebelah saya tadi mula mengalih kedua belah tangannya pada perut saya dan mula mencekik leher saya sekuat-kuatnya. Sakit mula menguasai. Pedih cekikan perempuan itu mula terasa.

Kemudian dengan tangan kanannya, perempuan tersebut cuba untuk menekan tengkuk saya sambil memulas ke arah hadapan sambil tangan kirinya pula menolak badan saya sekuat-kuatnya sehingga saya jatuh terlungkup ke hadapan.

Selepas itu sempat juga perempuan itu memijak-mijak belakang saya dengan kaki kirinya berulang kali sambil ketawa berdekah-dekah.

Dalam keadaan seperti itu saya tidak ada pilihan lain melainkan menyerah segalanya kepada Allah.

Kemudian saya mula membaca beberapa ayat al-Quran.

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas `Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakanNya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam. Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al A’raf: 54-56)

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat, di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta.”

Ayat ini saya bacakan berulang-ulang kali. Di dalam hati saya saya serahkan sepenuhnya kepada Allah. Saya ikat diri saya hanya pada Allah sahaja pada ketika itu kerana saya tahu Allah ada bersama saya.

Tidak lama selepas itu perempuan itu mula menjerit sambil menutup kedua belah telinganya. Kaki kirinya juga masih lagi memijak-mijak belakang saya walaupun tidaklah sekuat tadi.

Lalu dengan kekuatan yang ada, saya memeluk kakinya lalu cuba untuk menjatuhkan badannya dengan kekuatan yang saya ada.

Ketika saya sedang berusaha untuk menjatuhkan perempuan tersebut, tiba-tiba perempuan tersebut berhenti menjerit lalu memandang ke arah saya. Saya memandang ke arahnya dan dia juga memandang ke arah saya.

Kami tiba-tiba terdiam. Mungkin perempuan itu kembali hairan dengan apa yang sedang saya lakukan sebenarnya.

Apabila saya perasan yang dia sedang memandang saya, tiba-tiba saya berlakon yang saya tidak sedarkan diri lalu saya melepaskan kakinya secara perlahan-lahan sebelum saya kembali terbaring di atas lantai.

Selepas itu perempuan tadi kembali menjerit kesakitan walaupun saya tidak lagi membaca ayat-ayat al-Quran tadi.

Mungkin inilah kekuatan dari ayat al-Quran, doa dan tawakal kepada Allah. Cuma kita sahaja kadang-kadang tidak tahu betapa besarkan kekuatan-kekuatan al-Quran, doa dan tawakal ini sebenarnya.

Dan kemudian pada ketika itulah saya mengambil kesempatan untuk berdiri dan berusaha untuk menjatuhkan perempuan tadi dengan sekuat tenaga yang saya ada.

Saya berdiri semula dan di belakang badan perempuan itu. Lalu memulas lehernya dan berusaha menjatuhkan badannya ke lantai.

Sedangkan perempuan itu masih lagi menutup telinganya sambil menjerit-jerit dan tidak peduli dengan apa yang sedang saya lakukan pada ketika itu.

Peluang ini saya ambil sebaik-baiknya untuk menanggil-manggil nama Makcik Timah yang sedang bersembunyi di dalam almari.

Dan pada ketika itu jugalah rambut yang menutup wajahnya terurai ke tepi. Jadi saya boleh melihat wajahnya dengan jelas. Ternyata perempuan itu adalah Ayu. Cuma wajahnya sangat menakutkan. Seperti pucat tanpa darah.

“Makcik...Makcik Timah. Tolong saya. makcik...”

Tiada jawaban dari Makcik Timah. Sebenarnya saya benar-benar memerlukan bantuan Makcik Timah pada ketika itu untuk banyak perkara terutamanya untuk membantu saya menahan Ayu dan juga mendengar nanti apa sahaja punca gangguan keluarga mereka.

Berhadapan dengan Makcik Timah

Selepas itu saya mengambil keputusan untuk pergi ke almari untuk mencari Makcik Timah. Ayu yang masih lagi kesakitan saya tinggalkan sebetar di atas lantai.

Apabila saya berada di hadapan almari, almari tersebut saya buka dan saya lihat Makcik Timah sedang duduk bersila sambil menongkat tangannya di atas dagu.

“Makcik...Makcik Timah...Bangun Makcik...Makcik...”

Selepas itu saya terdiam. Saya terdengar bunyi dengusan dari arah Makcik Timah. semakin lama semakin kuat.

Saya berdoa kepada Allah agar Makcik Timah tindak kembali kerasukan dan menyerang saya. Saya sudah penat dan kekurangan tenaga.

“Makcik..Bangun makcik. Makcik Timah...”

Tetapi bunyi dengusan semakin kuat. Saya mula mengatur langkah saya. Sebagai persediaan untuk apa yang akan berlaku.

Selepas itu saya bacakan surah Kursi beberapa kali. Tetapi ternyata bacaan saya tidak memberi sebarang kesan kepada Makcik Timah.

Lalu saya ulangi bacaan saya berulang kali sedangkan dengusan Makcik Timah semakin kuat. Hampir saja saya putus asa dibuatnya.

Cuma kali ini saya pasrah. Kalau terpaksa menghadapi dua orang kembali sekaligus maka saya terpaksa hadapi juga.

Selepas itu saya bacakan lagi surah Kursi dan kali ini dengusan Makcik Timah juga semakin kuat. Tetapi selepas itu saya perasan akan satu perkara.

Ada satu perkara yang pelik sedang berlaku. Saya hentikan bacaan saya lalu mendekatkan diri kepada Makcik Timah.

Saya berusaha untuk mendengar dengusan Makcik Timah tadi. Dan selepas itu;

“Astaghfirullahal azhim. Makcik...Makcik Timah. Kenapa makcik tidur...?”

Patutlah bacaan al-Quran saya tidak berkesan. Ternyata Makcik Timah sedang asyik tidur sambil berdengkur. Dengkur Makcik Timahlah yang membuatkan saya keliru.

Sama saya bunyinya. Bunyi dengusan orang kerasukan dan juga bunyi dengkuran maut Makcik Timah dan saya tertipu dengan dengusan Makcik Timah tadi.

“Makcik...Makcik...Bangun...”

“Astaghfirullahal azhim. cikgu. Saya kenapa cikgu? Kenapa cikgu tersenyum?”

“Kenapa makcik tidur? Boleh pulak makcik tertidur dalam ni. Lagi-lagi masa-masa genting macam ni.”

“Ntahlah cikgu. Saya tak tahu kenapa. Memang saya takut mula-mula tadi. Lepas tu entah kenapa saya boleh tertidur. Cikgu, takkanlah saya sanggup tinggalkan cikgu dan Ayu macam tu saja sedangkan saya sedap-sedap tidur di dalam ni.”

“Saya paham makcik. Takdalah saya nak marah. Cuma pelik dan lawak saja tengok makcik boleh tertidur di dalam almari. Berdengkur pulak tu.”

“Mana Ayu cikgu? Saya dengar macam suara Ayu tengah menjerit.”

“Ayu ada ni makcik. Terbaring atas lantai. Makcik keluar cepat. Tolong saya tahan tangan Ayu. Nanti dia mengamuk balik.”

“Baik cikgu.”

Selepas itu saya dan Makcik Timah berjalan menuju ke arah Ayu. Cuma tiga empat langkah saja.

Kemudian saya minta Makcik Timah untuk mengambil selimut dan menyelimuti Ayu dan meminta Makcik Timah untuk memegang kedua belah tangan Ayu.

Permintaan saya Makcik Timah patuhi. Kesemuanya dilakukan oleh Makcik Timah satu-persatu. Selepas itu saya minta Makcik Timah duduk di sebelah kiri Ayu sedangkan saya duduk di sebelah kanan.

Selepas itu saya mulakan dengan membaca surah Kursi, Surah An Nisa ayat 56 dan Surah Al Kahfi ayat 29.

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (Surah Al Baqarah: 255)

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah An Nisa: 56)

“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir”. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek.”

“Sudah. Hentikan bacaan kamu. Aku sudah tidak tahan. Aku sudah sakit. Badan aku mula kepanasan yang tidak terhingga. Cukup. Cukuplah. Aku berjanji akan keluar. Hampir-hampir saja mencair kepanasan sekarang.”

“Aku tidak akan hentikan bacaan aku. Selagi kamu tidak keluar dari badan perempuan ini.”

“Aku bukan tidak mahu keluar. Tetapi aku ada perjanjian dan amanah ini aku perlu jaga sehingga perjanjian ini akan berakhir.”

“Bila perjanjian ini akan berakhir?”

“Pada ketika tiada lagi dari keturunan mereka ini yang masih hidup di dunia.”

“Jadi kalau begitu kamu tidak akan keluarlah maksudnya.”

“Ya. Begitulah kalau menurut kesan dari perjanjian kami. Mana mungkin keturunan mereka ini terputus di sini. Pada perempuan ini. Itu tidak mungkin. Kalau perempuan ini mati sekalipun di tangan aku maka selepas itu aku akan mendatangi pula saudaranya, adik beradiknya, sepupunya dan siapa saja dari keturunan mereka. Dan aku akan memperhambakan diriku kepada mereka. Lalu mereka akan menjadi tuan aku yang baru dan aku pula akan menghambakan diriku kepada mereka.”

“Kamu yang menghambakan diri kepada mereka atau mereka yang akan memperhambakan diri mereka kepadamu?”

“Sebenarnya itulah yang ramai manusia tidak tahu. Keluarga yang mempunyai saka ini beranggapan yang mereka memiliki suatu khazanah keluarga yang tinggi nilainya dan diwariskan pada keturunan-keturunan tertentu sahaja. Sedangkan kamu sendiri tahukan betapa azabnya keluarga yang memiliki saka ini. Dan keluarga ini pasti akan mewariskan masalah yang tidak akan pernah putus-putus. Juga masalah yang boleh menghancur beraikan keluarga mereka.”

“Sudah lama kamu bersama keturunan mereka ini?”

“Kalau menurut keadaan keturunan mereka ini, ya memang sudah lama. Bersilih ganti juga keturunan mereka yang aku perbodohkan selama ini. Rasanya perempuan ini keturunan yang keenam. Cuma kalau menurut masa di dunia kami cuma mungkin beberapa tahun sahaja. Jadi untuk tinggal lebih lama bersama mereka rasanya aku tiada masalah. Aku juga masih remaja. Akan menganjak dewasa beberapa bulan lagi. Atau dua-tiga puluh tahun lagi kalau mengikut masa kamu di dunia ini.”

Tugas jin saka

“Jadi, apa tugas kamu pada ketika tinggal bersama keluarga itu?”

“Tugas aku mudah. Cuma menyesatkan mereka, memporak perandakan keluarga mereka, menimbulkan kecurigaan, kebencian dan dendam sesama mereka adik beradik dan keluarga. Sebab itulah kalau kamu lihat bahawa keluarga yang memiliki saka ini sebenarnya mewarisi masalah yang tidak akan pernah putus. Dan kamu boleh melihat sendirikan betapa ramai keluarga yang memiliki saka ini hidup mereka penuh dengan penderitaan.”

“Aku bukan membenarkan apa yang kamu katakan tetapi apa yang aku lihat bahawa begitulah keadaannya.”

“Apa betulkan yang aku katakan padamu? Kamu setujukan dengan pendapat aku?”

“Tidak. Kamu berbohong. Syaitan itu suka berdusta. Adapun persamaan pendapat kita bukan bererti aku membenarkan apa yang kau katakan. Bagi aku kesemua masalah ini timbul apabila mereka melupakan Allah, tidak melaksanakan perintah Allah. Juga sering melibatkan diri dengan perkara khurafat, syirik dan perkara yang lagha. Maka atas sebab itulah mengapa engkau boleh datang kepada mereka dan mendakwa yang engkau adalah dari keturunan saka.”

“Jadi, apa maumu sekarang? Beritahu aku. Agar kita boleh mencapai kata sepakat.”

“Tidak. Aku tidak perlu kesepakatan apa-apa darimu.”

“Lalu apa maumu?”

“Begini. Kamu keluarlah dan jangan kembali mengganggu keturunan mereka ini. Kembalilah dari mana asal kamu.”

“Sekarang aku tidak tahu di mana mahu untuk tinggal. Tempat aku dahulu telah habis dimusnahkan.”

“Kalau begitu dari mana asal kamu?”

“Dulu aku tinggal di hutan tebal di Bintulu ini. Pada ketika itu jarang sekali kami melihat manusia. Mereka cuma boleh dilihat di tepi-tepi sungai. Mereka tinggal di laluan sebatang sungai iaitu Sungai Kemena.”

Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh jin tadi adalah perkampungan kecil di sekitar Kampung Jepak dan kampung-kampung lama di Bintulu yang menyusuri sungai iaitu Kampung Dagang, Kampung Sinong, Kampung Masjid, Kampung Datuk, Kampung Sebiew, Kampung Baru dan Kampung Tinggal.

Kampung Dagang sudah lama dijadikan bandar. Sekarang telah menjadi bandar lama kerana banyak bangunan didirikan di tempat-tempat lain sekitar Bintulu.

Saya sendiri dulu tinggal di Kampung Dangang ini. Di rumah arwah nenek saya. Tapak rumah arwah nenek saya betul-betul di atas tapak Hotel Kemena Plaza sekarang.

Dulu di hadapan Hotel Kemena Plaza ini ada sebuah hotel bajet yang dinamakan sebagai King Siang Lodging.

Sekarang King Siang Lodging sudah tidak ada. Sudah bertukar menjadi hotel kecil yang lupa saya namanya. Cuma bangunannya masih bertahan sehingga sekarang.

“Ya. Dulu aku tinggal di hutan tebal di situ. Jarang sekali kami melihat manusia. Mereka cuma boleh dilihat di tepi-tepi sungai. Mereka tinggal di sana. Sedangkan aku hidup lebih lama dari mereka. Bahkan ratusan tahun sebelum itu. Lama-kelamaan di situ wujudnya perkampungan manusia tadi.”

Maksudnya penduduk Kampung Dagang, kampung Sinong, Kampung Masjid, Kampung Datok, Kampung Sebiew, Kampung Baru dan Kampung Tinggal

“Lama-kelamaan mula wujud beberapa perkampungan manusia tidak jauh dari pokok tempat tinggal aku. Apabila manusia semakin ramai dan ramai juga yang mati, lalu mereka bina tapak kuburan untuk menanam manusia di situ.”

Kalau tidak silap saya tapak kuburan lama ini lebih kurang di sekitar King Siang Lodging tadi sehingga ke kawasan Maybank dan Pejabat Hong Peng.

Ketika saya masih kecil rasanya saya pernah melihat kuburan ini sebelum semua rumah dirobohkan dan dijadikan bangunan kedai akhirnya wujudlah King Siang Logding, Maybank, Klinik Udie Salleh, Pejabat Hock Peng dan sebagainya.

Semuanya masih ada cuma King Sian Lodging yang sudah bertukar nama dan juga Klinik Udie Salleh yang sudah berpindah.

Juga sekitar situ ada sebuah sekolah terawal di Bintulu iaitu SK Orang Kaya Mohammad. Salah satu sekolah ‘legend’ dan juga Panggung Wayang Sri Sarawak yang terletak di perbatasan Kampung Dagang dan Kampung Sinong (Sinong Texas).

Mungkin yang masih ingat lagi panggung wayang berkenaan, mungkin di situlah sebenarnya jodoh anda atau ibu bapa anda bermula.

Juga termasuk rumah seorang makcik yang kurang waras. Jamilah namanya. Dulu semasa saya masih kecil iaitu ketika Makcik Jamilah masih waras, dia selalu bertandang ke rumah nenek saya untuk makan pinang.

Rumahnya juga dimusnahkan untuk tujuan pembangunan. Itulah kali terakhir saya melihat Makcik Jamilah. Pengalaman itu masih saya ingat sampai sekarang.

“Selepas adanya tapak perkuburan di situ, maka di situlah manusia mula meminta pertolongan kepada kami banggsa jin. Dulu mereka miliki tanah yang banyak, harta yang banyak dan mereka membuat perjanjian mereka bersama kami di tanah perkuburan ini. Kalau dulu mereka selalu terkeliru dengan pemahaman di antara agama dan adat resam nenek moyang dulu-dulu sehingga mereka beranggapan bahawa pembuat perjanjian bersama kaum jin itu adalah sebahagian dari agama Islam itu sendiri.”

Menyesatkan manusia

“Jadi, mudahlah kami untuk menyesatkan mereka dan kami sesatkan mereka sesesat-sesatnya. Asalkan mereka percaya semua ini adalah sebahagian dari agama maka itu sudah cukup. Lalu kami hiasi kesesatan ini atas nama Islam dan akhirnya setelah perjanjian ini dimeterai, kemudian tinggal kami sesatkan mereka, memporak perandakan keluarga mereka sehingga anak cucu cicit keturunan mereka hinggalah bumi ini akan hancur selamanya.”

“Selagi matahari ini terbit dari arah sepatutnya maka selagi itulah perjanjian ini tetap akan wujud selamanya. Oleh sebab itulah kenapa aku masih lagi bersama keturunan ini dan aku kenal selok belok keturunan mereka dari yang pertama dulu membuat perjanjian kepada aku hinggalah pada keturunan yang ada sekarang. Semuanya aku sesatkan. Kecuali yang tetap berpegang pada tali agama. Yang tetap mempercayai Allah sebagai tuhan mereka.”

“Lalu apa simbol perjanjian atau barang perantaraan perjanjian keturunan ini dengan kamu?”

“Ya itu. Keris yang kau masukkan ke dalam bajumu tadi. Itulah simbol perjanjian kami. Selagi keris itu masih lagi wujud dan tidak dimusnahkan maka selagi itulah perjanjian kami bersama keluarga ini akan terus wujud.”

“Ya. Aku tahu itu. Selepas ini aku akan musnahkan keris ini dan Insya-Allah selepas itu dengan izin Allah perjanjian ini aku tamat selama-lamanya.”

“Kamu lakukanlah semahu kamu. Lakukanlah apa yang kamu mahukan. Aku boleh keluar kalau aku mahu. Aku sudah puas menyesatkan hampir semua dari keturunan ini. Tetapi ingat. Semuanya tidaklah semudah yang kau jangkakan. Akan ada dari keturunan ini akan menyeru aku kembali untuk menjadi hamba mereka. Atau lebih tepatnya akulah yang akan memperhambakan mereka nanti. Walau bukan aku sekalipun nanti, akan ada jin-jin lain yang mengambil peluang untuk menyesatkan mereka tetapi masih lagi menggunakan nama aku. Aku kenal jin-jin lain yang tahu akan selok-belok keturunan ini. Jadi mudahlah jin-jin ini nanti dalam menyesatkan mereka.”

“Itu terserah keluarga ini sendiri nanti bagaimana. Yang penting kamu keluar. Jangan ada lagi apa-apa hubungan dengan mereka.”

“Ya. Aku akan keluar. Tapi ingat. Jin-jin lain sedang menunggu untuk kembali menyesatkan keturunan ini atas nama perjanjian saka ini dan bukannya aku.”

“Urusan itu nanti serah pada keluarga mereka. Sekarang kamu keluarlah.”

“Ya. Aku keluar sekarang.”

Selepas itu saya baca beberapa surah dari al-Quran;

“Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang Menegakkan Keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisabNya.” (Surah Ali Imran: 18-19)

Selepas itu Ayu mula menjerit. Badannya bergerak-gerak seperti ular yang sedang kepanasan. Kedua belah tangannya juga dihentakkan ke lantai beberapa kali secepat yang mungkin. Lalu akhirnya hentakkan tangannya ke lantai mulai perlahan.

Tidak lama kemudian Ayu kembali tidak sedarkan diri. Cuma kali ini wajahnya lebih tenang dan mula kemerah-merahan.

Saya meminta Makcik Timah untuk membaca kembali surah Kursi sambil meletakkan kedua belah tangannya pada kedua belah mata Ayu. Selepas itu saya minta Makcik Timah mengejutkan Ayu.

“Ayu...Ayu...Bangun nak...Ayu...”

Lalu Ayu membuka matanya perlahan-lahan dan matanya berkelip berulang kali. Pada awalnya Ayu tampak bingung.

Mungkin Ayu sedang memerah ingatannya kembali untuk berusaha mengingati apa yang berlaku kepadanya.

Sedar

“Ibu...”

“Iya nak...”

“Ayu penat ibu. Ayu sakit...”

“Ya nak. Insya-Allah lepas ni Ayu akan sembuh. Insya-Allah. Percayalah pada Allah nak.”

Selepas itu saya meminta Ayu untuk beristighfar berulang kali. Lalu saya kembali membaca beberapa ayat-ayat ruqyah untuk memastikan yang syaitan di dalam badan Ayu benar-benar telah keluar.

Setelah puas dan yakin bahawa tiada lagi gangguan pada diri Ayu, saya kemudiannya kembali bertanya kepada Ayu beberapa soalan.

“Semasa kamu tidak sedar tadi apa yang kamu alami Ayu?”

“Saya tak tahu bila saya mula tak sedar cikgu. Cuma yang saya masih ingat peristiwa sebelum saya tersedar tadi.”

“Apa yang kamu alami.”

“Saya seolah-olah berada di suatu tempat seperti penjara. Dikawal dengan rapi. Leher saya diikat dengan besi. Begitu juga dengan tangan dan kaki saya cikgu. Selepas itu saya mendengar seolah-olah bunyi bacaan al-Quran yang berkumandang sehingga saya rasakan tempat itu tadi bergegar dan runtuh. Selepas itu saya lihat seperti seorang perempuan tua datang kepada saya. Kepalanya hampir putus. Pakaiannya terbakar dan saya nampak perempuan itu seperti mula mencair seperti lilin.”

“Selepas itu perempuan itu berjalan ke arah belakang saya lalu mencabut sesuatu pada tengkuk saya. Pada ketika itu barulah besi-besi yang membelenggu saya terlerai dengan sendirinya dan akhirnya saya bebas bergerak. Kemudian perempuan itu memandang saya sebelum berjalan meninggalkan saya sambil di tangan ada sebuah keris. Saya rasa mungkin keris itulah yang dicucuk di leher saya selama ini. Selepas itu saya terdengar suara ibu memanggil-manggil nama saya berulang kali. Lalu akhirnya saya tersedar dan saya dapati sekarang saya berada di bilik nenek.”

“Alhamdulillah kalau macam tu. Kita doakan semoga Ayu akan sembuh juga suatu hari nanti.”

“Maksud cikgu Ayu belum sembuh lagi ke? Kenapa masih belum sembuh cikgu? Kan Ayu sudah sembuh. Lagipun jin yang mengganggu Ayu sudah hilang. Tadikan cikgu ada baca juga ayat al-Quran untuk memastikan tiada lagi jin dalam badan Ayu?”

“Memang benar makcik. Untuk setakat ini gangguan pada Ayu sudah hilang. Hilang tak semestinya jin tadi atau jin-jin lain tidak akan datang kembali. Sebab kes Ayu ni makcik adalah melibatkan kes jin saka, jin keturunan. Jadi kebiasaannya mengikut adab merawat, kes saka ini memang mengambil masa yang lama untuk dirawat.”

Makcik Timah terdiam. Mungkin sedang memikirkan apa yang saya katakan tadi. Memang benar. Merawat jin saka ini tidak semudah seperti merawat kes-kes lain.

Selepas itu saya mengambil keris pusaka keluarga Ayu yang saya letakkan di dalam baju tadi. Keris itu saya buka dan saya tatapi dengan sepenuh perhatian.

Keris pusaka itu tidaklah sekemas mana buatannya. Lok pada kerisnya juga tidak sekata serta hampir semua ditutupi oleh karat. Dan bahagian ulunya pula diperbuat dari kayu belian hitam. Berbentuk kepala perempuan.

Lama juga saya memerhati keris tersebut. Yang peliknya pada ketika saya memandang wajah perempuan pada ulu keris tersebut, anak matanya seperti tidak mahu melepaskan pandangannya ke arah saya.

Seolah-olah perempuan itu sedang melihat saya dan memerhati secara terperinci setiap apa yang saya lakukan.

Selepas itu keris itu saya cacakkkan sekuat mungkin di atas lantai bilik arwah nenek Ayu dengan kedua belah tangan saya. Kemudian saya bacakan ayat al-Quran;

“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir”. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek.” (Surah Al Kahfi: 29)

Lalu kemudiannya dengan kedua belah tangan, saya menggenggam pada ulu keris tersebut dan menekan sekuat-kuatnya ke arah hadapan. Dan setelah beberapa ketika, keris itu mula membengkok dan akhirnya patah menjadi dua.

Keris pada bahagian ulunya saya ambil dan saya hentakkan ke lantai beberapa kali untuk dipecahkan. Agak mudah juga saya patahkan ulu keris berbentuk wajah perempuan tersebut.

Mungkin kerana usianya sudah ratusan tahun. Mungkin. Saya juga tidak tahu.

Keris pusaka ini nanti akan saya bawa balik ke rumah dahulu untuk dibakar ulunya dan pada bahagian besinya nanti akan saya rendam di dalam air yang dibacakan al-Quran sebelum saya buang di atas jambatan Sungai Sebiew.

Pulang

Selepas semuanya selesai, saya meminta izin kepada Makcik Timah dan Ayu untuk balik. Hari juga semakin dingin. Jam pada tangan saya menunjukkan lebih kurang pukul 3.46 pagi. Tidak lama lagi azan akan berkumandang.

“Makcik, saya minta izin untuk pulang dulu. Insya-Allah selesai atau tidak masalah keluarga makcik kita serah kepada Allah.”

“Cikgu, terima kasih banyak-banyak atas pertolongan cikgu. Nanti kalau ada masa Ayu tetap akan saya bawa untuk dirawat oleh cikgu.”

“Itu sebaik-baiknya makcik. Merawat saka ini tidak semudah merawat gangguan jin-jin lain. Saka ini pasti akan mengambil masa.”

“Saya faham cikgu. Apa yang terjadi pada malam ini tadi sebenarnya telah mengukuhkan iman saya kepada Allah dan juga keyakinan saya kepada Allah. Sekarang baru saya sedar tidak semudah itu untuk menyembuhkan gangguan ini kerana saka ini telah berada lama pada keluarga kami.”

“Alhamdulillah. Itulah yang saya perlukan dari makcik. Lepas ini makcik jagalah Ayu sebaik mungkin. Jangan sesekali meninggalkan solat dan ibadah-ibadah lain kerana dari situlah akan datangnya kekuatan pada roh nanti untuk menghalangi siri dari gangguan syaitan. Saya minta izin untuk balik dulu makcik. Ayu, kamu jaga diri baik-baik ok.”

“Baiklah cikgu. Terima kasih sekali lagi.”

“Sama-sama makcik. Assalamualaikum.”

“Waalaikum salam..”

Selepas itu saya berjalan menuju kereta yang saya letakkan di bahagian depan rumah Makcik Ayu.

Keris pusaka yang telah saya patahkan tadi saya letak di bahagian belakang kereta saya dan alhamdulillah sepanjang perjalanan balik tidak ada apa-apa yang berlaku.

Keesokan harinya pada sebelah tengah hari, saya mengambil keris tadi untuk direndam ke dalam air yang dibacakan al-Quran.

Selepas itu pada bahagian ulu keris tadi saya bakar sehingga menjadi hancur. Pada bahagian besinya pula saya buang ke sungai.

Pada sebelah petang saya dikejutkan dengan panggilan telefon Makcik Timah. Makcik Timah memberitahu saya almari di dalam bilik arwah nenek Ayu terbakar dengan sendirinya.

Juga beberapa barang peribadi milik nenek Ayu. Cuma yang peliknya lantai tidak terbakar. Juga tiada kesan bau terbakar.

Sempat juga Makcik Timah mengambil gambar bilik arwah nenek Ayu dan beberapa gambar almari, pakaian dan sebagainya yang terbakar melalui aplikasi whatsapp.

Saya cuma dapat jelaskan kepada Makcik Timah bahawa inilah kekuasaan Allah.

Sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita kerana Allah Maha Memerhati atas apa sahaja yang berlaku. Bahkan saya sendiri tidak dapat menjawab apa yang berlaku sebenarnya.

Tetapi semua ini menyebabkan saya semakin dekat dan percaya akan pertolongan Allah kepada sesiapa sahaja yang pasrah dan menyerah segalanya kepadaNya.

Sebenarnya kes Ayu ini agak unik. Selepas peristiwa malam tersebut, Ayu tetap meneruskan rawatannya dengan kami.

Selama lebih kurang empat tahun berturut-turut. Dan dalam jangka masa empat tahun setelah dirawat barulah Allah memberikan kesembuhan pada diri Ayu.

Bayangkan jangka masa untuk menyembuh Ayu dengan izin Allah ini adalah selama empat tahun. Beginilah keadaan pada pesakit yang ada gangguan saka. Gangguan saka ini tidak semudah merawat sekali dua terus sembuh.

Tetapi ada juga pesakit yang mengalami gangguan saka mendapatkan rawatan kami selama lapan tahun.

Dari tidak pernah solat kerana melihat pocong setiap kali ingin solat dan mengamuk apabila mendengar azan dikumandangkan dan alhamdulillah bertukar menjadi seorang yang taat beribadah, solat, mengaji dan sebagainya.

Dan alhamdulillah juga, setelah pelbagai rintangan, cubaan, dugaan dan sebagainya, Allah sembuhkan Ayu dengan rahmat dan kasih sayangNya.

Sekarang Ayu sudah bernikah dengan lelaki pilihannya. Mempunyai dua orang anak. Makcik Timah pula sudah mula sering tidak sihat. Mungkin faktor umur.

Pernah juga saya berjumpa dengan Makcik Timah, Ayu, suami dan anak-anaknya sedang makan di Pon Café.

Itulah kali terakhir saya melihat Makcik Timah. Makcik Timah telah meninggal dunia pada tahun lepas. Saya tidak sempat menziarahi Makcik Timah pada ketika itu kerana saya berapa di rumah mertua saya di Seremban.

Dan Ayu pula telah mengikuti suaminya berpindah sama ada di Kuching atau Serian. Dan sehingga sekarang saya tidak pernah berjumpa dengan mereka.

Saya berdoa kepada Allah semoga Ayu sentiasa tabah dalam mengharungi hidup ini kerana saya tahu Ayu seorang yang sangat kuat dan sentiasa berusaha untuk membahagiakan keluarganya.

TAMAT

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

Artikel Berkaitan:

Ustaz Malik dari SK Kampung Jepak kembali lagi! Kali ini mengenai misteri sebilah keris pusaka (Bahagian 1)

Kerana bacaan al-Quran, penjaga keris pusaka marah, geram dan terus mengganggu Ustaz Malik (Bahagian 2)