Tidak mudah menjadi seorang guru, pelbagai cabaran perlu ditempuhi, lebih-lebih lagi bagi guru yang mengajar murid Tahun Satu. Antara pengalaman yang sukar untuk dilupakan, murid menangis tidak mahu sekolah, muntah, terkencing dan membuang air besar di dalam kelas. Apa pun, itulah kenangan dan pengorbanan bagi seorang guru…Tanpa mereka, siapalah kita pada hari ini..

Ikuti perkongsian berharga Guru Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Sejarah, Sekolah Kurang Murid SK Kg Baharu Jerantut Pahang, Cikgu Norafizah  Abdul Razak yang juga Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Sejarah.

Menamatkan pengajian dalam bidang perguruan pada tahun 1992 adalah sesuatu yang ditunggu. Segala ilmu, kemahiran dan pengalaman di maktab yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru ( IPG) terpahat di dada.

Tidak sabar rasanya untuk disalurkan kepada anak bangsa. Surat penempatan bertarikh 21 hb November 1992 daripada Bahagian Perjawatan dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan Malaysia diterima dengan rasa penuh kesyukuran. Inilah surat yang pasti ditunggu oleh semua lepasan maktab setelah hampir tiga tahun menjalani kursus perguruan  dalam bidang masing- masing.

28 tahun dahulu semua alat perhubungan dan sebaran maklumat hanyalah melalui surat dan telefon. Tidak seperti sekarang semuanya di hujung jari. Membuka surat penempatan adalah saat yang mendebarkan kerana di situlah langkah pertama ku sebagai pendidik akan bermula.

Mata meliar ke arah nama sekolah yang tertera di surat penempatan iaitu Sekolah Kebangsaan  (LKTP ) Chini Timur Satu Pekan Pahang.

“Alhamdulillah aku bakal menabur bakti di sekolah felda”. Hati ku berbisik.

Sekolah ini yang terletak dalam Gugusan Chini. Gugusan yang terkenal dengan Lagenda Naga Tasik Chini. Kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Ketika menggenggam surat penempatan, minda ligat memikirkan di manakah lokasi sekolah itu, bagaimana untuk ke sana dan apakah keadaan di sana. Apa yang pasti sekolah ini berada dalam kawasan felda dan tentu kemudahannya agak terhad. Perasaan bimbang dan berdebar menyelubungi walaupun hati terasa teruja untuk berbakti.

Seminggu selepas menerima surat penempatan. Aku menerima surat panggilan mesyuarat guru kali pertama daripada pihak sekolah di mana aku ditempatkan.

Debaran bertambah kencang bila memikirkan apakah penerimaan guru-guru dan kakitangan sekolah dengan kehadiran ku nanti. Seminggu sebelum melaporkan diri aku menghubungi pihak Pejabat Pendidikan Daerah Pekan (dulu dikenali sebagai Pejabat Pelajaran ).

Melalui pegawai di sana aku difahamkan dalam kawasan sekolah ada disediakan rumah guru. Ia disediakan bagi guru-guru yang tinggal berjauhan dengan keluarga dan tidak mempunyai tempat tinggal. Penerangan oleh pegawai tersebut melegakan ku. Memandangkan aku tidak punya sesiapa di sana.

Aku tiba di gugusan Chini sehari sebelum tarikh melaporkan diri. Ia bertujuan untuk memastikan aku boleh meninjau keadaan setempat dan sekolah yang bakal aku ditempatkan. Keadaan jalan raya menuju ke sekolah bertanah merah. Ketika itu hujan renyai-renyai kerana bulan Disember adalah musim tengkujuh di pantai timur.

Tibalah hari yang dinanti. Memandangkan aku tidak punya kenderaan sendiri aku menyewa teksi untuk membawa ku ke sekolah untuk melapor diri dan menghadiri mesyuarat pertama.

Terpampang papan tanda Sekolah Kebangsaan LKTP Chini Timur 1 di pintu masuk sekolah. Aku turun dari teksi dengan berhati-hati kerana hujan yang kian lebat dan selut meliputi sepatu ku. Nun jauh di tepi padang kelihatan ladang kelapa sawit dan deretan rumah peneroka.

Aku yang dibesarkan di tengah bandar merasakan ini pengalaman bermakna buat ku. Aku bergegas mencari arah pejabat sekolah. Berpandukan tanda arah aku menuju ke pejabat. ‘Selamat datang cikgu” aku disambut mesra oleh seorang kakitangan sekolah. Aku menuju ke bilik guru besar. Setelah memperkenalkan diri dan bercerita serba sedikit mengenai diri ku. Pentadbir sekolah memintaku menghadiri mesyuarat di bilik gerakan.

Selaku orang baharu, pasti aku masih malu- malu dan terasa asing. Setelah sesi memperkenalkan diri selesai, baru ku tahu ada  tiga lagi guru baharu yang ditempatkan di sekolah itu.

Aku terkedu apabila mendapat tugasan sebagai guru kelas 1 Fatanah. Ya Allah, macam manalah aku nak berhadapan dengan anak-anak kecil ini. Perasaan ku bercampur aduk dengan bimbang dan keterujaan. Tugas sebagai guru kelas Tahun Satu bukan mudah kerana semuanya baru bermula. Bermula dengan mengurus peralatan persekolahan, perekodan,  pembelajaran pengajaran dan pemudahcaraan semuanya harus lancar dan sistematik.

Bukan mudah berada di sini pada awal 90an. Kemudahan asas masih terhad. Bekalan elektrik hanya dibekalkan pada waktu malam di rumah kakitangan dan guru. Kami terpaksa menggosok pakaian dengan menggunakan seterika arang. Akibat tiada kemahiran menggunakan seterika arang.

Tudung yang bakal ku pakai pada hari pertama rosak kerana bara arang terjatuh di atasnya... sungguh mencabar pengalaman itu. Hari pertama aku menjadi kelam kabut kerana berjam-jam masa dihabiskan  untuk menggosok sepasang pakaian.

Melangkah ke bilik darjah pasti berdebar. Namun apabila melihat mata-mata jernih dan wajah tulus di hadapan ku hati ku bertukar gembira dan bersyukur. Disebabkan hari pertama masih ramai ibu bapa dan penjaga yang menunggu di luar bilik darjah. Aku perlu berhati-hati dan fokus kerana ini hari pertama ku.

Aku ingin semuanya lancar dan dipermudahkan. Usai menyerahkan buku dan peralatan murid . Aku memulakan aktiviti pembelajaran dengan nyanyian lagu kanak-kanak. Tujuannya untuk menceriakan murid-murid ku.

Aku menggunakan sepenuhnya kemahiran dan ilmu yang dipelajari di maktab untuk anak didik ku. Ketika aktiviti pembelajaran berlangsung aku dikejutkan dengan tindakan seorang murid membuang air besar di dalam seluar.

Ya Allah memang kelam kabut dibuatnya. Hasil bantuan tukang kebun sekolah aku berjaya menanganinya. Mujur juga ibu murid tersebut ada di luar bilik darjah. Beliau turut sama membantu membersihkan dan membawa anaknya pulang. Peristiwa itu bukan sahaja mendebarkan, bahkan sangat melucukan dan masih ku ingat sehingga kini.

 Namun inilah dunia seorang pendidik. Sejak detik itu bermulalah kehidupan ku sebagai seorang guru. Kini setelah 28 tahun bergelar pendidik aku berjaya menjawat sebagai Guru Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia dan 2019 dinobatkan sebagai Ikon Guru Perpustakaan dan Media Peringkat Kebangsaan. Semuanya bermula di sini.....